‘Siapa jumpa tak penting, asalkan Jaslinda selamat’

‘Siapa jumpa tak penting, asalkan Jaslinda selamat’

PASUKAN bomba meredah hutan belantara selama 14 hari bagi mencari dan menyelamat Jaslinda Saludin yang hilang di Gunung Batu Putih, Tapah pada 24 Mei lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Siapa yang jumpa mangsa bukan perkara utama, yang penting Jaslinda ditemui dalam keadaan selamat.”

Demikian luahan Pegawai Bomba Wan Ahmad Aznan Wan Ahmad Zaki, 29, yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jaslinda Saludin, 49, yang hilang ketika ekspedisi Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih, Tapah pada 24 Mei lalu.

Wanita itu ditemukan selamat di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, Tapah setelah 14 hari dilaporkan hilang.

Menurut anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik itu, khabar penemuan mangsa disambut dengan rasa syukur oleh seluruh pasukan SAR yang bertungkus-lumus mengesan wanita itu sejak hari pertama operasi dijalankan.

Katanya, walaupun mangsa ditemukan oleh pihak lain, perkara itu tidak menjejaskan kegembiraan pasukan penyelamat kerana objektif utama operasi adalah memastikan Jaslinda ditemui dalam keadaan selamat.

“Apabila dimaklumkan mangsa telah dijumpai, saya sangat bersyukur. Lebih melegakan apabila dia ditemukan dalam keadaan selamat.

“Walaupun bukan kami yang menemuinya, kami tetap bersyukur dan menganggap operasi ini berjaya. Tidak kisah siapa yang jumpa, yang penting mangsa selamat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya yang juga anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm), kejayaan menemukan Jaslinda mengakhiri penantian dan kebimbangan semua pihak yang terlibat dalam operasi berkenaan termasuk keluarga mangsa.

“Kami fokus kepada mangsa dan tidak pernah berputus asa. Dalam fikiran kami ketika itu adalah keluarga mangsa yang menunggu khabar berita.

“Kami sentiasa berharap akan ada petunjuk baharu yang boleh membantu mengesan kedudukannya,” katanya.

Pegawai Bomba Mohamad Hafizi Halim, 34, dari BBP Ayer Tawar berkata, segala penat lelah sepanjang operasi terbayar apabila Jaslinda ditemukan selamat selepas dua minggu pencarian yang penuh mencabar.

Katanya, rasa syukur sukar digambarkan kerana segala tekanan yang dihadapi sepanjang operasi seolah-olah hilang serta-merta.

“Saya berasa sangat lega dan kagum kerana bukan mudah untuk seseorang terus bertahan dalam keadaan cuaca yang boleh dianggap ekstrem.

“Namun, pada masa sama saya sedikit terkilan kerana pasukan SAR tidak berjaya menemui Jaslinda lebih awal,” katanya.

Ditanya perkara pertama yang bermain di fikirannya sebaik dimaklumkan mengenai penemuan Jaslinda, anggota Storm itu berkata, dia hanya memikirkan sama ada wanita itu ditemukan dalam keadaan selamat dan sihat atau sebaliknya.

“Kami tertanya-tanya bagaimana keadaannya dan laluan mana yang dilalui wanita terbabit sehingga menyebabkan kami gagal mengesannya.

“Apa pun, yang paling penting adalah dia akhirnya ditemukan dalam keadaan selamat dan itu merupakan satu kelegaan buat semua pihak yang terlibat,” katanya.

CUACA SEJUK

Anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Di Gunung (Mosar), Pegawai Bomba KB1 Azani Ibrahim, 39, berkata, pengalaman menyertai operasi SAR mengesan Jaslinda disifatkan mencabar dan antara yang tidak dapat dilupakan.

Katanya, bentuk muka bumi yang ekstrem dan cuaca yang terlalu sejuk pada waktu malam, ditambah tiupan angin kencang di puncak gunung, menjadi antara detik paling sukar sepanjang operasi berlangsung.

“Laluan yang dilalui sangat sukar dengan gaung curam di kiri dan kanan serta laluan sempit yang memaksa kami merangkak selain bukit tinggi yang perlu didaki.

“Cuaca di puncak gunung pula terlalu sejuk sehinggakan kami tidak boleh tidur dan hanya berhenti sekejap untuk berehat,” katanya.

Mengimbas semula operasi tersebut, Azani yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar berkata, dia menemukan jejak tapak kasut Jaslinda di puncak Gunung Batu Putih namun malangnya kelibat wanita itu tidak kelihatan.

Katanya, dia bersama pasukan kemudian menjejaki kesan tapak kasut tersebut sehingga ke Gunung Rayu, namun di kawasan itu mereka kehilangan jejak.

“Skop pencarian seterusnya difokuskan di lokasi terakhir kesan tapak kasut mangsa melibatkan kawasan satu kilometer persegi, tetapi masih gagal menemui sebarang petunjuk” katanya.

Azani berkata, meskipun skop pencarian diteruskan pada skala kecil, ia tidak mematahkan semangat pasukan SAR.

“Saya sangat kecewa dengan diri sendiri dan bersalah kerana tidak dapat menjumpai mangsa dalam tempoh terdekat, sedangkan saya adalah orang pertama yang mengikuti jejak kesan tapak kasutnya,” katanya.

Bagi nggota Mosar dari BBP Tambun, Allias Ahmad, 44, operasi SAR mengesan Jaslinda disifatkan sebagai operasi yang menguji kemahiran dan pengalamannya sebagai anggota penyelamat.

Menurutnya, setiap jejak dan bukti walaupun sekecil mana, amat penting dalam usaha menjejaki mangsa.

“Kita memang mencari Jaslinda di setiap pelusuk supaya tiada yang terlepas pandang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN