Pendedahan kepada kandungan tidak sesuai, buli siber, penipuan serta ancaman keselamatan lain menyebabkan isu had umur penggunaan media sosial mula diberi perhatian serius.
Australia menjadi antara negara yang mengambil langkah tegas apabila memperkenalkan larangan penggunaan akaun media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun.
Langkah itu mewujudkan perbincangan mengenai keberkesanan sekatan umur selain menekankan keperluan pendidikan digital dan sokongan berterusan agar golongan muda kekal selamat ketika berada dalam ruang maya.
Oleh itu, pelaksanaan larangan kanak-kanak berusia bawah 16 tahun daripada membuka akaun media sosial di Malaysia merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan keselamatan digital golongan muda.
Namun, pelaksanaan dasar ini memerlukan pendekatan yang lebih holistik supaya matlamat melindungi kanak-kanak daripada pelbagai ancaman dalam talian tercapai.
Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mastura Mahamed berkata, larangan tersebut perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha membina ekosistem digital yang lebih selamat.

Katanya, ia tidak hanya dilihat sebagai satu tindakan menyekat akses kepada platform media sosial semata-mata sebaliknya perlu dilihat sebagai langkah perlindungan awal bagi kanak-kanak.
“Larangan kanak-kanak bawah 16 tahun daripada membuka akaun media sosial di Malaysia wajar dilihat sebagai langkah perlindungan yang serius,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ujar beliau, dasar yang tegas sahaja tidak memadai sekiranya pelaksanaannya masih bersifat reaktif. Menutup akaun tidak sama dengan menutup risiko.
Dr. Mastura berkata, dalam dunia digital hari ini, penutupan akaun rasmi tidak bermaksud kanak-kanak akan terus meninggalkan internet.
“Mereka boleh berpindah ke akaun ibu bapa, akaun palsu, kumpulan sembang, platform permainan, aplikasi mesej, ruang penstriman atau identiti digital yang lebih sukar dikesan.
“Oleh sebab itulah, larangan bawah 16 tahun perlu disusuli dengan strategi literasi, bantuan dan pemantauan yang lebih proaktif,” ujarnya.
Generasi Yang Membesar Bersama Teknologi
Dr. Mastura berkata, kanak-kanak zaman sekarang sudah dibesarkan dengan persekitaran digital sejak kecil lagi.
Merujuk kepada Laporan Disrupting Harm in Malaysia oleh ECPAT, INTERPOL dan UNICEF, sebanyak sembilan daripada 10 kanak-kanak berumur 12 hingga 17 tahun yang menggunakan internet melaporkan penggunaan media sosial secara mingguan sebanyak 91 peratus.
“Sebanyak 90 peratus menggunakan aplikasi mesej segera, 88 peratus menonton video, dan 86 peratus menggunakan internet untuk kerja sekolah.
“Data ini penting kerana ia menunjukkan penggunaan media sosial bukan hanya untuk berhubung tetapi ia turut digunakan sebagai medium pembelajaran, hiburan, sokongan emosi dan mencari maklumat,” ujarnya.
Katanya, kejayaan dasar tersebut tidak seharusnya hanya diukur melalui jumlah akaun yang berjaya disekat.
“Apabila dasar baharu dilaksanakan, soalan utamanya bukanlah seberapa banyak akaun bawah umur yang berjaya disekat.
“Sebaliknya, berapa ramai anak-anak yang masih bergerak dalam ruang digital tanpa bimbingan, tanpa saluran bantuan yang jelas dan tanpa keupayaan mengenal bahaya dunia digital,” katanya.
Beliau berkata, ukuran kejayaan yang hanya tertumpu kepada pematuhan mungkin tidak menggambarkan tahap keselamatan sebenar.

Larangan Sahaja Tidak Memadai
Menurut UNICEF Malaysia menerusi kajian Disrupting Harm mendapati seorang daripada 25 remaja dalam lingkungan 12 hingga 17 tahun pernah menjadi mangsa eksploitasi atau penderaan dalam talian.
Hanya tiga peratus daripada angka tersebut yang memilih untuk mendapatkan bantuan menerusi saluran rasmi. Hal ini jelas menunjukkan bahawa budaya melaporkan masalah masih rendah dalam kalangan kanak-kanak.
Dr. Mastura berkata, cabaran sebenar bukan daripada penggunaan media sosial sebaliknya pendekatan untuk melaporkan masalah berkaitan buli siber ini masih lemah. Oleh itu, pendekatan sedia ada perlu dirombak semula.
“Larangan ialah langkah awal tetapi pendidikan digital dan kesedaran semua pihak penting bagi memastikan perlindungan kanak-kanak berkesan.
“Malah, pendekatan sedia ada juga perlu diubah. Kita tidak boleh hanya bertindak selepas sesuatu berlaku sebaliknya memberi penekanan kepada usaha pencegahan sejak awal,” katanya.
Kajian sama turut menunjukkan hanya 55 peratus ibu bapa merasakan mereka lebih memahami internet berbanding anak, manakala seorang daripada lima mengakui kurang yakin membantu anak apabila berdepan masalah dalam talian.
Justeru, dasar keselamatan digital perlu disokong dengan pendidikan keibubapaan yang praktikal dan berterusan supaya ibu bapa mampu membimbing anak menggunakan internet secara lebih selamat.
Pendidikan dan Perlindungan Perlu Seiring
Beliau berkata, larangan media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun perlu disokong dengan pelan susulan yang jelas misalnya sekolah boleh memperkenalkan modul ringkas literasi media yang boleh diselitkan ketika orientasi atau kaunseling.
Selain itu, keluarga memerlukan panduan praktikal bukan nasihat umum. Ibu bapa perlu tahu
tanda-tanda anak menggunakan akaun kedua, menyembunyikan kumpulan sembang, menerima mesej daripada orang dewasa tidak dikenali, atau takut menceritakan pengalaman dalam talian.
“Anak-anak perlu dilatih mengenali manipulasi emosi, tawaran mencurigakan, pemerasan gambar, akaun palsu, kandungan kecerdasan buatan ( AI) serta cara menyimpan bukti apabila berlaku gangguan.
“Malah, cara menegur anak-anak juga penting kerana jika setiap masalah yang timbul disambut dengan perasaan marah atau rampasan telefon. Anak-anak ini akan takut untuk memberitahu masalah mereka pada masa akan datang,” ujarnya.
Menurut Dr. Mastura, platform media sosial juga perlu memainkan peranan lebih besar dalam memastikan keselamatan pengguna, bukan sekadar mengurus proses pendaftaran akaun.
Selaras dengan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, platform perlu memperkukuh pemantauan dan kawalan terhadap kandungan berbahaya yang tersebar di media sosial.
Katanya, isu privasi data tidak boleh dipandang ringan sekiranya pengesahan umur melibatkan dokumen rasmi. Justeru, perlindungan kanak-kanak tidak seharusnya membuka ruang kepada pengumpulan data berlebihan.
“Pengalaman Australia jelas menunjukkan larangan sahaja belum mencukupi apabila masih ada remaja yang menggunakan akaun palsu. Jadi, larangan perlu selari dengan pendidikan digital supaya matlamat lindungi kanak-kanak tercapai,” ujarnya.

Panduan untuk Ibu Bapa
Berkongsi pandangan sebagai seorang ibu, Rohaya Alias berkata, ibu bapa memikul tanggungjawab besar untuk memastikan anak-anak menggunakan media sosial secara selamat.
Namun, dia menegaskan golongan ibu bapa juga memerlukan panduan dan sokongan agar lebih bersedia mendepani cabaran era digital yang kian mencabar.
Katanya, bukan semua ibu bapa memahami perkembangan teknologi menyebabkan mereka sukar untuk mengesan jika anak mereka berhadapan dengan masalah atau menyembunyikan sesuatu ketika menggunakan media sosial.
“Saya sokong langkah ini kerana ia dapat membantu ibu bapa mengawal penggunaan media sosial anak. Pada masa sama, ibu bapa juga perlu diberi pendedahan supaya tahu cara membimbing dan bercakap dengan anak apabila berlaku sesuatu,” katanya.
Dalam pada itu, Nor Harizan Harun berkata, larangan sahaja tidak mencukupi tanpa kerjasama ibu bapa di rumah.
Dia berharap setiap dasar berkaitan keselamatan digital turut disertai program kesedaran dan pendidikan keibubapaan agar ibu bapa lebih bersedia melindungi anak dalam dunia digital.
“Komunikasi yang baik antara ibu bapa dan anak penting dalam membantu mereka menggunakan media sosial secara lebih selamat. Pendidikan di rumah juga perlu berjalan seiring dengan dasar yang diperkenalkan kerajaan,” ujarnya.
Dr. Mastura berkata, anak-anak bukan hanya perlu dilarang daripada membuka akaun media sosial tetapi juga perlu dibimbing memahami dunia digital yang akan mereka lalui.
Tanpa panduan yang betul, mereka mungkin terus berdepan risiko walaupun tidak lagi menggunakan platform secara terbuka.
Selain itu, larangan perlu disertai ruang selamat untuk anak-anak bertanya, melapor dan mendapatkan bantuan apabila berdepan masalah dalam talian.
Peranan ibu bapa, sekolah dan masyarakat penting dalam memastikan mereka tidak menghadapi cabaran digital secara bersendirian.
“Perlindungan sebenar bukanlah menghalang akses mereka semata-mata sebaliknya memastikan mereka ini berada di bawah perhatian orang dewasa supaya dapat menggunakan teknologi dengan lebih selamat,” katanya.










