Musim durian sentiasa dinanti-nantikan rakyat Malaysia sebagai waktu terbaik untuk menikmati keenakan raja buah yang hanya hadir pada musim tertentu.
Mengambil peluang meraikan musim istimewa itu, Palm Garden Hotel kembali menganjurkan Durian Hub 2026 bagi meneruskan acara yang mendapat sambutan menggalakkan sejak diperkenalkan pada tahun lalu.
Memasuki tahun kedua penganjurannya, ia tampil dengan konsep yang lebih segar. Selain menawarkan durian premium kepada pelanggan, acara itu turut memperkenalkan pengalaman baharu khusus untuk pelanggan korporat.
Menurut Pengurus Besarnya, Marshall Chai berkata, penganjuran kali ini bukan hanya menghidangkan durian sebaliknya mahu menjadikan hotel berkenaan sebagai destinasi utama pencinta durian di Putrajaya.
Katanya, pendekatan itu merupakan sebahagian daripada usaha memperluaskan lagi jenama Durian Hub agar dikenali sebagai acara bermusim yang wajib dikunjungi setiap kali tibanya musim durian.
“Kali ini kami tampil dengan pakej yang lebih tersusun supaya lebih ramai dapat menikmati pengalaman tersebut termasuk pelanggan korporat dan pengunjung dari sekitar Kuala Lumpur,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Durian Hub 2026.
Sepanjang Julai hingga September, pengunjung boleh menikmati pelbagai jenis durian premium pada setiap Jumaat dan Sabtu bermula pukul 5 petang hingga 10 malam di Palms Café Terrace.

Lima varieti durian premium
Antara varieti yang ditawarkan termasuk Black Thorn, Musang King, D24, Udang Merah serta beberapa pilihan durian kampung berkualiti yang dibawa masuk setiap minggu.
Ujar Marshall, Black Thorn menjadi antara pilihan paling mendapat perhatian diikuti dengan Musang King yang kekal sebagai kegemaran ramai.
“Bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi, hotel juga turut membawa masuk kira-kira 100 kilogram durian bagi setiap sesi penganjuran pada hari Jumaat dan Sabtu sepanjang tiga bulan penganjurannya,” katanya.
Palm Garden Hotel turut memperkenalkan pakej baharu dikenali sebagai Durian Meeting Escape yang menyasarkan syarikat dan organisasi.
Marshall berkata, pakej tersebut diperkenalkan bagi memberikan kelainan kepada pelanggan yang mengadakan mesyuarat, seminar atau latihan di hotel berkenaan.
Konsep itu memberi pengalaman yang sukar diperoleh di hotel lain kerana menggabungkan suasana resort dengan budaya tempatan.

Bagi menggantikan sajian lazim seperti kopi dan pastri, peserta disajikan dengan durian segar bersama ais kacang sebagai hidangan istimewa selepas selesai mesyuarat.
“Selepas seharian menghadiri mesyuarat atau sesi latihan, mereka akan dihidangkan durian bersama ais kacang. Bagi saya itulah cara paling Malaysia untuk mengakhiri hari yang produktif,” katanya.
Menurut Marshall, keunikan Palm Garden Hotel sendiri menjadi antara faktor yang membezakan pengalaman tersebut daripada lokasi lain.
Konsep tersebut bukan sahaja memberi pengalaman penginapan yang berbeza malah membolehkan pengunjung menikmati budaya serta makanan tempatan yang menjadi identiti Malaysia.
“Apabila musim durian tiba, kami mahu orang ramai terus mengingati Palm Garden Hotel sebagai tempat untuk berkumpul, menikmati durian berkualiti dan mencipta kenangan bersama keluarga, rakan mahupun rakan sekerja,” katanya.









