Tidur dengan solekan punca kulit mudah rosak

Tidur dengan solekan punca kulit mudah rosak

TIDUR dengan solekan bukanlah punca utama, tetapi boleh meningkatkan risiko terutama bagi individu yang sudah terdedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tabiat tidur tanpa membersihkan solekan sering dianggap remeh, terutamanya selepas menjalani hari yang penat.

Dalam rutin harian yang padat, ada yang memilih untuk terus berehat tanpa melalui proses pembersihan wajah yang lengkap.

Namun dari sudut dermatologi, amalan ini bukan sekadar isu kebersihan, sebaliknya boleh memberi kesan beransur-ansur terhadap kesihatan kulit wajah jika dilakukan secara berulang.

Pakar perunding dan bedah dermatologi, Dr. How Kang Nien berkata, walaupun tidur dengan solekan tidak menyebabkan kerosakan akut dalam satu malam, amalan tersebut boleh mengganggu fungsi semula jadi kulit secara kumulatif jika tidak dikawal.

“Secara klinikal, kita melihat peningkatan risiko jerawat, iritasi dan kulit kusam dalam kalangan individu yang tidak membersihkan solekan dengan sempurna sebelum tidur,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Fasa pemulihan kulit pada waktu malam

Pada waktu malam, kulit memasuki fasa pemulihan penting yang melibatkan pembaharuan sel serta pemulihan lapisan perlindungan kulit atau skin barrier.

Proses ini berperanan mengekalkan kelembapan, melindungi kulit daripada iritasi dan memastikan fungsi kulit kekal seimbang.

Namun, apabila solekan tidak dibersihkan, sisa kosmetik bercampur dengan minyak semula jadi (sebum), sel kulit mati serta pencemaran akan kekal pada permukaan kulit.

Keadaan ini boleh mengganggu proses pembaharuan sel dan seterusnya menjejaskan fungsi perlindungan kulit secara keseluruhan.

Jerawat bukan punca tunggal

Dalam aspek jerawat, Dr. Kang Nien berkata bahawa tidur dengan solekan bukanlah punca utama, tetapi ia boleh meningkatkan risiko terutama bagi individu yang sudah terdedah.

Campuran sisa kosmetik, sebum dan sel kulit mati boleh menyumbat pori-pori lalu membentuk mikrokomedon, iaitu asas kepada pembentukan jerawat.

Persekitaran tertutup ini turut menyokong pertumbuhan bakteria Cutibacterium acnes, yang akhirnya mencetuskan keradangan.

Selain jerawat, masalah lain yang boleh berlaku termasuk dermatitis iritan atau alergi, kulit menjadi kasar dan kusam akibat gangguan proses turnover, serta iritasi di kawasan mata seperti blepharitis ringan.

Gangguan pada rintangan kulit juga boleh meningkatkan kehilangan air dari kulit, menyebabkan kulit menjadi lebih kering dan sensitif.

Kawasan mudah terjejas

Bahagian tertentu wajah lebih mudah terjejas berbanding kawasan lain. Kawasan sekitar mata yang mempunyai kulit lebih nipis cenderung mengalami iritasi dengan lebih cepat jika solekan tidak dibersihkan.

Kawasan T-zone seperti dahi, hidung dan dagu pula lebih terdedah kepada penyumbatan pori kerana kaya dengan kelenjar minyak.

Bibir juga mudah terkesan kerana lapisan perlindungannya lebih lemah, menjadikannya lebih cenderung mengalami kekeringan atau perubahan tekstur.

Dari segi jenis produk, solekan mata seperti maskara dan eyeliner berisiko menyebabkan iritasi jika tidak dibersihkan dengan sempurna.

Bedak asas pula lebih cenderung menyumbat pori, manakala produk bibir boleh menyebabkan kekeringan atau perubahan pigmentasi jika dibiarkan terlalu lama.

Menurut Dr. Kang Nien, individu dengan kulit sensitif atau mudah berjerawat perlu lebih berhati-hati kerana mempunyai tahap keradangan yang lebih rendah.

“Dalam kumpulan ini, walaupun hanya sekali-sekala tertidur dengan solekan, ia masih boleh mencetuskan masalah ringan atau iritasi sementara,” jelasnya.

Tanda awal kulit memberi amaran

Antara tanda awal termasuk peningkatan jerawat atau komedon, tekstur kulit menjadi kasar, kemerahan, rasa pedih serta pori yang kelihatan lebih jelas.

Dalam sesetengah keadaan, kulit juga boleh kelihatan kusam dan tidak berseri.

Gejala pada mata seperti kemerahan dan rasa berpasir turut menunjukkan kawasan tersebut terjejas akibat sisa solekan yang tidak dibersihkan.

Cara pembersihan yang betul

Mengulas kaedah pembersihan, Dr. Kang Nien menegaskan penggunaan penanggal solekan sahaja tidak mencukupi untuk memastikan kulit benar-benar bersih.

“Pendekatan pembersihan berganda lebih sesuai kerana ia membantu menanggalkan solekan terlebih dahulu sebelum membersihkan sisa yang tertinggal pada kulit,” katanya.

Dalam situasi terlalu penat, sekurang-kurangnya bersihkan bahagian muka utama dan mata menggunakan micellar water sebagai langkah minimum.

“Walaupun bukan kaedah ideal, ia masih lebih baik daripada tidak membersihkan wajah langsung,” katanya.

Bagi mereka yang memakai makeup setiap hari, konsistensi dalam rutin pembersihan amat penting.

Selain itu, pemilihan produk non-comedogenic, penggunaan secara sederhana serta penjagaan skin barrier perlu diberi perhatian.

Memberi rehat kepada kulit secara berkala juga boleh membantu proses pemulihan semula jadi.

Secara keseluruhan, tidur dengan solekan bukanlah satu-satunya punca masalah kulit, namun ia merupakan faktor penyumbang yang signifikan.

Dalam banyak kes, kegagalan mendapatkan hasil penjagaan kulit yang diingini sering berpunca daripada pembersihan wajah yang tidak mencukupi, walaupun penggunaan produk lain adalah betul.

“Dari perspektif dermatologi, isu utama bukan sekadar penggunaan solekan, tetapi bagaimana ia dibersihkan. Pembersihan yang tidak mencukupi boleh mengganggu fungsi kulit secara beransur dan menjejaskan keberkesanan rawatan kulit secara keseluruhan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN