Bagi peminat kereta mini diecast Tomica, kunjungan ke Tomica Factory di Tomica Brand Store, Toys ‘R’ Us Suria KLCC menawarkan pengalaman yang berbeza dan lebih mengujakan.
Kehadiran Tomica Factory itu menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di luar Jepun yang memiliki tarikan berkonsepkan kilang Tomica, sekali gus menawarkan pengalaman unik kepada peminat di Asia Tenggara.
Ia melengkapkan lagi kehadiran Tomica Brand Store yang mula beroperasi di Suria KLCC pada Disember tahun lalu sebagai kedai jenama Tomica pertama di rantau ini.
Berbeza dengan konsep kedai mainan biasa, Tomica Factory memberi peluang kepada pengunjung untuk menghasilkan kereta mini Tomica mengikut cita rasa masing-masing.

Pengunjung hanya perlu memilih komponen seperti casis, badan kereta, cermin hadapan dan tempat duduk sebelum menyaksikan sendiri proses pemasangan dilakukan.
Pengalaman itu membolehkan pengunjung melihat bagaimana sebuah kereta mini Tomica dihasilkan, bermula daripada pemilihan komponen sehinggalah siap dipasang.
Lebih menarik, proses tersebut dilakukan menggunakan mesin pemasangan khas yang mewujudkan suasana seolah-olah berada di sebuah kilang pengeluaran kereta mini.
Selain mesin pemasangan, kakitangan yang bertugas di meja kerja turut bersedia membantu pengunjung sepanjang proses pemasangan bagi memastikan setiap komponen dipasang dengan sempurna.
Sebaik sahaja siap, kereta mini tersebut boleh dibawa ke zon uji pandu untuk menguji pergerakannya sebelum dibawa pulang sebagai koleksi peribadi.

Suasana di Tomica Factory turut dihiasi dengan dekorasi bertemakan kilang yang dilengkapi dengan paparan tiga dimensi bagi mewujudkan pengalaman yang lebih interaktif.
Rekaan ruang yang menarik itu bukan sahaja menceriakan suasana, malah menjadi lokasi sesuai untuk bergambar bersama keluarga dan rakan-rakan.
Selain berpeluang menghasilkan kereta mini sendiri, pengunjung juga boleh mendapatkan pelbagai produk eksklusif yang hanya ditawarkan di Tomica Brand Store Kuala Lumpur.
Turut disediakan ialah koleksi rasmi Tomica Shop yang diperkenalkan buat julung kali di Asia Tenggara, selain pilihan koleksi edisi terhad untuk peminat dan pengumpul.
Bagi pengumpul kereta mini diecast, kunjungan ke Tomica Factory memberi peluang untuk menambah koleksi unik yang sukar diperoleh di tempat lain.

Pada masa yang sama, kanak-kanak pula berpeluang meneroka kreativiti dengan memilih sendiri komponen kereta yang diinginkan sebelum melihat hasilnya disiapkan.
Gabungan elemen permainan, kreativiti dan pengalaman interaktif menjadikan Tomica Factory sesuai dikunjungi oleh pengunjung daripada pelbagai peringkat usia.
Peminat Tomica atau ibu bapa yang mencari aktiviti menarik bersama anak-anak, Tomica Factory menjanjikan pengalaman unik yang pastinya berbeza.










