Sokongan keluarga menjadi kekuatan buat Muhammad Mukmin Muhamad Faris bagi membina kehidupannya di Jepun malah dia tidak menyangka menjadi antara pencipta kandungan yang mendekatkan masyarakat Malaysia dengan bahasa dan budaya negara matahari terbit itu.
Mukmin akui dirinya sejak awal memang memasang impian untuk berhijrah dari Malaysia dan melihat sendiri bagaimana kehidupan di luar negara.
Namun dia berkata permulaannya tidak mudah berikutan kegagalanya untuk mendapatkan biasiswa bagi melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Namun, ibunya bersetuju untuk menampung kosnya ke Jepun bagi tempoh setahun sahaja dan seterusnya dia perlu berusaha untuk mendapatkan duit bagi menyara kehidupannya di sana.
“Itulah permulaan saya untuk hidup di Jepun dengan wang belanja yang telah diberikan oleh ibu saya dan pada ketika itu memang saya berserah kepada tuhan untuk memudahkan kehidupan baru saya di sana (Jepun),” katanya yang kini sudah menetap di Jepun lebih tujuh tahun.

Walaupun bidang pengajiannya tidak mempunyai kaitan dengan dunia kandungan digital, pengalaman hidup di Jepun memberinya pelbagai perspektif baharu yang akhirnya menjadi inspirasi dalam setiap kandungan yang dihasilkannya.
Kini, selain memiliki kerjaya tetap di Jepun, Mukmin masih aktif menghasilkan kandungan digital berkaitan bahasa dan budaya negara itu menerusi media sosial khususnya di aplikasi TikTok menerusi akaun @mukminfaris yang semakin mendapat perhatian ramai.
Mengenali budaya dan bahasa Jepun dengan gaya yang santai
Pada awalnya, Mukmin hanya membuat video ringkas berkaitan dengan bahasa Jepun namun dia tidak menyangka video tersebut mendapat sambutan daripada pengguna internet serta menjadi rujukan bagi mempelajari bahasa jepun dengan mudah.
“Pada awalnya hanya suka-suka buat video namun saya tidak menyangka video saya menerima reaksi yang positif terutama sekali di aplikasi Tiktok malah ada yang tular juga,” katanya.
Mukmin berkata, pendekatannya yang santai tetapi sarat dengan nilai pembelajaran bagi setiap video dilihat memudahkan penonton untuk hadam setiap konten yang dihasilkannya.
Rata-rata konten yang diketengahkannya berkaitan dengan bahasa, budaya serta sisi manusiawi masyarakat Jepun melalui interaksi di jalanan.
Video-video yang dihasilkannya juga menampilkan tentang restoran halal di Jepun, perbualan bersama penduduk Jepun serta bercakap dalam bahasa Jepun bersama rakyat Malaysia di Jepun membuatkan penonton berasa dekat dengan budaya negara tersebut.

“Ada juga yang yang saya lihat di ruangan komen yang mereka seolah-olah seperti berada di Jepun apabila melihat video saya walaupun mereka tidak pernah menjejakkan kaki ke sana,” ujarnya.
Menjadikan Kritikan Sebagai Ruang Memperbaiki Diri
Antara kata-kata yang dia masih pegang sehingga ke hari ini ialah mengenai kepentingan manusia untuk saling belajar antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan budaya.
“Saya suka satu ayat al-Quran yang cakap manusia dijadikan untuk saling mengenali dan belajar antara satu sama lain,” katanya.
Walaupun sering menerima pujian daripada setiap video yang dihasilkannya dia juga tidak terlepas daripada menerima kecaman dan komen negatif di media sosial.
Malah, ada masanya dia menerima komen negatif termasuk daripada warga Jepun sendiri namun dia memilih untuk melihat perkara itu dari sudut yang lebih matang.
“Setiap orang mempunyai pemahaman yang berbeza jadi saya percaya tidak semua orang akan melihat sesuatu perkara dari sudut yang sama, lebih-lebih lagi di media sosial yang penuh dengan pelbagai pandangan, ” tambah Mukmin.
Sokongan keluarga serta komen positif daripada pengikut menjadi sumber kekuatan utama baginya untuk terus menghasilkan kandungan yang bermanfaat.
Antara perkara paling menyentuh hatinya adalah apabila menerima mesej daripada individu yang mula belajar bahasa Jepun selepas menonton videonya.
Mukmin berkata, pengalaman itu membuatkan dia sedar kandungan media sosial sebenarnya boleh memberi impak besar jika digunakan dengan cara yang betul.










