Sakit hati dan suka hati adalah perkataan yang selalu diucap dan dapat diukur dengan perbuatan. Jika seseorang mendapat berita baik dan hatinya gembira maka tindakannya selepas itu semuanya perkara yang baik.
Sebaliknya jika seseorang mengalami musibah atau perkara yang tidak baik, kesannya amat jelas diraut wajah dan perbuatan.
Kedudukan hati amat penting sehingga jika hati seseorang itu baik dengan taat kepada Allah maka keseluruhan tubuh juga adalah baik.
Jika dalam hatinya terdapat syirik, kufur atau sifat yang keji seperti hasad, sombong, riak dan seumpamanya ia merosakkan tubuh badan dan mengarah seluruh anggota lakukan perkara maksiat.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: ketahuilah kamu sesungguhnya dalam tubuh ini ada segumpal darah apabila baik maka baiklah seluruh tubuh dan apabila rosak maka rosaklah seluruh tubuh, ketahuilah ia adalah hati. (Riwayat Muslim)
Hadis ini memberi isyarat yang jelas bahawa segala kelakuan seorang hamba dengan semua anggota tubuhnya samada melakukan kebaikan atau menjauhi perkara yang haram dan syubuhat bergantung kepada kebaikan hatinya.
Jika hati rosak maka hawa nafsu akan menguasai segala tindak tanduk dan menjerumus ke dalam perlakuan maksiat dan perkara yang syubhat.
Perbuatan hati sama dengan tingkah laku perbuatan anggota zahir iaitu dalam sudut mendapat pahala atau dikenakan azab. Sesuatu amalan tidak diberi pahala kecuali bersama perbuatan tersebut ada gerakan hati iaitu niat ikhlas kepada Allah SWT. Perbuatan anggota secara zahir sebenarnya adalah menyempurna niat di hati.
Oleh kerana itu, niat seumpama roh dan perbuatan zahir seumpama jasad. Apabila roh berpisah dengan jasad maka ia akan mati. Begitulah juga amalan yang tidak disertakan niat maka ia sia-sia sahaja.
Hati dalam bahasa arab ialah al-Qalb. Imam Ghazali menakrifkan qalb dengan dua makna. Pertama: seketul daging yang berfungsi mengepam darah. Kedua, ia adalah jiwa halus yang ada kaitan dengan hati jasad. Jiwa halus inilah hakikat manusia di mana ia menerima taklif, segala tanggungjawab dan diberikan balasan.
Kalimah qalb banyak digunakan dalam al-Quran dan hadis. Said Hawwa menyatakan bahawa qalb adalah anggota yang ada pada setiap bernyawa sama ada manusia atau haiwan yang berfungsi mengepam darah. Bagi manusia ia adalah pusat kepada segala perasaan samada suka, marah, hasad dengki, takut atau rasa aman.
Iman berada di hati begitu juga dengan kufur. Orang yang beriman merasai banyak kemanisan dalam hatinya yang tidak dirasai oleh orang bukan beriman kerana hati mereka mati. Punca perasaan sesak dada berlaku adalah kerana syirik kepada Allah, kejahilan terhadap kitab Allah dan sunah nabi, tidak melakukan ibadat, lalai dan lupa mengingati Allah.
HATI DALAM AL-QURAN
Dalam al-Quran dijelaskan tiga jenis hati.
Pertama, hati yang sihat sejahtera. Kedua, hati yang mati dan keras. Ketiga, hati yang sakit.
Ketiga-tiga jenis hati ini boleh berlaku kepada seseorang manusia.
Sebagai contoh, pada mulanya tidak beriman maka hatinya mati kemudian beriman tetapi ada penyakit hasad maka hatinya sakit. Jika beriman, baik amalan dan selalu mengingati Allah dengan ibadat maka hatinya sihat dan sejahtera.
Semua tiga jenis hati itu terdapat dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Yang demikian kerana Allah hendak menjadikan hasutan syaitan itu sebagai satu fitnah cubaan bagi orang yang ada penyakit kufur ingkar dalam hati mereka dan yang hatinya keras membatu. Sesungguhnya mereka yang zalim itu sentiasa berada dalam pertentangan yang jauh dari kebenaran. Dan juga supaya orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu. Lalu mereka beriman kepadanya sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhinya. Sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang yang beriman ke jalan yang lurus. (al-Hajj: 53-54).
Ayat di atas jelas menunjukkan terdapat tiga jenis hati. Dua jenis hati diuji dengan penyakit ingkar kufur dan keras membatu manakala hati yang ketiga selamat kerana taat dan patuh kepada Allah SWT.
Justeru, didiklah hati dengan ibadat kepada Allah dan semailah dengan niat yang ikhlas dalam beribadat. Dalam masa yang sama jauhilah syirik kepada Allah dan syak wasangka yang merosak hubungan sesama manusia.
- Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad, Pensyarah Jabatan
Quran dan Sunnah, USIM.










