Masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak masih menjadi isu yang perlu diberi perhatian serius oleh ibu bapa.
Keadaan ini merujuk kepada kekurangan pengambilan nutrien penting yang diperlukan untuk tumbesaran dan perkembangan normal, sekali gus boleh menjejaskan kesihatan fizikal serta perkembangan mental anak.
Pakar pediatrik, Dr. Yong Junina Fadzil berkata, kekurangan zat biasanya dikenal pasti apabila tumbesaran kanak-kanak tidak mengikut graf yang sepatutnya.

“Ia boleh berlaku akibat pemakanan tidak seimbang, masalah kesihatan, alahan makanan, tabiat memilih makanan atau pengambilan makanan yang tidak mencukupi mengikut keperluan umur,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, kanak-kanak dengan gangguan seperti autisme juga berisiko mengalami kekurangan zat sekiranya mereka terlalu memilih makanan berdasarkan warna, tekstur atau bau.
Malah, kanak-kanak yang makan dalam kuantiti banyak juga tidak terkecuali jika diet mereka tidak seimbang.
Sebagai contoh, pengambilan nasi dalam jumlah yang banyak tanpa sumber protein, sayur atau buah-buahan boleh menyebabkan kekurangan zat penting seperti protein, vitamin dan zat besi.
Tabiat minum teh juga boleh mengganggu penyerapan zat besi dalam badan walaupun makanan berkhasiat diambil.
“Kanak-kanak mungkin kelihatan kenyang, tetapi tidak semestinya mendapat zat yang mencukupi untuk keperluan tubuh mereka,” jelasnya.
Tanda awal
Antara tanda awal yang perlu diberi perhatian ialah tumbesaran tidak mengikut graf, berat badan statik atau menurun, serta keadaan anak yang kelihatan lesu, kurang aktif dan pucat.
Pemantauan berkala di klinik kesihatan amat penting, namun ibu bapa juga disarankan memantau berat badan anak di rumah.
“Sekiranya berat badan anak tidak bertambah atau menurun, ibu bapa perlu lebih peka kerana ia mungkin petunjuk awal kepada masalah kekurangan zat,” katanya.
Namun, kanak-kanak yang kelihatan kurus tidak semestinya mengalami kekurangan zat.
Dalam konteks peningkatan kadar obesiti, berat badan normal kadangkala dilihat kurus berbanding rakan sebaya.
Oleh itu, penilaian melalui indeks jisim badan (BMI) dan ukuran tinggi serta berat lebih tepat untuk menentukan status pemakanan.
Kesan jangka panjang
Jika tidak dirawat, kekurangan zat boleh memberi kesan jangka panjang yang membimbangkan.
Antaranya pertumbuhan terbantut, pencapaian akademik lemah serta risiko kesihatan yang lebih tinggi.
Kekurangan zat besi boleh menjejaskan fungsi otak serta keupayaan kanak-kanak untuk belajar.
Kanak-kanak yang kurang zat juga mempunyai sistem imun lemah, sekali gus mudah dijangkiti penyakit.
Dalam jangka panjang, ia meningkatkan risiko komplikasi semasa kehamilan dan kelahiran apabila mereka dewasa kelak.
“Kesan kekurangan zat bukan sahaja berlaku ketika kanak-kanak, malah boleh berpanjangan hingga ke peringkat dewasa,” katanya.
Punca utama
Beliau menjelaskan antara punca utama masalah ini ialah pemakanan tidak seimbang, khususnya kekurangan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan susu.
Kanak-kanak memerlukan sekurang-kurangnya lima sajian buah dan sayur setiap hari bagi memastikan keperluan vitamin dan mineral mencukupi.
Kekeliruan maklumat pemakanan juga menyumbang kepada masalah ini, termasuk penggunaan konsep diet orang dewasa seperti ‘suku-suku separuh’ untuk bayi dan kanak-kanak kecil serta amalan diet tanpa nasihat doktor.
“Pendekatan pemakanan kanak-kanak tidak boleh disamakan dengan orang dewasa kerana keperluan nutrisi mereka berbeza,” katanya.
Peranan ibu bapa penting
Ibu bapa memainkan peranan penting melalui penyediaan makanan seimbang serta mengelakkan makanan ringan yang tidak berkhasiat.
Sarapan juga tidak wajar diabaikan kerana ia membantu perkembangan minda serta meningkatkan tumpuan dan prestasi pembelajaran di sekolah.
“Kanak-kanak yang mengambil sarapan biasanya lebih fokus dan menunjukkan prestasi akademik yang lebih baik,” jelasnya.
Dari segi pemilihan makanan, sumber protein seperti ayam, ikan, daging, telur, tempe dan tauhu penting untuk pembinaan otot, manakala karbohidrat membekalkan tenaga dan buah-buahan serta sayur-sayuran menyediakan vitamin serta serat.
Suplemen jika perlu
Pengambilan suplemen atau vitamin tambahan hanya disarankan sekiranya terdapat kekurangan nutrien tertentu yang disahkan oleh doktor.
Ibu bapa dinasihatkan tidak sewenang-wenangnya membeli suplemen di pasaran tanpa nasihat pakar.
Bagi kanak-kanak yang kurang berat badan, doktor mungkin mencadangkan susu berkalori tinggi selain penambahbaikan diet harian.
“Suplemen bukan pengganti makanan, tetapi hanya sokongan jika benar-benar diperlukan,” katanya.
Pencegahan
Langkah pencegahan pula perlu dimulakan sejak awal, termasuk sejak dalam kandungan melalui pemakanan ibu yang sihat.
Konsep 1,000 hari pertama kehidupan memainkan peranan penting dalam menentukan tumbesaran anak.
Apabila makanan pejal diperkenalkan, ibu bapa perlu membiasakan anak dengan diet seimbang termasuk sayur dan buah-buahan.











