Gaya hidup sihat yang mengetengahkan aktiviti larian kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dinegara ini.
Justeru, bersempena penganjuran acara Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2026, baru-baru ini, Asics Malaysia mengangkat semangat larian dan gaya hidup sihat menerusi pengenalan koleksi khas yang menggabungkan prestasi dan identiti Malaysia.
Ia dibuktikan menerusi pengenalan kasut Novablast 6 edisi eksklusif yang direka oleh kreatif tempatan, Wilson Ng, menerusi konsep Unity in Motion.
Rekaan kasut ini menggunakan bahagian atas rona putih pudar dan tapak putih sebagai kanvas neutral, melambangkan titik pertemuan pelari daripada pelbagai latar belakang, tahap kelajuan dan perjalanan hidup.
Sentuhan warna merah, biru, kuning dan putih pula diambil daripada Jalur Gemilang, masing-masing membawa simbol keberanian, perpaduan, kemakmuran dan kesucian.
Bahagian pelapik dalam kasut turut menampilkan corak abstrak ‘KL’ yang diinspirasikan daripada warna bendera kebangsaan.
Pengurus Negara Asics Malaysia, Boon Tib Soom Nik berkata, pengenalan kasut tersebut seiring perkembangan budaya larian yang semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Melalui inovasi reka bentuk dan kisah komuniti, kami mahu menyatukan orang ramai serta menjadikan aktiviti bergerak terasa lebih mudah didekati, bergaya dan mempunyai hubungan yang mendalam dengan budaya tempatan.
“Dengan koleksi eksklusif ini, kami bukan sahaja meraikan sejauh mana budaya Malaysia telah berkembang, tetapi juga semangat kebersamaan yang membawa kita terus ke hadapan,” katanya baru-baru ini.
Menurut Tib Soom Nik, di sebalik reka bentuk yang mengetengahkan identiti tempatan, Novablast 6 turut menawarkan peningkatan prestasi ketara berbanding model terdahulu.
Kasut itu turut direka dengan teknologi kusyen FF blast max dengan berfungsi bersama pod di bahagian hadapan tapak kasut untuk memberikan kelembutan dan keselesaan tambahan di bawah kaki, sekali gus menghasilkan pengalaman larian yang seimbang dan bertenaga dengan lantunan yang lebih baik.
Selain itu, reka bentuk geometri tapak tengah mengekalkan ciri ikonik siri Novablast menerusi reka bentuk tapak tengah berukir dengan bentuk geometri yang bukan sahaja menyerlahkan penampilan kasut, malah mencerminkan pengalaman larian yang dinamik dan bertenaga.











