Bermula sekadar niat murni untuk membantu keluarga tempatan mendapatkan penjagaan farmaseutikal berkesan dan khidmat nasihat profesional, Farmasi Lautan kini melakar sejarah tersendiri selepas 41 tahun beroperasi.
Rangkaian farmasi milik dan dikendalikan ahli farmasi berdaftar itu mencatatkan sejarah apabila menerima pengiktirafan Asia Record bagi kategori Longest Operating Pharmacist Owned Retail Pharmacy in 2025.
Pengasasnya, Datuk Lau Tiam Kwee berkata, ketika mula menubuhkan farmasi berkenaan pada tahun 1985 selepas menamatkan latihan prapendaftaran di sebuah hospital tempatan di Kuala Terengganu, matlamat utamanya adalah untuk mengisi jurang perkhidmatan farmasi komuniti yang amat terhad ketika itu.
“Ketika memulakan Farmasi Lautan pada tahun 1985, niat saya bukan sekadar membina perniagaan yang besar, tetapi mewujudkan sebuah farmasi yang dipercayai masyarakat.
“Selepas 41 tahun, tujuan itu masih menjadi asas kepada apa yang kami lakukan,” katanya baru-baru ini.
Kini, Farmasi Lautan memiliki 51 cawangan di seluruh negara yang menawarkan pelbagai produk kesihatan, termasuk ubat-ubatan, suplemen, peralatan perubatan serta produk penjagaan diri dan bayi, selain perkhidmatan jualan dan sewaan peralatan rehabilitasi seperti katil hospital, kerusi roda dan penumpu oksigen untuk penjagaan jangka panjang di rumah.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lau Jia Liang berkata, kejayaan melangkaui empat dekad itu adalah hasil sokongan berterusan daripada pelanggan, kakitangan serta rakan perniagaan.
“Setiap generasi mempunyai jangkaan yang berbeza, jadi kami perlu terus memperbaiki diri. Namun, nilai asas seperti profesionalisme, integriti dan tanggungjawab terhadap pelanggan tidak akan sekali-kali berubah,” katanya.











