‘Shabu-Shabu’ meriahkan iftar di Mercure Living Putrajaya

‘Shabu-Shabu’ meriahkan iftar di Mercure Living Putrajaya

ANTARA masakan gulai kawah dalam bufet 'Air Tangan Bonda' di Mercure Living Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA kebiasaannya bufet Ramadan sinonim dengan deretan lauk kampung dan hidangan tradisional, lain pula pendekatan dibawakan Mercure Living Putrajaya apabila memperkenalkan stesen khas ‘shabu-shabu’ sebagai antara tarikan utama tahun ini.

Bertemakan ‘Air Tangan Bonda’, bufet yang berlangsung dari 21 Februari hingga 19 Mac ini di Volcano Shabu Shabu & Grill by Mercure Living Putrajaya itu menghimpunkan 460 jenis hidangan merangkumi 28 gerai dalam dan luar restoran.

Lebih menarik, konsep kali ini menggabungkan rasa tradisi desa dengan sentuhan moden, sekali gus mencipta pengalaman berbuka puasa yang bukan sahaja mengenyangkan, malah membangkitkan nostalgia kampung halaman.

Lari daripada kebiasaan, hotel berkenaan mengekalkan signature dish mereka, shabu-shabu dengan pot individu yang sudah memasuki tahun keempat diperkenalkan.

Tetamu boleh memilih sendiri aneka bahan segar untuk dicelur di dalam kuah panas mengikut cita rasa masing-masing. Konsep ini memberikan pilihan lebih ringan dan menyegarkan, sesuai dinikmati selepas seharian berpuasa.

Menariknya, walaupun shabu-shabu sering dikaitkan dengan restoran Jepun, di sini ia dipersembahkan dalam konsep fusion yang merangkumi hidangan Melayu, Cina dan India. Malah, hotel ini satu-satunya hotel di Malaysia yang menawarkan pot individu shabu-shabu bersama menu bufet Ramadan pelbagai bangsa.

Menurut Chef Eksekutif, Chef Zaidi Mohammad, tema ‘Air Tangan Bonda’ dipilih kerana Ramadan sering mengingatkan orang ramai kepada suasana kampung dan masakan ibu.

“Melalui ‘Air Tangan Bonda’, kami ingin menghidupkan semula aroma dapur ibu di kampung, namun disuntik dengan kelainan shabu-shabu dan berstatus halal untuk memberi pengalaman unik kepada semua tetamu,” katanya.

Menurut beliau, antara ‘killer dish’ yang pasti mencuri perhatian ialah Kambing Golek Madu Mama yang dipanggang perlahan dengan perapan madu sehingga lembut dan berjus.

Turut menjadi rebutan ialah Gulai 10 Kawah Bonda, dimasak pekat menggunakan resipi rahsia keluarga; Rusuk Lembu Panggang bersama Kuah Unkep Berempah; serta Nasi Kandar Anak Mami dengan pilihan lauk berkuah pekat seolah-olah berada di Pulau Pinang.

Bagi penggemar makanan laut, stesen ikan bakar dengan air asam menyengat serta mentarang bakar pastinya membangkitkan selera.

Jika melangkah ke ruang luar, tetamu akan disambut dengan deretan 10 kawah besar yang menjadi identiti bufet ini sebagai simbol kemeriahan dan kemurahan rezeki sepanjang Ramadan.

Tidak lengkap berbuka tanpa pencuci mulut. ‘Taman Manisan Bonda’ menawarkan 101 jenis pemanis mulut, termasuk kelainan baharu tahun ini iaitu Cendol Durian Santan Sawit.

Durian segar dihidangkan bersama cendol dan santan sawit yang lemak berkrim, mencipta kombinasi rasa unik dan memikat. Malah, sajian durian terus dikekalkan setiap tahun kerana mendapat permintaan tinggi dalam kalangan tetamu.

Dengan kepelbagaian 460 menu, 28 gerai serta konsep fusion yang unik, Mercure Living Putrajaya bukan sekadar menawarkan juadah berbuka, tetapi sebuah pengalaman yang meraikan kebersamaan keluarga dan sahabat handai.

Bagi yang ingin merasai sendiri kehangatan ‘air tangan bonda’ dengan sentuhan moden shabu-shabu, inilah masanya untuk mengatur langkah ke Putrajaya dan menikmati kelainan berbuka puasa tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN