Melihat darah pada najis anak sememangnya boleh mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa.
Walaupun kebanyakan kes berpunca daripada masalah biasa seperti sembelit atau cirit-birit, keadaan itu juga boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan yang lebih serius dan memerlukan pemeriksaan segera.
Pakar Pediatrik, Dr. Yong Junina Fadzil berkata, antara punca paling kerap menyebabkan najis berdarah dalam kalangan kanak-kanak ialah sembelit, cirit-birit serta alahan terhadap protein susu lembu.
“Sembelit merupakan antara punca yang paling kerap ditemui. Najis yang keras boleh menyebabkan luka kecil pada lapisan dubur ketika anak membuang air besar, sekali gus mengakibatkan pendarahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Darah biasanya kelihatan pada permukaan najis atau pada tisu yang digunakan selepas membuang air besar.
Ibu bapa boleh mengenal pasti sama ada pendarahan berpunca daripada luka pada dubur melalui beberapa tanda tertentu.
“Jika pendarahan disebabkan luka pada bahagian anus, anak lazimnya akan berasa pedih ketika membuang air besar dan luka tersebut boleh dilihat dengan jelas.
“Selain itu, kanak-kanak biasanya masih aktif dan tidak menunjukkan tanda-tanda lain yang membimbangkan seperti pucat, lebam pada badan atau kehilangan tenaga,” jelasnya.
Warna darah beri petunjuk awal
Dr. Yong Junina berkata, warna darah pada najis turut boleh memberikan gambaran awal mengenai lokasi pendarahan.
Darah merah terang biasanya berpunca daripada luka di bahagian bawah usus atau dubur kerana darah itu tidak terdedah kepada asid perut dan tidak berada lama dalam sistem penghadaman.
Sebaliknya, darah berwarna gelap atau najis hitam boleh menunjukkan pendarahan dari bahagian atas sistem penghadaman seperti perut atau bahagian atas usus.
Beliau menasihatkan ibu bapa agar tidak membuat andaian sendiri berdasarkan warna darah semata-mata.
Katanya, sesetengah penyakit sistemik seperti masalah hati dan hipertensi portal boleh menyebabkan salur darah di bahagian rektum membengkak dan berdarah.
Selain itu, jangkitan bakteria atau virus tertentu juga boleh menyebabkan najis berdarah apabila kuman tersebut merosakkan lapisan usus sehingga berlaku luka dan pendarahan.
“Dalam sesetengah kes, keadaan ini berlaku akibat keracunan makanan atau jangkitan saluran penghadaman,” katanya.
Perlu rawatan segera
Menurut beliau, setiap episod najis berdarah dalam kalangan bayi berusia bawah satu tahun perlu dianggap sebagai keadaan yang memerlukan pemeriksaan segera.
“Bayi tidak dapat menerangkan simptom yang dialami dan ada penyakit serius yang tidak menunjukkan tanda-tanda khusus pada peringkat awal.
“Kanak-kanak berusia antara empat hingga enam bulan pula mempunyai risiko lebih tinggi mengalami intussusception, iaitu keadaan apabila sebahagian usus masuk ke dalam bahagian usus yang bersebelahan,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu boleh menyebabkan perut kembung dan najis berdarah yang sering digambarkan sebagai blackcurrant jelly stool, iaitu najis berwarna merah gelap bercampur lendir pekat.
Jika tidak dirawat segera, bekalan darah ke usus boleh terjejas sehingga menyebabkan sebahagian usus besar mati dan memerlukan pembedahan.
Dalam masa sama, kanak-kanak yang mempunyai penyakit hati berisiko mengalami gangguan pembekuan darah dan pembengkakan salur darah pada bahagian esofagus, perut, dubur atau rektum.
“Salur darah yang membengkak ini mudah pecah dan boleh menyebabkan pendarahan yang serius.
“Jika berlaku pada bahagian esofagus atau perut, anak mungkin muntah darah dan mengalami najis hitam. Manakala jika berlaku pada bahagian dubur atau rektum, darah yang keluar biasanya berwarna merah terang,” jelasnya.
Bagi mengenal pasti punca sebenar, doktor biasanya akan mengambil sejarah kesihatan pesakit dan menjalankan pemeriksaan fizikal secara menyeluruh.
Rawatan bergantung kepada punca
Dr. Yong Junina berkata, kes yang berpunca daripada sembelit biasanya dirawat dengan ubat pelembut najis dan pelawas, manakala jangkitan bakteria tertentu mungkin memerlukan antibiotik.
Bagi kes yang lebih serius seperti intussusception, rawatan mungkin melibatkan prosedur radiologi atau pembedahan.
Kanak-kanak yang mengalami gangguan pembekuan darah akibat penyakit hati pula memerlukan rawatan khusus termasuk pemberian faktor pembekuan darah.
Dari segi pencegahan, ibu bapa disarankan memastikan anak mengambil makanan tinggi serat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta minum air yang mencukupi bagi mengelakkan sembelit.
Selain itu, penjagaan kebersihan makanan dan amalan mencuci tangan perlu dititikberatkan bagi mengurangkan risiko jangkitan yang boleh menyebabkan cirit-birit.
Bagi kanak-kanak yang disahkan mengalami alahan protein susu lembu, ibu bapa perlu mengelakkan pemberian makanan berasaskan susu lembu seperti susu segar, keju, yogurt dan coklat tenusu.










