Dulu ada kelisa, sekarang makin gelisah - Utusan Malaysia

Dulu ada kelisa, sekarang makin gelisah

HAMPA..Para Nelayan Sungai Karang pulang dalam keadaan hampa selepas gagal memperoleh sebarang tangkapan ikan ekoran Sungai Karang di Behrang yang tercemar. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dekad itu telah berlalu tetapi kesannya masih dirasai hingga ke hari ini. Kumpulan nelayan darat di Sungai Bernam di Behrang, Perak ini amat terasa perubahan pendapatan mereka yang terlalu bergantung kepada tangkapan ikan daripada sungai tersebut.

Manakan tidak, sungai tempat mereka mencari rezeki sejak sekian lama berubah dalam sekelip mata kerana masalah pencemaran, sekali gus menjejaskan pendapatan.

Ketua Jaringan Perikanan Daerah Muaalim, Saiful Zizuan Mahayuddin, berkata beliau amat terasa dengan perubahan itu disebabkan Sungai Bernam tercemar sebelum ini, akhirnya dapat dipulihkan bermula 2017.

Menurutnya, ketika menjadi nelayan kira-kira 20 tahun lalu, sungai tersebut amat kaya dengan ikan darat kerana habitatnya tidak terjejas ketika itu.

“Situasi di Sungai Bernam tidak sama 20 tahun lepas dari segi ekosistem dan hasil tangkapan kerana beberapa spesies ikan yang kerap ditangkap sudah tidak kelihatan lagi.

“Malah ikan kelisa yang harganya agak mahal itu pun sudah tidak kelihatan kerana habitatnya terganggu ekoran kesukaran untuk membiak.

“Waktu 1990-an dulu sungai banyak ikan dan aktiviti penangkapan bertumpu di sungai menjadikan suasana meriah,” katanya.

Suasana seperti itu tidak ada lagi selepas beberapa aktiviti manusia yang banyak tertumpu di tepi sungai tersebut dipercayai menjadi punca kepada masalah pencemaran.

Saiful Zizuan berkata, antara penyumbang utama masalah pencemaran di situ terutama dari Sungai Inki adalah pelepasan sisa daripada projek ternakan ayam di tepi sungai.

Apa yang berlaku seperti yang mereka dakwa adalah pengusaha projek ternakan ayam melepaskan sisa kumbahan ke sungai menyebabkan berlaku pencemaran kimia.

Beberapa projek ternakan ayam dikesan terdapat di situ sehinggalah kumpulan nelayan terbabit yang diketuai oleh Saiful Zizuan mewujudkan pasukan bertindak yang mereka namakan Sungai Bernam Hunter.

Selepas beberapa aduan dibuat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di situ tindakan diambil bagi mengatasi masalah tersebut.

Tindakan seterusnya adalah meminta pengusaha projek ternakan ayam terbabit membayar pampasan kepada nelayan yang berdaftar selain membuat rawatan sisa kumbahan sebelum melepaskannya ke sungai

Menurut Saiful Zizuan, satu ketika pendapatan mereka mencecah RM6,000 sebulan tetapi ekoran masalah tersebut pendapatan tinggal RM1,000 sebulan.

Menurutnya lagi, kesatuan perjuangan nelayan tersebut yang bersatu hati menerusi Sukarelawan Perikanan (Super) telah menjadi kata asas perjuangan kepada apa yang mereka harapkan selama ini.

Mereka mendapat bantuan dan sokongan pelbagai pihak antaranya termasuklah Pejabat Daerah Tanjong Malim dan Pejabat Daerah dan Tanah Muallim kawasan tersebut, Jabatan Perikanan dan juga pakar mengenai air.

Meskipun berjaya diatasi, kumpulan nelayan darat di situ yang kini jumlahnya meningkat daripada 213 orang berharap masalah tersebut tidak berulang.

 

SAIFUL ZIZUAN MAHAYUDDIN

 

TEBANG HUTAN

Dalam pada itu selain berkongsi masalah pencemaran, kawasan itu juga terpaksa ‘akur’ dengan penebangan hutan untuk tujuan penanaman ladang sawit.

Kira-kira 7,000 hektar hutan di situ menjadi korban untuk tujuan penanaman sawit sebelum ini dan ia menyebabkan kawasan hutan yang selama ini menjadi habitat ikan membiak terjejas.

Kawasan hutan berpaya itu sebelumnya menjadi habitat kepada gajah, rusa dan kijang tetapi habitat tersebut hilang,

Apa yang berlaku adalah apabila air naik ke kawasan hutan berpaya itu dan kekal untuk tiga bulan, ikan menjadikannya sebagai tempat bertelur dan membiak tetapi selepas gangguan ekosistem berkenaan, air hanya kekal selama kira-kira sebulan sahaja.

Ini juga menjadi punca kepada kemerosotan populasi ikan selama ini di situ.

Justeru mereka berharap masalah tersebut yang diatasi pada 2017 tidak berulang sementara kumpulan nelayan dilatih untuk memantau kualiti air sungai dengan mengambil sampel dan video jika berlaku pencemaran.

Mereka berterima kasih kepada seorang pensyarah kanan yang juga pakar air Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof. Dr. Maketab Mohamad yang menjadi pembimbing kepada kumpulan berkenaaan.

Justeru, mereka berharap PBT memainkan peranan penting bagi memastikan masalah tersebut tidak berulang dengan menguat kuasakan peraturan sedia ada.

Mereka juga berharap ahli politik mempunyai pengetahuan mengenai isu alam sekitar sekali gus mempunyai kesedaran memulihara alam dan dapat membantu menerapkan kesedaran yang sama terhadap masyarakat dan industri.

Nelayan terbabit juga memuji tindakan Jabatan Perikanan Daerah yang kerap melepaskan anak benih ikan ke dalam sungai bagi membolehkannya membiak dan membesar sekali gus mengelakkan kepupusan.

Dalam masa sama, Kerajaan Negeri Selangor mencontohi pemulihan Sungai Bernam yang boleh dijadikan alternatif sumber air minum bagi penggunadi negeri itu

Di Selangor, kebanyakan sungainya tercemar teruk seperti Sungai Langat, Sungai Selangor dan Sungai Klang.

 

Hasil tangkapan ikan dan udang galah air tawar yang semakin kurang menjejaskan pendapatan para nelayan di Sungai Bernam, Behrang, Perak.

TAMBAH BAIK LESTARI SUNGAI

Bagi memastikan sungai di negara ini tidak lagi tercemar teruk, Kementerian Alam Sekitar dan Air meneruskan program sayangi sungai dengan menambahbaik program Denai Sungai Kebangsaan dan Lestari Sungai.

Program tersebut kata Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat.

Kempen Cintai Sungai Kita dilancarkan pada Februari 1993 oleh Jabatan Pengairan dan Saliran bagi menimbulkan kesedaran mengenai kepentingan sungai dan peranannya terhadap manusia

Ketika itu punca utama pencemaran sungai yang dikenal pasti adalah buangan industri, aktiviti penternakan dan sisa domestik.

Ketika itu Sungai Pinang yang panjangnya kira-kira 3.6 kilometer dikategori sebagai paling kotor tercemar.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Norlin Jaafar berkata, menurut Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2019, terdapat 672 sungai yang dipantau oleh JAS.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 59 (9 peratus) sungai dikategori sebagai tercemar, sejumlah 408 (61%) sungai menunjukkan indeks kualiti air bersih dan 205 (30 peratus) sungai adalah sederhana tercemar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×