Mentaati ulil amri kunci melawan pandemik Covid-19 - Utusan Malaysia

Mentaati ulil amri kunci melawan pandemik Covid-19

MASJID kini dibuka untuk solat jemaah selepas ditutup sejak 18 Mac lalu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. GAMBAR: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pena Dr. Ayman al-Akiti

Hakikatnya di dalam Islam, mentaati ulil amri (kerajaan atau pihak autoriti) yang memerintah sebuah negara adalah wajib. Ini bersumberkan firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang beriman, patuhilah Allah, patuhilah Rasul (mu) dan ulil amri dari kalangan mu. (al-Nisa’: 59)
Sementara itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya di antara (perkara) untuk mengagungkan Allah adalah memuliakan muslim yang berusia tua, penghafal al-Quran yang melampaui batas dalam al-Quran dan tidak mengamalkannya, dan memuliakan penguasa yang adil. (Hadis hasan riwayat Abu Daud).
Ada perdebatan oleh sebahagian sarjana Islam apakah ketaatan itu mutlak atau tidak? Dalam hal ini, mereka berhujah bahawa terdapat sebuah hadis: Tiada ketaatan kepada makhluk bagi perkara maksiat kepada Allah. (Hadis sahih Bukhari dan Muslim).
Berdasarkan hadis ini, mereka berhujah ulil amri tidak ada hak melarang rakyat solat di masjid lebih-lebih lagi meniadakan solat Jumaat selama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana ia adalah fardu dan meninggalkannya adalah maksiat.
Untuk menjawab persoalan ini, mereka perlu memahami jenis-jenis kekuasaan yang dipegang oleh ulil amri. Dalam hal ini, ada sebuah kaedah fikah yang telah digariskan oleh ulama: “Keputusan pemimpin adalah sesuai dengan kemaslahatan awam”.
Oleh sebab itulah Syeikh Abd. al-Rauf al-Munawi berkata: “Kerana ketertiban agama hanya dapat dihasilkan dengan ibadah, sementara ibadah tidak dapat dilakukan tanpa pemimpin yang dimuliakan”. (Syarah al-Jami al-Shaghir: 2/138). Maka hal-hal yang berkait dengan kemaslahatan orang awam, menjadi tugas ulil amri untuk memastikan rakyat terjaga daripada segala bahaya dan kerosakan. Sedangkan perkara yang bersifat individu sendiri seperti solat fardu di dalam rumah, maka ia adalah tugas setiap individu muslim.
Kesimpulannya, ulil amri ada hak menutup masjid termasuk untuk solat Jumaat dan mentaatinya adalah wajib bagi rakyat. Ini berbeza jika ada pemimpin yang melarang rakyatnya menunaikan solat dan puasa walaupun di rumah seperti yang dilakukan oleh pihak komunis yang percaya agama adalah sebuah kecanduan.
Di Malaysia, ulil amri menutup masjid kerana melihat masjid adalah pusat penularan Covid-19 atas nasihat Kementerian Kesihatan. Maka keputusan yang berat itu terpaksa diambil demi menjaga kemaslahatan rakyat Malaysia.

Ia juga selaras dengan pendapat ulama seperti Habib Ali bin Ahmad Basabrayn (w. 1887 M) yang berfatwa bahawa kerajaan ‘wajib’ melarang pesakit kusta daripada merebak kepada yang sihat (Ithmid al-Aynayn: 98). Maka sudah pasti ulil amri berhak menutup masjid demi menjaga jemaah daripada dijangkiti Covid-19 yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Justeru, mentaati ulil amri adalah kunci keberhasilan kerajaan dalam melawan mana-mana pandemik. Ini pernah disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: Ketika kamu mendengar ada wabak taun di suatu negeri, maka jangan masuk ke dalamnya, dan apabila terdapat taun di tempat kamu, maka janganlah keluar darinya. (Hadis sahih Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis ini terdapat isyarat cara untuk melawan pandemik iaitu dengan melakukan kuarantin. Kuarantin ini tidak mungkin dapat dilaksanakan jika masyarakat tidak patuh arahan kerajaan.
Lihatlah kepada beberapa negara yang tidak dapat mengawal rakyatnya. Bahkan ada rakyat mereka yang menganggap memakai penutup muka sebagai melanggar perintah Tuhan. Ada yang beranggapan Covid-19 adalah satu konspirasi.

TUNJUK PERASAAN
Ada juga yang sanggup beramai-ramai melakukan tunjuk perasaan melawan keputusan kerajaan mereka dengan alasan ia melanggar hak mereka sebagai rakyat. Mereka juga mendakwa kerajaan tidak berhak menghalang mereka berdemonstrasi?
Akibatnya angka mangsa Covid-19 menjadi ratusan ribu atau lebih menyebabkan kerajaan tidak dapat mengawal pandemik tersebut. Lebih menakutkan, apabila hospital-hospital tidak mampu menampung pesakit sehingga petugas baris hadapan menjadi mangsa atas kedegilan rakyat.
Apapun prinsip kebebasan yang diluahkan ketika pandemik tidak akan berhasil melawannya kecuali dengan mentaati kerajaan dan berusaha menjadi umat yang satu. Bayangkan jika Mac lalu ada ilmuwan yang mengajak umat Islam Malaysia membantah ulil amri dengan alasan tidak ada kepatuhan pada perkara maksiat, lalu mereka beramai-ramai masuk ke masjid dan solat Jumaat tanpa kawalan serta tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Mungkin Malaysia tidak berada dalam situasi sekarang iaitu negara hampir berjaya melawan pandemik ini.
Kesimpulannya, adalah sebaiknya para ilmuwan Islam di Malaysia merenung kata-kata Prof. Dr. Wahbah al-Zuhayli iaitu: “Tidak boleh keluar daripada mentaati (ulil amri) disebabkan kesalahan-kesalahan yang tidak mendasar, yang melanggar nas yang pasti, sama ada ia dengan ijtihad atau tidak, demi menjaga kesatuan umat, dan mencegah perpecahan dan pertikaian di antara mereka”. (al-Fiqh al-Islami: 6/704).
Kata-kata itu mengajar kita walau apapun perbezaan pendapat dengan ulil amri tidak sepatutnya kita melawan dan menentang keputusan mereka selagi ia polisi yang bertujuan menjaga kemaslahatan awam yang bersifat ijtihadi.
Sebaliknya, mereka juga berusaha mencari solusi dan memberikan buah fikiran kepada kerajaan, berganding bahu melawan musuh bersama yang tidak mengenal agama, ras dan bahasa.

Penolong Prof. Dr. Muhammad Ayman al-Akiti, Pensyarah Jabatan Usuludin dan Perbandingan Agama, Kulliyah Ilmu Wahyu
dan Sains Kemanusiaan, UIAM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya