Tayar kenderaan yang dicipta dengan teknologi sudah pasti memberikan peningkatan keselamatan kepada aspek pemanduan dan prestasi.
Apatah lagi tayar tersebut direka dengan ciri tambahan dan spesifikasi tertentu untuk memenuhi keseluruhan keperluan berdasarkan cuaca dan iklim di sesebuah negara.
Dengan perkembangan industri automotif yang semakin beralih kepada permintaan kenderaan elektrik bateri (BEV), kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) dan kenderaan elektrik hibrid (HEV) yang menyaksikan peningkatan lebih 300 peratus dalam tempoh empat tahun lalu mmebuka ruang terhadap pembuatan tayar berteknologi tinggi.
Seiring dengan perkembangan itu, Toyo Tyre Malaysia Sdn. Bhd. memperkenalkan dua produk terbaharunya iaitu siri Proxes Comfort dan Open Country HT II (OPHT II) yang direka khas untuk pelbagai segmen kenderaan termasuk BEV, PHEV, HEV serta kenderaan pacuan empat roda (4×4).
Naib Presiden Eksekutif Jualan dan Pemasarannya, Keishi Inoue berkata, Proxes Comfort menawarkan keselesaan premium, kestabilan dan cengkaman optimum dalam pelbagai keadaan pemanduan.
“Open Country HT II pula diperkenalkan bagi memenuhi keperluan pemandu 4×4 dengan menawarkan kawalan lebih baik, kecekapan bahan api serta cengkaman yang boleh dipercayai di pelbagai permukaan jalan,” katanya.
Katanya, pembuatan setiap tayar dibuat berdasarkan pemahaman mendalam terhadap cuaca dan corak pemanduan pengguna tempatan.
Jelasnya, konsep ‘buatan Malaysia, keunggulan Jepun’ menjadi teras identiti syarikat dalam menghasilkan tayar berkualiti tinggi.











