Bersempena Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2026, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengambil pendekatan lebih dekat dengan masyarakat menerusi penganjuran Hari Tanpa Kenderaan (HTK) sebagai platform meningkatkan kesedaran alam sekitar.
Program ini merupakan sebahagian daripada usaha MPAJ dalam meningkatkan kesedaran alam sekitar selain usaha berterusan bagi menjadikan Ampang Jaya sebagai bandar rendah karbon yang mesra komuniti dan lestari.
Menurut Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari, program ini mencerminkan komitmen MPAJ dalam menggalakkan gaya hidup sihat, mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor dan meningkatkan kesedaran alam sekitar.
Katanya, kelestarian alam bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau pihak berkuasa tempatan semata-mata sebaliknya memerlukan penglibatan aktif seluruh masyarakat.
“Setiap tindakan kecil yang dilakukan seperti mengamalkan kitar semula, mengurangkan penggunaan plastik, menjaga kebersihan kawasan sekitar dan menanam pokok mampu memberikan impak yang besar kepada kesejahteraan alam sekitar,” katanya.
MPAJ sentiasa komited melaksanakan pelbagai program hijau yang memberi manfaat kepada masyarakat termasuk program kitar semula, kempen kebersihan, aktiviti penanaman pokok, pendidikan alam sekitar dan pelbagai usaha lain yang menyokong agenda pembangunan mampan.
Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri merangkap Penasihat Yayasan TZA, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kelestarian alam dapat dicapai apabila amalan hijau menjadi budaya harian masyarakat.

“Jika setiap individu memainkan peranan masing-masing, saya yakin kita mampu mewariskan persekitaran yang lebih bersih, sihat dan selamat kepada generasi akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian yang bertempat di Laman Rekerasi Tasik Tambahan, Ampang baru-baru ini.
Perubahan besar terhadap kelestarian alam perlu bermula dengan pembentukan tabiat dan kesedaran dalam kalangan masyarakat setempat yang kemudiannya berkembang menjadi budaya hidup harian.
Aktiviti Komuniti Perkasa Agenda Hijau
Dalam masa sama, acara utama bagi HTK MPAJ kali ini ialah acara Jalan Santai ‘CPR Save A Live’ sejauh 2.2 km yang dianjurkan dengan kerjasama Hospital Ampang malah turut diadakan Ampang Kitar Race iaitu perlumbaan yang menggabungkan elemen pendidikan alam sekitar, pengurusan sisa mampan serta kesedaran kawalan vektor.
Program berbentuk perlumbaan berkumpulan itu menggabungkan elemen pengurusan sisa mampan, amalan kitar semula serta kesedaran kawalan vektor menerusi pelbagai cabaran yang memerlukan peserta menyelesaikan tugasan di beberapa lokasi yang ditetapkan.
Galakan untuk bercucuk tanam dalam komuniti sebagai usaha memperluaskan budaya turut diterapkan melalui pertandingan kebun komuniti selain menggalakkan penggunaan ruang secara produktif demi manfaat sosial, ekonomi dan alam sekitar.
Inisiatif Makanan Berkhasiat
Program MPAJ Kasih: Hidangan Berkhasiat (HiTS) di Sekolah yang dilaksanakan turut dirasmikan serta merupakan antara inisiatif MPAJ bagi menyediakan sarapan pagi yang sihat dan seimbang secara percuma kepada para pelajar yang memerlukan di sekolah-sekolah di kawasan pentadbiran MPAJ.
Hasrolnizam berkata, HiTS akan dilaksanakan secara mingguan iaitu setiap hari dalam seminggu yang melibatkan sekolah yang berbeza serta dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Kesihatan Hulu Langat serta Jawatankuasa Penduduk (JKP).
Inisiatif ini diharap dapat membantu memastikan pelajar memulakan sesi pembelajaran dalam keadaan lebih bersedia sekali gus menyokong perkembangan akademik dan kesihatan mereka.

Malah, ia mencerminkan komitmen MPAJ dalam memastikan agenda pembangunan bandar tidak tertumpu pada aspek fizikal dan infrastruktur sebaliknya merangkumi kesejahteraan sosial dan pembangunan modal insan.
Pelbagai aktiviti sampingan juga turut diadakan termasuk Trash to Cash, aktiviti penanaman pokok, pemeriksaan kesihatan, Jualan Ehsan Rahmah, jualan hasil kebun komuniti, Free Market, edaran susu kotak percuma serta jualan makanan dan minuman.
Pelbagai pertandingan lain dianjurkan melibatkan penyertaan masyarakat daripada pelbagai lapisan umur antaranya Pertandingan Bola Jaring Bawah 18 Tahun, Pertandingan Sepak Takraw Bakat Baharu dan Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Kalah Mati.










