Pendidikan formalnya terhenti di tahun 3, namun impian gadis Jakun dari Kampung Orang Asli Pasal, Bera, Pahang untuk bergelar guru tidak pernah luntur.
Di sebalik kekurangan itu, Nuraini Baharum, 25, tetap menyimpan harapan untuk berdiri di hadapan kelas suatu hari nanti sebagai pendidik yang mampu mengubah masa depan anak bangsanya.
Kini, impian yang suatu ketika dahulu dianggap mustahil itu bakal menjadi kenyataan apabila dia mengikuti kursus di bawah inisiatif SOLS ASLI Women Academy (SAWA) sebagai persediaan sebelum mula berkhidmat awal tahun depan.
Peluang keemasan itu bukan sahaja membuka lembaran baharu dalam hidupnya, malah menjadi titik perubahan yang membuktikan setiap insan berhak mendapat peluang kedua dalam pendidikan dan kehidupan.
Mengimbas kisah lalu, anak keempat daripada lima beradik ini terpaksa meninggalkan alam persekolahan di usia muda kerana keluarganya ketika itu kurang menyedari kepentingan pendidikan.
Sejak itu, masanya banyak dihabiskan dengan mengikuti bapa ke kebun, sehingga membataskan peluang untuk belajar.
“Saya pernah tercicir dalam pelajaran, jadi saya faham perasaan bila pendidikan terhenti terlalu awal.
“Sebab itu saya berharap lebih ramai kanak-kanak di kampung saya diberi kesempatan untuk terus belajar dan tidak berputus asa, kerana pendidikanlah yang mampu mengubah masa depan anak bangsa kami,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Dilancarkan awal tahun ini, SAWA melatih wanita Orang Asli berusia antara 21 hingga 40 tahun untuk menjadi guru profesional dan pemimpin komuniti.
Para peserta kemudiannya akan ditempatkan di kampung halaman masing-masing bagi mengendalikan pusat komuniti yang menyediakan pendidikan, literasi digital dan sokongan mata pencarian.
Nuraini yang fasih berbahasa Inggeris berkata, kampungnya mempunyai kira-kira 250 penduduk dengan hampir 50 daripadanya terdiri daripada kanak-kanak yang masih memerlukan akses pendidikan.
Inisiatif SAWA itu melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya kampung berkenaan bakal memiliki pusat komuniti.
Ia sekali gus dapat melancarkan proses pembelajaran kerana pendidik lebih dekat dengan komuniti dan kanak-kanak setempat.
“Abang sepupu saya merupakan Tok Batin dan dia turut menggalakkan pembukaan pusat komuniti itu.
“Harapannya agar pusat itu menjadi ruang pembelajaran kepada seluruh warga terutama dalam aspek penguasaan bahasa Inggeris yang semakin penting pada masa kini,” katanya.

Mahu atasi buta huruf
Sedih melihat ramai kanak-kanak di kampungnya masih belum menguasai kemahiran asas membaca dan menulis, mendorong Nora Kantin, 39, menyertai program itu.
Sebagai ibu kepada empat anak, dia tidak mahu nasib sama yang pernah dilaluinya berulang kepada generasi seterusnya.
Wanita Temiang dari Kampung Orang Asli Lambok, RPS Kuala Betis, Gua Musang itu hanya menerima pendidikan sehingga tahun 5.
“Saya anak sulung daripada tujuh beradik dan terpaksa berhenti sekolah lebih awal untuk membantu emak membesarkan adik-adik selepas ayah meninggal dunia.
“Bila tengok ramai kanak-kanak tidak bersekolah, saya berasa sedih, lebih-lebih lagi ada dalam kalangan mereka yang tidak tahu membaca dan menulis,” katanya.
Dengan sokongan keluarga, Nora bertekad untuk memperkasakan pendidikan kanak-kanak di kampungnya agar mereka tidak tercicir daripada pelajaran.
Katanya, status sebagai isteri dan ibu, serta faktor usia bukan penghalang untuk terus menyumbang kepada masyarakat.
Tawaran elaun, gaji
Berbeza dengan bengkel latihan konvensional lain, program SAWA dibangunkan berasaskan jaminan pekerjaan.
Selepas menamatkan kursus, setiap peserta akan ditempatkan sebagai guru di kampung masing-masing dengan kontrak pekerjaan antara satu hingga tiga tahun.
Pengarah Urusan SOLS 24/7 Foundation, Danutcha Catriona Singh berkata, peserta menerima gaji permulaan sebanyak RM1,700 sebulan, selain faedah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Katanya, setiap peserta diberikan latihan intensif selama enam hingga 12 bulan di ibu pejabat yayasan itu di Kuala Lumpur.
“Pada peringkat awal, program perintis ini disertai enam peserta, namun di pertengahan latihan hanya tiga yang kekal kerana pelbagai faktor termasuk kurang keyakinan untuk berkhidmat.
“Matlamat kami adalah untuk melahirkan pendidik dalam kalangan komuniti sendiri supaya halangan budaya dan bahasa yang sering membantutkan pendidikan luar bandar dapat diatasi,” katanya.










