Tukang kayu berpangkat doktor

Tukang kayu berpangkat doktor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBANYAKAN golongan profesional yang bersara daripada perkhidmatan masing-masing memilih untuk berehat sepanjang menikmati usia persaraan atau melakukan aktiviti yang lebih santai bagi mengisi masa terluang.

Namun, situasi itu berbeza buat seorang pengamal perubatan apabila memilih bidang yang masih memerlukan ketelitian dan fokus bagi menghasilkan kraftangan kayu berasaskan pokok tempatan termasuk pokok buah-buahan.

Dr. Mohd. Nor Azman Ahmad, 57, sebelum ini adalah doktor di klinik swasta selama lebih dua dekad, tetapi selepas memilih untuk bersara, minatnya terhadap seni kayu sedari kecil kini dijadikan aktiviti utamanya.

Katanya, minat terhadap seni kayu dan kerja-kerja pertukangan timbul sejak di bangku persekolahan apabila sering melihat jirannya membina rumah kampung secara tradisional.

“Rumah-rumah kampung dahulu dibina tanpa pelan pun, tapi hasilnya cantik dan tetap kukuh. Jadi kemahiran dan pengalaman dimiliki tukang rumah itu meninggalkan kesan mendalam terhadap diri saya.

“Selepas itu saya mula menyimpan pelbagai peralatan lama miliknya sebagai kenangan selepas dia tidak lagi aktif bertukang akibat faktor usia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd Nor Azman berkata, sebelum bersara empat tahun lalu pun beliau sudah secara sambilan meneruskan aktiviti terhadap minatnya itu terutama pada setiap hujung minggu.

Ujarnya, jika terdapat waktu terluang dia akan memperuntukkan antara dua ke tiga jam sehari untuk melakukan kerja-kerja kayu bagi menajamkan kemahirannya.

“Kadang-kadang pada sebelah malam baru saya masuk ke bengkel yang dibina di tepi rumah setelah selesai urusan bersama keluarga,” katanya.

Dia berkata, minat terhadap seni melarik kayu mula berkembang ketika tempoh pandemik Covid-19 apabila banyak masa dihabiskan di rumah.

Katanya, dia banyak belajar sendiri cara melarik menerusi video di YouTube selain mencuba pelbagai teknik secara ‘try and error’.

“Namun kerja melarik kayu ini bukan sekadar hobi biasa kerana mempunyai risiko kecederaan jika tidak dilakukan dengan betul. Kalau salah kelajuan mesin atau pemasangan kayu tak kukuh, kayu boleh tercampak dan kena kepala.

“Peralatan yang digunakan juga tajam. Kalau tersepit antara kayu, ia boleh melantun balik,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini dia tidak pernah mengalami kemalangan serius kerana sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan termasuk memakai pelindung diri dan penapis habuk yang sesuai.

Menurutnya, proses melarik juga memerlukan pemeriksaan berkala bagi memastikan kayu dan peralatan berada dalam keadaan stabil.

Ujar Mohd. Nor Azman, kebanyakan kayu yang digunakan diperoleh daripada sisa pokok tepi jalan seperti akasia, mahogani, jati dan sena, selain kayu eksotik seperti kemuning yang dibeli di kawasan Sik dan Jeniang.

“Kayu eksotik ini lebih keras, urat lebih halus dan hasil kemasan memang cantik serta berkilat. Kalau kayu buah-buahan seperti nangka, rambutan, ciku atau longan pula, ia cantik dan selamat digunakan untuk makanan,” katanya.

Menurutnya, antara produk dihasilkan termasuk mangkuk kayu, mangkuk salad, cawan kayu, talam kek dan bekas bertutup.

Katanya, setiap produk mempunyai tempoh penghasilan berbeza bergantung kepada reka bentuk serta jenis kayu digunakan.

“Kalau fokus buat satu produk, dalam satu hingga dua jam boleh siap. Tapi saya jenis buat santai, kadang-kadang sehari baru siap sebab idea sentiasa berubah,” katanya.

Katanya, dia sudah membelanjakan lebih RM100,000 untuk membeli pelbagai mesin dan peralatan pertukangan sejak mula serius dalam bidang itu.

Bagaimanapun, Mohd. Nor Azman tidak menjadikan bidang itu sebagai sumber pendapatan utama tetapi lebih kepada cara mengembangkan hobi, walaupun dia antara usahawan dukungan UDA Holdings Berhad (UDA) menerusi platform UDA Craft Corner (Kirana). 

Platform tersebut merupakan antara komitmen UDA dalam membantu mengetengahkan produk kraf serta hasil tangan usahawan tempatan. 

“Saya buat sebab minat. Duit hasil jualan itu saya guna balik untuk beli peralatan dan kembangkan hobi ini,” katanya.

Baginya, dia lebih selesa menghasilkan produk komersial yang mampu dimiliki ramai berbanding karya seni eksklusif berharga tinggi.

“Kalau mangkuk kecil biasanya harga antara RM20 hingga RM50 sahaja dan yang besar pula boleh cecah RM150 hingga RM200 bergantung kepada saiz dan reka bentuk,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN