NCT Smart Industrial Park (NSIP) diiktiraf sebagai Taman Perindustrian Pintar Berurus (IR4.0) pertama pada 2025.
Pengiktirafan itu sekali gus menyerlahkan peranannya sebagai perintis dalam menyepadukan teknologi canggih bagi memacu inovasi sektor perindustrian negara ke tahap lebih tinggi.
Apatah lagi ia menggabungkan elemen digitalisasi, automasi serta infrastruktur bersepadu yang mampu meningkatkan kecekapan operasi industri selari dengan aspirasi negara untuk memperkukuh daya saing dalam era ekonomi digital dan Revolusi Perindustrian 4.0.
Pengarah Eksekutifnya, Yap Chun Theng berkata, pembangunan berkenaan meliputi kawasan seluas 296.23 hektar di Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS).
Katanya, NSIP turut menetapkan penanda aras baharu dalam pembangunan perindustrian pintar dan mampan, selain menawarkan lokasi strategik berhampiran hab logistik utama seperti KLIA, KLIA2, Pelabuhan Klang dan Lebuhraya Pantai Barat (WCE), yang menyediakan ketersambungan menyeluruh melalui udara, laut dan darat.
“Sejak dilancarkan pada 2023 dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM10 bilion, projek itu dibangunkan dalam lima fasa.
“Fasa pertama merangkumi 270 unit kilang terdiri daripada jenis berkembar, separa berkembar, kluster dan teres, selain turut melibatkan lot tanah perindustrian,” katanya.
Dalam pada itu, Chun Teng berkata, NSIP telah membuktikan keupayaannya sebagai peneraju sektor ini dengan pelaksanaan teknologi Industri 4.0 yang meningkatkan kecekapan, ketersambungan serta kemampanannya.
Beliau berkata, pembangunan itu turut dilengkapi infrastruktur bertaraf dunia seperti jalan raya selebar 220 kaki, kuarters pekerja berpusat (CLQ) berkuasa kecerdasan buatan (AI), sistem digital twin berasaskan awan serta penyelesaian ESG termasuk bumbung sedia solar dan sistem tebatan banjir.
Tambahnya, Fasa 2 dan 3 akan memperluaskan lagi komponen perindustrian, manakala Fasa 4 dan 5 bakal memperkenalkan elemen komersial seperti stesen minyak dan lot kedai bagi melengkapkan ekosistem bersepadu pembangunan berkenaan.











