Keunikan koleksi pereka muda ini terletak pada teknik pembentukan tekstur yang menggunakan gam panas dan benang perak metalik.
Hasilnya, permukaan busana tampil menyerupai struktur busut semut yang berlapis dan organik.
Siluet berstruktur serta elemen futuristik yang digunakan turut mencerminkan keindahan dan kekuatan formasi semula jadi.
Sentuhan kreatif Nur Diyana Mohd. Zamili, 25, menampilkan kesan tiga dimensi yang jelas, dengan pendekatan eksperimental dalam reka bentuk dan estetika avant-garde berani.
“Inspirasi utama datang daripada struktur semula jadi busut semut yang kompleks, tekstur
permukaan bumi dan keunikan seni bina alam.

“Saya tertarik bagaimana struktur kecil dalam alam mempunyai kekuatan visual dan fungsi yang boleh diterjemahkan ke dalam reka bentuk fesyen,” katanya baru-baru ini.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Seni Reka Fesyen di Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini berkata, tempoh selama setahun diambil untuk menyiapkan koleksi bertajuk Anthill Art itu.
Ia melibatkan fasa kajian konsep, penyelidikan visual, pembangunan idea, penghasilan pola, eksperimen teknikal dan material, selain penyediaan dokumentasi akhir serta pembentangan koleksi.
Menurutnya, cabaran utama ialah menghasilkan tekstur yang stabil dan mengekalkan struktur pakaian melalui teknik eksperimen.
“Proses membentuk material menuntut ketelitian dan penerokaan teknikal mendalam agar boleh dipakai sambil mengekalkan bentuk artistiknya.
“Sebagai pereka muda, saya berhasrat untuk terus meneroka teknik baharu, mengembangkan kreativiti dan membawa pendekatan eksperimental dalam industri fesyen,” katanya.










