TEMPOH getir masyarakat mendepani ujian penularan wabak Covid-19 yang melanda sepanjang tahun ini memberi kesan yang mendalam. Sehinggakan ada yang berlapar kerana kehilangan mata pencarian dan tiada pekerjaan.
Sumbangan atau bantuan berupa makanan sedikit sebanyak membantu meringankan bebanan golongan yang memerlukan termasuk bukan Islam dan warga asing sekali gus mewujudkan keharmonian dalam kalangan masyarakat.
Bersimpati dengan nasib golongan-golongan ini, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), menerusi program JAWI Food Bank (JFB) bekerjasama dengan pelbagai rakan strategik menyantuni masyarakat yang memerlukan di samping mengelakkan pembaziran makanan di sekitar Wilayah Persekutuan.
Mengambil kira keperluan mendesak semua pihak yang terjejas, JFB turut melebarkan sayapnya ke Wilayah Persekutuan Labuan.
JFB di bawah misi Musa’adah Covid-19 yang diinisiatifkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengagihkan sebanyak 339,870 pek makanan bermasak dan 5,905 pek barangan keperluan asas bernilai RM2,449,780 di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sehingga kini.
Oleh itu, dalam menyampaikan mesej keteladanan sifat Nabi Muhammad SAW yang menyantuni semua pihak tanpa mengira agama dan kaum, inisiatif tersebut telah memanfaatkan golongan sasaran. Mereka ini terdiri daripada petugas barisan hadapan, asnaf, orang kurang upaya (OKU), gelandangan, golongan B40, pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), bukan Islam dan warga asing.
Pengarah Jawi, Mohd. Ajib Ismail berkata, JFB melaksanakan agihan bantuan barangan keperluan asas kepada golongan asnaf dan yang memerlukan, berdasarkan permohonan atau aduan yang diterima termasuk agihan dari pintu ke pintu.
“Agihan tersebut dilaksanakan melalui ‘walk in’ di pusat agihan bantuan menerusi hebahan dan janji temu di laman media sosial Facebook JFB atau pasukan kami akan turun padang ke lokasi penerima yang telah dikenal pasti.
“Antara sumbangan yang diberikan seperti pek makanan bermasak dan barangan keperluan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak, susu dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ujarnya, semua usaha tersebut dilakukan bagi memastikan tiada kelompok yang tercicir atau sekurang-kurangnya ada makanan di atas meja dalam setiap rumah.
Sehubungan itu, beliau bersyukur kerana pelbagai rakan strategik dan para penyumbang tampil memberikan kerjasama antaranya badan korporat, individu perseorangan dan institusi masjid serta surau di Wilayah Persekutuan.


JFB mendapat kerjasama Lembaga Tabung Haji (TH); Bank Islam Berhad; Pejabat Kedutaan China ke Malaysia; Mines Corporation Berhad; Pelaburan Hartanah Berhad, Koperasi Kakitangan PETRONAS; Koperasi Penjara Malaysia; Restoran Ali Maju Sdn. Bhd; dan Group Syed Restaurant: Ehsan Property; KK Super Mart; dan Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd.
Rakan strategik lain antaranya QSR Brands (M) Holdings Berhad; Pertubuhan Kebajikan Mohd. Chan (Restoran Mohd Chan); Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM); Legasi Z Sufi Sdn. Bhd. melalui Yayasan Food Bank Malaysia; Mamee Food Industries; 99 Speedmart; Yayasan Mualaf Malaysia (YMM) dan Multiracial Reverted Muslims (MRM).
Ajib berharap lebih ramai penyumbang tampil menghulurkan bantuan dan sumbangan serta bekerjasama dengan JFB supaya mekanisme pengagihan dan penyelarasan gerak kerja dapat diperkemaskan pada masa akan datang.










