KUALA TERENGGANU: Penganjur Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu mempertahan kenyataan berhubung jemputan program itu yang didakwanya dihantar secara rasmi kepada semua parti Melayu termasuk UMNO.
Pengarah program, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, bagaimanapun tiada wakil UMNO yang hadir sepanjang program berlangsung.
Kata beliau, pihaknya bukan sahaja menjemput pimpinan utama malah turut memohon supaya wakil dihantar sekiranya mereka tidak dapat hadir.
“Kita telah menghantar surat jemputan dan turut meminta agar wakil dihantar sekiranya pimpinan utama tidak dapat hadir, namun tiada wakil yang hadir,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Sementara itu, UMNO Terengganu dalam kenyataannya berkata, jemputan kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah atas kapasiti individu dan bukan mewakili parti.
Timbalan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku berkata, surat jemputan bertarikh 18 Mac itu hanya ditujukan kepada Ahmad Zahid tanpa menyatakan jawatan sebagai Presiden UMNO atau mewakili parti tersebut.
Penjelasan itu dibuat susulan tularnya surat jemputan yang dialamatkan terus kepada Ahmad Zahid tanpa menyatakan kapasiti rasmi sebagai pemimpin parti.
Terdahulu, UMNO Terengganu memaklumkan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang jemputan rasmi ke program penyatuan ummah yang berlangsung selama tiga hari di Kompleks Sukan Negeri, Kuala Nerus, dekat sini bermula Khamis lalu.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum itu berkata, jemputan dihantar kepada semua wakil parti Melayu di negara ini, namun kehadiran adalah bergantung kepada kelapangan masing-masing. – UTUSAN










