Baju kebaya bercorak aurora borealis muncul antara rekaan paling laris pada Aidilfitri kali ini.
Koleksi eksklusif jenama Hanna Rauda itu mendapat permintaan tinggi sehingga terpaksa ditambah bekalan sebanyak tiga kali.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alia Athira Zainudin berkata, tarikan utama koleksi itu terletak pada potongan moden berserta sulaman halus pada bahagian depan dan lengan.
Rekaannya bertambah unik apabila turut dipadankan dengan kain polos rona berbeza termasuk stroberi matcha.
“Sudah lama saya mengimpikan untuk menyaksikan aurora borealis tetapi belum kesampaian, jadi apabila saya melihat fabrik bercorak serupa, idea rekaan terus datang secara spontan.
“Walaupun corak ini digunakan oleh jenama lain tetapi saya cuba cipta kelainan dengan memberikan sentuhan sulaman,” katanya selepas pertunjukan fesyen WarnaRaya X KLCC Runway & Bazaar 2026 baru-baru ini.
Tersedia dalam empat pilihan warna menarik, busana ini sesuai untuk saiz XS hingga 3XL.
Selain Aurora, Alia Athira mempertaruhkan tiga lagi koleksi Aidilfitri, antaranya Warisan dan Bespoke.
Koleksi Warisan cukup istimewa kerana menampilkan fabrik songket dan sutera Thai.
“Buat pertama kalinya saya bereksperimentasi dengan sutera Thai, bahkan fabriknya saya cari sendiri di Bangkok.
“Saya cuba lari daripada kelaziman dengan mengetengahkan fabrik ini kerana ia lebih lembut dan mesra kulit,” katanya.
Paling penting, penjagaan sutera Thai juga lebih mudah berbanding songket.










