Bermain Padel dan Pickle di aras tinggi - Utusan Malaysia

Bermain Padel dan Pickle di aras tinggi

Ketua Hartanah Global & Pengurusan Aset Permodalan Nasional Berhad (PNB), Nur Farahbi Shaari; Ketua Pegawai Pelaburan PNB, Hanizan Hood; Ketua Pegawai Eksekutif Sport Town Sdn. Bhd. yang juga pengasas Skycourt Kuala Lumpur, Abd Hazli Zainuddin dan Ketua Pegawai Operasi Attana Hotels & Resorts, Iqmal Muslim pada majlis pelancaran Padel & Pickle Skycourt Kuala Lumpur pada 23 Mei lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Terperangkap dalam kesesakan lalu lintas bagi mereka yang bekerja di segi tiga emas ibu kota bukanlah satu perkara yang asing.

Perkara yang tidak asing itu juga boleh menyebabkan ramai warga kota lebih banyak menghabiskan masa di dalam kenderaan berbanding melakukan aktiviti riadah.

Namun, dengan kemunculan Padel & Pickle Skycourt Kuala Lumpur di tengah-tengah kota raya mampu mengubah senario tersebut.

Bertepatan dengan namanya, Padel & Pickle Skycourt terletak di aras sembilan Hotel Perdana Kuala Lumpur City Centre (Perdana KLCC) dan turut berlatar belakang bangunan ikonik, Menara Tabung Haji.

Gelanggang padel dan pickle yang berbumbungkan langit Kuala Lumpur itu dibuka sehingga pukul 12 tengah malam dan turut dilengkapi dengan selain bilik persalinan, surau dan kafe.

Pengurus Besar Perdana KLCC, Zakaria Ismail berkata, gelanggang tersebut pada aslnya merupakan gelanggang tenis namun telah mulai lusuh selepas sekian lama.

“Pihak hotel ketika iu mempertimbangkan sama ada hendak meneruskan gelanggang ini untuk tenis atau menukarkannya kepada sesuatu yang baharu.

“Selepas menerima beberapa kertas cadangan, Perdana KLCC memutuskan untuk menjadikannya sebagai gelanggang padel dan pickle dengan kerjasama Skycourt kuala Lumpur yang turut diuruskan oleh Sport Town Sdn. Bhd.

“Perubahan tersebut turut menjadi tambah nilai terhadap Perdana KLCC. Pada masa ini, boleh dikatakan Padel & Pickle Sky Court ini merupakan yang tertinggi di Lembah Kelang,”katanya pada majlis pelancaran gelanggang itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Sport Town Sdn. Bhd. yang juga pengasas Skycourt Kuala Lumpur, Abd Hazli Zainuddin (kiri) bersama Pengurus Besar Perdana KLCC, Zakaria Ismail pada majlis pelancaran Padel & Pickle Skycourt Kuala Lumpur

Tambahnya, Padel & Pickle Skycourt mempunya dua gelanggang bagi setiap sukan dan pemain pickleball tidak perlu risau kerana gelanggan itu turut dilengkapi dengan aspek keselamatan yang sesuai – jadi tidak perlu risau bola melantun ke bawah bangunan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sport Town Sdn. Bhd. yang juga pengasas Skycourt Kuala Lumpur, Abd Hazli Zainuddin pihaknya mencadangkan agar gelanggang tenis yang sudah usang itu ditukarkan kepada gelanggan padel dan pickle ekoran terdapatnya peningkatan minat orang ramai terhadap sukan itu.

“Berbanding sukan tenis, sukan padel dan pickle ini boleh dimainkan oleh sesiapa sahaja termasuk mereka yang tidak mempunyai pengalaman. Ia mudah untuk dipelajari,”katanya.

Padel & Pickle Skycourt menawarkan kadar RM50 sejam pada waktu puncak dan RM40 sejam bagi waktu bukan puncak manakala gelanggang padel pula berharga RM160 sejam ketika waktu puncak dan RM140 sejam pada waktu bukan puncak.

Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan promosi terkini, maklumat semasa serta pelbagai tawaran menarik menerusi Instagram dan Facebook skycourts.my bagi merancang aktiviti bersama keluarga dan rakan-rakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN