Bau badan bukan sekadar masalah kebersihan

Bau badan bukan sekadar masalah kebersihan

Bau kurang menyenangkan berlaku apabila peluh bercampur dengan bakteria pada permukaan kulit, terutama di bahagian ketiak dan kawasan badan yang mudah berpeluh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Masalah bau badan sering dianggap berpunca daripada kebersihan diri yang kurang, sedangkan keadaan itu boleh dipengaruhi pelbagai faktor termasuk pemakanan, genetik, perubahan hormon dan masalah kesihatan.

Peluh yang dihasilkan tubuh sebenarnya tidak berbau. Bau kurang menyenangkan berlaku apabila peluh bercampur dengan bakteria pada permukaan kulit, terutama di bahagian ketiak dan kawasan badan yang mudah berpeluh.

Pakar Perunding Dermatologi dari Jabatan Perubatan Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. How Kang Nien berkata, individu berbadan besar lebih berisiko mengalami masalah bau badan kerana mempunyai lebih banyak lipatan kulit yang boleh menjadi lembap.

“Kalau berat badan memang besar, bahagian ketiak, bawah buah dada dan kawasan lipatan boleh menjadi sangat lembap.

“Keadaan itu boleh menyebabkan pembiakan kulat dan bakteria yang seterusnya menyumbang kepada masalah bau badan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, masalah bau badan bukan hanya berlaku dalam kalangan individu berbadan besar kerana mereka yang kurus juga boleh mengalaminya.

Pemakanan pengaruhi bau

Dr. Kang Nien berkata, pemakanan turut memainkan peranan dalam mempengaruhi bau badan, terutama pengambilan makanan yang mempunyai bau kuat.

Antara makanan yang boleh menyumbang kepada keadaan itu termasuk bawang putih, bawang merah, petai dan kari.

Pengambilan protein secara berlebihan juga boleh menjadi antara faktor yang menyumbang kepada masalah bau badan, terutama dalam kalangan individu yang kerap ke gim.

Katanya, keadaan itu berkait dengan fungsi kelenjar apokrin yang terdapat di bahagian seperti ketiak dan celah paha.

“Kelenjar apokrin mengeluarkan lebih banyak protein dan lipid. Apabila bakteria banyak, ia akan menguraikan protein tersebut dan menghasilkan bahan yang boleh menyebabkan bau.

“Sebab itu sesetengah makanan, protein dan bakteria boleh menyebabkan bau badan menjadi lebih teruk,” jelasnya.

Bukan sekadar masalah kulit

Masalah bau badan juga boleh menjadi sebahagian daripada keadaan kesihatan tertentu dan dikenali sebagai bromhidrosis.

Menurut Dr. Kang Nien, individu yang sudah menjaga kebersihan diri dan menggunakan deodoran tetapi masih mengalami masalah itu disarankan mendapatkan pemeriksaan doktor bagi mengenal pasti puncanya.

“Kalau sudah pakai deodoran tetapi bau masih sama, memang disarankan untuk berjumpa doktor.

“Masalah pada bahagian ketiak seperti bulu terlalu banyak, jangkitan bakteria, keradangan kulit atau kulat mungkin memerlukan ubat untuk dirawat,” katanya.

Selain masalah kulit, peluh berlebihan atau hiperhidrosis juga perlu diberi perhatian kerana keadaan itu boleh menyumbang kepada masalah bau badan.

Bau badan yang berubah secara mendadak atau menjadi terlalu kuat juga boleh menjadi petanda masalah kesihatan seperti diabetes dan gangguan hormon.

Hormon memainkan peranan

Perubahan hormon juga mempunyai kaitan dengan masalah bau badan.

Ujarnya, keadaan tertentu yang melibatkan perubahan hormon boleh menyebabkan masalah bau badan lebih ketara.

Selain itu, pesakit diabetes yang tidak dikawal dengan baik juga boleh mengalami bau badan yang berbeza daripada biasa.

“Kalau seseorang hanya mengalami bau badan tetapi dia rasa sihat, mungkin itu sekadar bau badan biasa.

“Tetapi kalau pada masa yang sama berat badan makin menurun, selalu kencing dan selalu dahaga, keadaan itu mungkin disebabkan oleh diabetes yang tidak dikawal dengan baik,” ujarnya.

Justeru, perubahan bau badan terutama yang berlaku bersama gejala lain perlu diberi perhatian bagi memastikan punca sebenar dapat dikenal pasti.

Tidak perlu kerap mandi

Penjagaan kebersihan diri tetap penting dalam mengurangkan risiko bau badan, termasuk mandi secara berkala, memakai pakaian yang menyerap peluh serta menggunakan deodoran atau antipeluh yang bersesuaian.

Bagaimanapun, beliau berkata, mandi terlalu kerap tidak semestinya dapat mengatasi masalah tersebut.

“Kalau mandi dua kali sehari, saya rasa itu sudah maksimum. Kalau perlu mandi lebih kerap, mungkin hanya bilas bahagian tertentu dengan air.

“Penggunaan sabun terlalu kerap boleh menyebabkan keradangan pada kulit kerana ia boleh menjadi punca iritasi,” jelasnya.

Deodoran atau antipeluh?

Dalam menangani masalah bau badan, penggunaan deodoran dan antipeluh perlu disesuaikan dengan keadaan individu.

Deodoran lebih sesuai bagi mereka yang mengalami masalah bau badan, manakala individu yang mengalami peluh berlebihan bersama bau badan boleh menggunakan antipeluh atau antiperspirant.

“Deodoran untuk masalah bau, tetapi antipeluh biasanya mengandungi aluminium yang membantu menyekat saluran peluh dan mengurangkan pengeluaran peluh,” katanya.

Antipeluh juga disarankan digunakan pada waktu kelenjar peluh tidak begitu aktif, iaitu pada waktu malam sebelum tidur bagi mendapatkan keberkesanan yang lebih baik.

Jika kaedah tersebut masih tidak membantu, rawatan lain boleh dipertimbangkan bergantung kepada punca masalah.

Bagi individu yang mempunyai bulu ketiak terlalu banyak, rawatan seperti laser hair removal boleh membantu, manakala Botox juga boleh digunakan bagi masalah yang berkaitan.

Masalah bau badan yang berterusan walaupun kebersihan diri sudah dijaga tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia mungkin berpunca daripada faktor lain seperti masalah kulit, peluh berlebihan atau keadaan kesihatan tertentu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×