Fabrik terpakai jadi sumber rezeki suri rumah, komuniti setempat

Fabrik terpakai jadi sumber rezeki suri rumah, komuniti setempat

KESEMUA barangan kraf ini dihasilkan menggunakan sepenuhnya bahan terpakai, termasuk fabrik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Usaha memperkasa komuniti melalui pendekatan lestari kini semakin berkembang dan tidak lagi sekadar inisiatif kecil-kecilan.

Di sebalik idea mengitar semula fabrik terpakai, tersembunyi satu misi besar iaitu membantu golongan suri rumah dan komuniti setempat menjana pendapatan sendiri dari rumah, sekali gus mengukuhkan ekonomi keluarga dalam suasana kos sara hidup yang semakin mencabar.

Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Rahimah Jamaluddin, menjadi antara individu yang menggerakkan usaha ini menerusi Projek Kraf Kreatif Fabrik Terpakai.

DR. Rahimah Jamaluddin menunjukkan sebahagian koleksi beg yang dihasilkan oleh peserta Projek Kraf Kreatif Fabrik Terpakai.

Projek berteraskan kelestarian itu dilaksanakan dengan pembiayaan Kementerian Kewangan Malaysia melalui Geran Komuniti@UniMADANI.

Bagi beliau, projek ini bukan sahaja menyokong agenda ekonomi kitaran dan pengurangan sisa tekstil, tetapi juga memberi peluang sebenar kepada peserta membina kemahiran yang boleh diterjemahkan kepada sumber pendapatan.

Menurut Dr. Rahimah, kelas diadakan setiap minggu dengan modul kemahiran yang berbeza. Peserta bukan sekadar diajar menjahit, tetapi turut didedahkan kepada teknik reka bentuk, pemilihan material dan sentuhan kemasan agar produk yang dihasilkan mempunyai nilai komersial.

Matlamat akhirnya adalah untuk memastikan apabila program tamat, peserta sudah cukup yakin dan bersedia memasarkan produk sendiri tanpa terlalu bergantung kepada bimbingan tenaga pengajar.

GUNA BAHAN TERPAKAI SEPENUHNYA

Apa yang menjadikan projek ini lebih bermakna ialah penggunaan sepenuhnya bahan terpakai. Fabrik yang digunakan diperoleh daripada kain perca, pakaian lama dan langsir yang tidak lagi digunakan tetapi masih dalam keadaan baik.

Malah, terdapat kedai langsir yang sebelum ini mahu membuang lebihan kain, akhirnya menyerahkannya kepada pasukan projek untuk dimanfaatkan.

“Daripada bahan yang dianggap tidak bernilai, peserta berjaya menghasilkan beg kanvas, beg bimbit, lanyard, pemegang kad, aksesori wanita serta pelbagai barangan rumah yang praktikal dan menarik.

“Peserta turut diajar teknik mengitar semula plastik terpakai seperti plastik sampah dan plastik pembungkus makanan. Plastik tersebut akan dilapis beberapa kali sebelum digosok menggunakan seterika bagi menghasilkan permukaan yang padat dan bercantum.

“Hasilnya ialah material baharu yang menyerupai fabrik dan boleh dijahit menjadi produk kreatif. Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan sisa plastik, malah membuka ruang eksplorasi idea yang lebih inovatif dalam penghasilan produk,” kata Dr. Rahimah.

PESERTA TIADA PENGALAMAN

Beliau juga berkongsi ramai peserta yang hadir pada awalnya langsung tidak pernah menjahit, malah ada yang pertama kali memegang jarum. Namun, perkembangan mereka amat memberangsangkan.

Katanya, dalam tempoh sehari, peserta sudah mampu menyiapkan beg kecil. Minggu berikutnya, mereka hadir semula untuk mempelajari kemahiran baharu dengan lebih yakin. Ada yang mula mencari bahan tambahan sendiri, bereksperimen dengan reka bentuk berbeza dan aktif berkongsi hasil kerja dalam kumpulan komuniti yang diwujudkan sebagai platform sokongan.

PROJEK berteraskan kelestarian itu dilaksanakan dengan pembiayaan Kementerian Kewangan Malaysia melalui Geran Komuniti@UniMADANI.

“Bagi memudahkan peserta bergerak secara lebih berdikari, mereka turut dibekalkan pautan pembelian aksesori seperti benang, zip dan peralatan lain supaya boleh mendapatkan bahan dengan harga berpatutan.

“Hasilnya, daripada 50 peserta yang mengikuti program, hampir separuh sudah mula menjual produk masing-masing. Ada yang menerima tempahan jahitan sehingga RM90 sekiranya pelanggan menyediakan kain sendiri.

“Bagi beg siap dengan reka bentuk eksklusif, harga yang disarankan boleh mencecah antara RM120 hingga RM200 bergantung kepada kreativiti dan kualiti kemasan,” katanya.

KERJASAMA KORPORAT

Dr. Rahimah memberitahu, projek ini turut membuka pintu kerjasama dengan syarikat korporat. Beberapa syarikat menunjukkan minat untuk mengitar semula uniform lama pekerja menjadi barangan cenderahati seperti beg dan aksesori untuk kegunaan dalaman.

Katanya, ada juga syarikat yang bersedia membekalkan fabrik kepada peserta untuk dijahit dari rumah, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan fleksibel tanpa perlu mereka keluar bekerja.

Pendekatan ini membuktikan kelestarian bukan sekadar slogan menjaga alam sekitar, tetapi mampu menjadi jambatan kepada peluang ekonomi baharu yang lebih inklusif dan mampan untuk komuniti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN