Dalam era apabila algoritma semakin mempengaruhi naratif harian masyarakat, muncul satu fenomena psikologi yang boleh dianggap sebagai ‘wabak senyap’, yang sedikit demi sedikit menggugat kestabilan emosi dan ekonomi masyarakat moden.
Fenomena Fear of Missing Out atau lebih dikenali sebagai FOMO kini sudah menjadi satu budaya yang semakin membarah dan tanpa sedar mula merosakkan kestabilan ekonomi peribadi kebanyakan individu.
PIAWAIAN HIDUP DI ALAM MAYA
Paparan kemewahan serta kejayaan segera yang sering ditayang dalam media sosial mewujudkan satu piawaian hidup palsu sehingga menyebabkan ramai orang berasa terbeban untuk mengikut gaya hidup di luar kemampuan.
Keadaan ini mencetuskan satu risiko tingkah laku kewangan yang sangat membimbangkan kerana keputusan untuk berbelanja tidak lagi dibuat berdasarkan keperluan hidup yang sebenar.
Malah, ia lebih kepada perasaan takut dipandang rendah oleh masyarakat sekeliling sehingga menyebabkan peperangan biokimia berlaku di dalam otak individu yang memacu tindakan drastik tersebut.
KETAGIH VALIDASI
Pakar Psikologi daripada Jabatan Psikiatri, Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (HPUniSZA), Dr. Rosliza Yahya berkata, fenomena ini berkait rapat dengan proses biologi yang kompleks.

Beliau menjelaskan apabila seseorang menerima interaksi sosial digital seperti ‘likes’ atau komen, sistem ganjaran otak khususnya laluan dopaminergik akan diaktifkan secara serta-merta.
“Apabila seseorang menerima interaksi sosial digital, sistem ganjaran otak akan diaktifkan dan memberikan ganjaran yang tidak dapat diramalkan, sekali gus menggalakkan perlakuan kompulsif,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dr. Rosliza menjelaskan kajian neurosains menunjukkan perasaan ‘tertinggal’ daripada sesuatu yang tular diproses oleh bahagian otak yang sama dengan kesakitan fizikal.
Bahagian otak yang dikenali sebagai anterior cingulate cortex itu akan bertindak balas dengan menghantar isyarat distress emosi yang sangat nyata.
PERANGKAP HUTANG
Pakar Kewangan yang juga merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Datuk Dr. Nik Maheran Nik Muhammad berkata, kegagalan mengawal nafsu menyebabkan ramai membelakangkan realiti kewangan demi validasi digital.

“FOMO ini sebenarnya ibarat sebilah pedang dua mata yang mampu memusnahkan masa depan kewangan seseorang jika mereka tidak mempunyai disiplin yang kuat,” katanya.
Munculnya pelbagai kemudahan sistem bayaran ansuran seperti Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) dan penggunaan kad kredit tanpa kawalan sebenarnya lebih memburukkan lagi keadaan.
“Segala kemudahan teknologi kewangan ini sebenarnya memberikan satu ilusi kita mampu memiliki sesuatu barang, sedangkan hakikatnya kita meminjam wang masa depan,” ujar Dr. Nik Maheran.
KAYA DALAM MEDIA SOSIAL, REALITI MUFLIS
Beliau turut memberi peringatan keras tentang risiko lahirnya generasi yang hanya nampak hebat di alam maya tetapi tidak mempunyai simpanan aset yang kukuh.
Trend sebegini jika tidak dibendung akan mewujudkan rantaian hutang yang tidak berkesudahan sehingga menyukarkan golongan muda untuk membeli aset yang lebih penting seperti kediaman.
Walau bagaimanapun, beliau berpendapat perasaan FOMO ini tidaklah semuanya buruk jika ditukarkan kepada sesuatu yang lebih bermanfaat.
“Jika kita guna perasaan takut ketinggalan itu secara positif, ia boleh menjadi pembakar semangat untuk kita keluar dari zon selesa dan berusaha dengan lebih gigih,” katanya.
KENALI TANDA HILANG JATI DIRI
Dr. Rosliza mengingatkan tanda-tanda awal kehilangan jati diri termasuklah kerap membandingkan diri dengan gambaran kehidupan orang lain yang diidealkan.
“Antara tanda awal yang perlu diperhatikan termasuklah perbandingan sosial berterusan dan kebergantungan validasi luaran berdasarkan jumlah tanda suka,” katanya.

Keterhubungan berterusan tanpa peluang untuk pemulihan psikologi boleh memburukkan lagi ketidakstabilan emosi.
Gangguan tidur akibat penggunaan peranti lewat malam turut memburukkan lagi keadaan dan boleh membawa kepada peralihan identiti yang rapuh.
DETOKS DIGITAL
Bagi memutuskan rantaian ini, langkah pertama yang paling efektif adalah melalui detoks digital secara berperingkat bagi mewujudkan penggunaan teknologi yang lebih seimbang.
Masyarakat perlu beralih daripada mencari pengesahan luaran kepada membina nilai diri yang berasaskan dalaman.
Kunci kepada kebahagiaan hidup yang sebenar adalah dengan membina disiplin yang tinggi dalam membahagikan wang untuk perbelanjaan harian serta simpanan kecemasan.
Kejayaan yang paling bermakna bukanlah terletak pada pujian orang terhadap barangan yang kita miliki, tetapi pada ketenangan hati apabila mempunyai simpanan yang cukup dan mengenali nilai diri sendiri tanpa perlu mengejar algoritma yang tidak berjiwa.










