Nama Sheikh Mohamad Ali al-Sabuni amat masyhur dalam disiplin ilmu tafsir. Seorang yang alim dalam bidang ilmu tafsir era mutakhir ini. Tokoh ini dilahirkan pada 1930 di daerah Halab, Syria.
Pada mulanya beliau mendalami ilmu agama daripada ayahandanya yang merupakan seorang ulama Halab. Selain itu, beliau menghafal al-Quran dan menyempurna hafazan di peringkat menengah.
Selepas tamat pengajian menengah di Halab dan mendalami ilmu agama dengan beberapa ulama, Sheikh Ali al-Sabuni melanjutkan pengajian di Universiti al-Azhar al-Syarif. Sebuah universiti yang terulung di Mesir. Beliau menamatkan pengajian bidang syariah pada 1954.
Syeikh Ali al-Sabuni pernah berkhidmat sebagai guru di tempat kelahirannya di Halab sehingga tahun 1962. Keilmuannya yang tinggi membolehkan beliau ditawarkan berkhidmat sebagai Pensyarah di Kuliah Syariah dan Pengajian Islam di sebuah universiti di Mekah al-Mukaramah selama hampir 30 tahun.
Selepas itu, beliau berkhidmat sebagai penyelidik akademik di Universiti Ummu al-Quran di Pusat Kajian Ilmu dan Turath Islami serta perunding di Rabitah al-Alami al-Islami.
Pengajaran Sheikh Ali al-Sabuni mendapat sambutan para penuntut ilmu dan dirakam lebih 600 siri program televisyen. Ia berjalan hampir dua tahun dan disempurnakan rakaman keseluruhannya pada akhir tahun 1419 hijrah.
KARYA SHEIKH ALI SABUNI
Ulama Syam terkenal dengan penulisan yang kemas dan berkualiti. Di antara mereka ialah Sheikh Ali Sabuni. Penulisannya yang melebihi 30 kitab dan masih menjadi rujukan penuntut ilmu.
Dalam penelitian penulis, antara kitabnya yang biasa ada dalam perpustakaan atau simpanan di rak buku bagi pelajar khususnya pelajar Malaysia ialah kitab Rawa’e al-Bayan. Sebuah kitab tafsir ayat hukum dalam al-Quran, al-Mawarith iaitu kitab berkaitan kaedah pembahagian harta pusaka, al-Tibyan fi Ulum al-Quran dan yang tersohornya ialah kitab Safwat al-Tafasir.
SAFWAT AL-TAFASIR
Ada ilmuwan yang boleh bersyarah dan menghuraikan sesuatu isu lebih dua jam tetapi apabila menulis satu halaman terasa amat penat dan kering idea.
Ada juga yang boleh menulis dengan baik, mendapat perhatian followers setiap isu yang dikupas tetapi ucapannya ketika mengulas isu tidak begitu mendapat perhatian. Dan sedikit sahaja yang dianugerahkan dua-dua kelebihan tersebut.
Sheikh Ali al-Sabuni dikurniakan kemahiran menulis dengan bahasa yang mudah, senang difahami. Karyanya, Safwat al-Tafasir telah berpuluh kali diulang cetak dengan pelbagai penerbit. Kitab ini mempunyai tiga jilid. Dalam mukadimahnya, Sheikh Ali al-Sabuni membuat ulasan yang menarik berkaitan ilmu tafsir.
Beliau berkata, jika muslim sibuk dengan dunia dalam mencari keperluan kehidupan akan menjadikan masanya sedikit untuk merujuk dan mengkaji kitab tafsir yang berbilang jilidnya yang dikarang oleh para ulama terdahulu. Mereka telah menghuraikan ayat al-Quran dengan ilmu balaghah, menafsir ‘ijaz, membicarakan perundangan al-Quran, hukum-hakam, akhlak, tarbiah, nasihat dan sebagainya.
Sesungguhnya kewajipan ulama ialah memberi sebaik mungkin usaha untuk memudahkan kefahaman ummah terhadap al-Quran. Mencari uslub yang jelas, keterangan yang tuntas, tidak berjela-jela panjang dan tidak berliku dalam menggunakan ayat.
Sepatutnya mereka menulis tafsir dengan menzahirkan kecanggihan ‘ijaz al-Quran dan bahasa yang jelas. Ia sesuai dengan gaya bahasa moden, memenuhi kehendak golongan muda yang berpendidikan, mereka yang dahaga untuk menambah ilmu dan maklumat berkaitan al-Quran.
Seterusnya, beliau tidak mendapati satu pun kitab tafsir dengan ciri yang beliau nyatakan di atas. Sedangkan ia diperlukan oleh orang ramai. Justeru, beliau melakukan usaha murni ini walaupun banyak cabaran, kepenatan dan kesusahan yang dihadapi.
Perkara yang penting ialah masa. Dengan meminta pertolongan Allah SWT, bertawakal dan memohon Allah mengurniakan kejayaan untuk menyempurnakan kewajipan ini. Juga supaya Allah memberi taufik berjaya menerbitkan kitab ini sesuai dan layak dengan kitab Allah.
Kaedah penulisan dalam kitab Safwat al-Tafasir ini dibahagikan kepada tujuh bahagian iaitu pendahuluan surah yang berkaitan huraian ringkas objektif, munasabah ayat sebelum dan selepas, keterangan berkaitan lughah, asbab nuzul, tafsir, balaghah dan fawaid serta lataif.
AMAT TEKUN
Sheikh Ali Sabuni amat tekun dalam penulisan tafsir ini. Menghabiskan masanya siang dan malam dengan merujuk kepada kitab tafsir yang diakui dalam kalangan ulama seperti kitab tafsir al-Tabari, al-Kassyaf, al-Alusi, Ibn Kathir, al-Bahr al-Muhit dan kitab tafsir yang lain. Ketekunan menulis, merujuk dan mencari pandangan yang tepat sehingga memakan masa lima tahun sebelum ia diterbitkan.
Apa yang menarik dalam mukadimah kitab Safwat al-Tafasir, terdapat kata aluan daripada sekumpulan ulama tersohor dunia seperti Sheikh al-Azhar al-Allamah Dr. Abdul Halim Mahmud, al-Allamah Sheikh Abdullah Khayyat iaitu Ketua Majlis Qadha dan Ketua Hal Ehwal Dini Masjid al-Haram, al-Allamah Syeih Abu al-Hasan Ali al-Nadwi, Ketua Nadwah Ulama Lucknow India, Sheikh Abdullah Khayyat (Khatib Masjid Haram), Sheikh Muhammad Ghazali (Ketua Bhg. Dakwah dan Usul al-Din di Mekah al-Mukaramah).
Petikan kata-kata aluan Syeikh Abu al-Hasan al-Nadwi terhadap kitab Safwat al-Tafasir ini ialah kaedah penulisan ulama terdahulu dalam bidang tafsir, hadis, sirah, tarikh adalah menyerupai ensiklopedia ilmu. Walaupun amat baik dalam menjaga ilmu turath daripada hilang atau terhapus namun pembaca mutakhir perlu berfikir panjang untuk memilih pendapat yang sesuai.
Ini menjadi cabaran dan permasalahan kepada penuntut ilmu khususnya di peringkat awal. Justeru, penulis mutakhir ini memilih kaedah menyaring dan memilih yang terbaik daripada ensiklopedia turath yang ditinggalkan. Kaedah ini amat besar manfaat kepada penuntut ilmu.
Memandangkan waktu kini amat singkat, kesungguhan juga lemah dan pemikiran bercelaru maka usaha sahabat kami Sheikh Ali Sabuni menerbitkan Safwat al-Tafasir telah memenuhi kehendak penuntut ilmu yang menjelaskan hasil kajian dan ringkasan ilmu tafsir.
Sheikh Ali al-Sabuni dianugerahkan Anugerah Dubai pada 2007 dan kini menetap di Turki. Semoga Allah anugerahkan kesihatan yang baik kepada beliau dan semoga kita peroleh manfaat ilmunya, aamiin.
- PM Dr Khairul Anuar Mohamad ialah Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.










