“Sabar itu bercabang tiga. Sabar menghadapi bencana, sabar melakukan kebaikan dan sabar meninggalkan maksiat. Antara cabaran dalam bulan Ramadan ialah sabar untuk berdiri lama solat kepada Allah dan sabar tidak mencari solat paling pendek.”
Benar! Tarawih atau solat malam sepanjang Ramadan ialah amalan sunat. Ditinggal tidak berdosa, dibuat melimpah pahalanya. Namun, perlu diingat Islam ialah agama yang hidup kerana nasihat.
Bahkan Allah menegaskan betapa peringatan berguna untuk orang beriman
“Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang beriman (al-Dhariyat 51:55).
Solat yang dipenuhi dengan segala rukun dan amalan sunat seumpama membina rumah yang indah, lengkap serta sempurna segala kelengkapan asasi dan perhiasannya.
Terbaharu, tular sebuah video yang menunjukkan imam di sebuah Masjid di Terengganu cuma membaca Alif Lam Mim atau tiga huruf di awal surah untuk satu rakaat solat. Ada teman yang bertanya perihal solat sebegini. Pastinya solat mereka sah kerana tuntutan rukun solat hanya al-Fatihah sebagaimana sabda Nabi:
“Tidak sah solat orang yang tidak membaca (mengucapkan) surah al-Fatihah (Sahih al-Bukhari, 756).
Namun, kesempurnaan ibadah tidak hanya disebabkan perkara rukun tetapi melibatkan tambahan lain seperti pilihan membaca surah selepas al-Fatihah. Cadangan membaca surah selepas al-Fatihah bukan kosong. Ia seakan mengajak para makmum mendengar pesan Allah kepada mereka dengan alunan al-Quran. Tambahan pula sahabat pernah bertanya jenis solat terbaik. Ini hadisnya:
Jabir menceritakan, Rasulullah SAW pernah ditanya tentang jenis solat terbaik. Baginda menjawab ‘Solat yang panjang berdirinya’ (Sahih Muslim, 756).
Pastinya bacaan al-Fatihah sahaja tidak mungkin merealisasikan maksud sabda baginda di atas. Contoh praktikal dapat kita saksikan daripada tindakan nabi.
Ertinya: Aishah RA berkata; Aku selalu solat bersama Rasulullah secara sempurna dalam satu malam. Baginda membaca surah al-Baqarah, Ali ‘Imran dan al-Nisa’ (dalam lingkungan lima juzuk).
Setiap kali sampai ayat yang ada mesej menggerunkan jiwa baginda akan memohon perlindungan dengan Allah (daripada ancaman itu). Setiap kali sampai ayat yang punyai janji kegembiraan (syurga dan rahmat), baginda akan berdoa kepada Allah (agar diberikan ni’mat itu) serta sangat bersungguh memohonnya (Musnad Ahmad, 23,468).
Dalam isu ini, teguran perlu diberikan kepada (1) pilihan Muslimin sepanjang Ramadan dan pihak (2) sudut pengurusan Masjid.
Pertama – bagi individu Muslim, peluang hidup dan mampu meningkatkan ibadat dalam bulan Ramadan ialah nikmat yang sangat dicemburui oleh orang yang sudah lama dijemput Allah. Jika mereka boleh bicara, pastinya mereka mahu hidup kembali dan masuk beribadat dengan qiyam yang panjang sepanjang Ramadan.
Dalam sebuah hadis, sahabat Nabi bernama Talhah bermimpi bertemu dua sahabat lain yang sudah meninggal dunia. Orang pertama gugur syahid setahun lebih awal daripada orang kedua.
Orang kedua cuma mati biasa bukan syahid. Namun, dalam mimpinya Talhah melihat orang yang mati lewat setahun ‘terlebih dahulu’ dipelawa malaikat masuk ke syurga.
Ini tanda ketinggian darjatnya. Baginda mengesahkan mimpi ini dengan sabdanya:
“Bukankah lelaki ini sudah hidup selepas kawannya yang mati syahid itu selama setahun?”
Jawab para sahabat: “Benar.” Sambung baginda lagi: “Bukankah dia sudah mendapati bulan Ramadan dan berpuasa dalamnya dan telah mendirikan solat yang demikian dan demikian (solat yang banyak dan panjang) bersama sujudnya dalam setahun itu?” Jawab mereka: “Benar.” Sabda Nabi SAW: “Maka beza antara mereka lebih jauh dari langit dan bumi.” (Sunan Ibn Majah, 3915).
Anda punya pilihan untuk berdiri lama dalam solat atau memilih masjid yang mengambil masa hanya 15 minit untuk menyempurnakan seluruh lapan rakaat. Tiada siapa boleh memaksa anda, cuma orang yang bijak pastinya merebut limpahan pahala Ramadan yang ditawarkan Allah.
Kedua – Pihak pengurusan masjid perlu mengambil peluang Ramadan mendidik jemaah beribadat dengan cara paling menepati sunnah nabi. Ibadat tarawih bukan hanya ritual yang perlu dihabiskan pada setiap malam Ramadan. Ia juga tidak sepatutnya dianggap sebagai ‘sasaran kerja bulanan’ yang perlu dilengkapi oleh pengurusan masjid.
Sebaliknya solat tarawih punyai singinifikan kepatuhan serta kerendahan hati kepada Allah yang mengurniakan kemuliaan Ramadan. Logiknya, jika solatnya terlalu tergesa-gesa mahu dihabiskan demi meraih senyuman, pujian dan angka bilangan Jemaah, maka roh Ramadan yang bertujuan melahirkan insan bertakwa sukar dicapai.
Solat panjang atau lama adalah masa intim bersama Allah dan suatu nikmat yang patut dikejar. Lihat kisah wahyu pertama Nabi Musa ini:
“Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa?” Nabi Musa menjawab: “Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa, berjalan, dan aku memukul dengannya daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu” (20:17-18).
Ayat ini mengisahkan dialog antara Allah dengan Nabi Musa AS. Menariknya, soalan Allah cuma satu dan sepatutnya jawapan Nabi Musa AS pun cukup dengan satu jawapan iaitu ini tongkatku!
Akan tetapi baginda sengaja melanjutkan jawapannya berjela-jela. Mengapa? Tidak lain kerana baginda mahu memanjangkan sesinya bersama Allah.
Peluang ini Allah buka kepada kita semua seluas-luas dan sepanjang-panjangnya dalam solat tarawih atau Qiyam Ramadan.
Analogi penutup rencana ini ialah, anda dijemput seorang lelaki kaya hadir kenduri. Dalam kendurinya disediakan berbagai makanan serta lauk pauk yang mahal, sedap lagi berzat.
Tempoh masanya pun panjang tanpa had. Anda dibenarkan duduk menikmati semua yang disediakan tanpa had. Jemputannya eksklusif dan hanya untuk orang tertentu sahaja. Ketika sampai ke tempat kenduri, anda sedang kelaparan.
Sayangnya, anda cuma mengambil sejemput nasi putih berkuah kicap tanpa ‘sebarang lauk’. Selepas makan anda segera keluar dengan perut masih lapar. Aduhai ruginya!
Penulis adalah Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.










