Masalah dagu berlapis atau lebih dikenali sebagai double chin sering dikaitkan dengan pertambahan berat badan.
Namun, keadaan ini tidak hanya berlaku dalam kalangan individu berbadan besar, malah mereka yang kurus juga boleh mengalaminya.
Ketua Pegawai Eksekutif Klinik Lovina, Mejar (B) Dr. Hamidah Mohd. Salleh berkata, dari sudut perubatan, dagu berlapis dikenali sebagai submental subcutaneous fat iaitu pengumpulan lemak di bahagian bawah dagu.

“Secara asasnya, kawasan bawah dagu kita terdiri daripada kulit, lemak, otot dan tulang. Dagu berlipat berlaku apabila lemak terkumpul atau apabila kulit serta otot di kawasan itu menjadi kendur,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, faktor struktur wajah juga memainkan peranan penting.
“Ada individu yang secara genetik mempunyai tulang rahang kecil atau dagu yang kurang menonjol. Struktur ini menyebabkan kawasan bawah dagu kelihatan lebih berlapis walaupun berat badan normal,” jelasnya.
Gabungan faktor genetik dan penuaan
Dagu berlapis lazimnya berpunca daripada gabungan beberapa faktor, termasuk genetik, peningkatan berat badan dan proses penuaan.
“Apabila usia meningkat, penghasilan kolagen berkurang. Kulit menjadi kurang anjal dan otot seperti platysma turut mengendur. Keadaan ini menjadikan lipatan di bawah dagu lebih jelas,” katanya.
Gaya hidup moden juga menyumbang kepada masalah ini.
“Keadaan ini dikenali sebagai ‘tech neck’. Tabiat kerap menunduk melihat telefon pintar dalam tempoh yang lama boleh memburukkan lagi penampilan lipatan di bahagian leher dan dagu,” katanya.
Beliau berkata, penurunan berat badan secara mendadak juga boleh menyebabkan kulit kendur, sekali gus membuatkan dagu berlapis lebih ketara.
Kawalan melalui gaya hidup sihat
Bagi mengawal masalah ini, amalan gaya hidup sihat amat penting. Antaranya termasuk mengurangkan pengambilan gula dan makanan diproses, bersenam secara konsisten serta mendapatkan tidur yang mencukupi.
“Tidur yang tidak cukup menyebabkan badan berada dalam keadaan stres. Walaupun kita tidak sedar, hormon stres boleh menyumbang kepada pertambahan berat badan,” katanya.
Senaman kardio serta latihan kekuatan berkesan untuk menurunkan lemak tubuh secara menyeluruh.
Namun, pengurangan lemak secara setempat, termasuk di kawasan bawah dagu, bukanlah sesuatu yang mudah dicapai melalui senaman sahaja.
Rawatan estetik dan pembedahan
Bagi mereka yang inginkan perubahan lebih ketara, terdapat beberapa rawatan estetik yang boleh dipertimbangkan seperti HIFU, radiofrekuensi, suntikan pelarut lemak, kaedah pembekuan lemak serta thread lift.
“Rawatan seperti HIFU membantu mengetatkan kulit dan merangsang penghasilan kolagen. Suntikan pula bertujuan mencairkan lemak di bawah dagu. Namun kebiasaannya rawatan ini memerlukan beberapa sesi untuk mendapatkan hasil optimum,” katanya.
Dr. Hamidah berkata, hasil rawatan bukan pembedahan mengambil masa sekitar dua hingga tiga bulan untuk dilihat dengan jelas.
Bagi kes yang lebih serius, pembedahan mungkin menjadi pilihan.
“Pembedahan memberikan hasil yang lebih cepat dan ketara, tetapi ia melibatkan risiko seperti parut, pendarahan dan jangkitan. Sebab itu ia perlu dilakukan di hospital oleh pakar bedah bertauliah,” katanya.
Penjagaan kulit sejak awal
Dalam aspek penjagaan kulit, penggunaan pelindung matahari, pelembap dan produk berasaskan retinol boleh membantu mengekalkan keanjalan kulit.
“Merokok dan pengambilan gula berlebihan boleh merosakkan kolagen. Jika mahu kulit kekal anjal dan tegang, elakkan tabiat itu,” katanya.
Beliau turut menjelaskan teknik seperti gua sha hanya membantu dari segi saliran limfa dan mengurangkan bengkak sementara.
“Kalau kulit sudah terlalu kendur, gua sha tidak akan menghilangkannya sepenuhnya. Ia hanya membantu sedikit sahaja,” jelasnya.
Beliau turut menambah, golongan muda perlu memberi perhatian terhadap kawalan berat badan, mengelakkan tabiat tunduk terlalu lama ketika menggunakan telefon serta konsisten dengan rutin penjagaan kulit sejak usia muda.
“Jangan tunggu masalah jadi teruk baru hendak bertindak. Pencegahan sentiasa lebih baik daripada rawatan,” katanya.










