HAMAM atau mandi wap tradisional merupakan sebahagian daripada rahsia kecantikan wanita Asia Barat yang diamalkan sejak berabad lamanya.
Ia bukan sekadar membersihkan tubuh, malah menyingkirkan sel-sel kulit mati sekali gus menjadikannya lebih lembut, mulus dan berseri.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Spa Jelita Malaysia, Datin Seri Wahinah Haroon Rasheed berkata, rutin kecantikan itu juga membantu melancarkan peredaran darah, melegakan tekanan dan memberikan ketenangan.

Katanya, hamam menggabungkan penggunaan wap, haba dan pelbagai ritual pembersihan.
Proses rawatan lazimnya mengambil masa antara 45 minit hingga sejam untuk memastikan tubuh dibersihkan dan kulit dirawat secara menyeluruh.
“Antara rutin penting dalam rawatan ini ialah gosokkan menggunakan sarung khas, kessa bagi menanggalkan sel kulit mati dan kotoran yang melekat pada permukaan kulit.
“Proses ini dilakukan selepas badan terdedah kepada wap panas bagi memastikan liang pori terbuka, sekali gus memaksimumkan kesan pembersihan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Wahinah berkata, sabun hitam yang terkenal dalam rutin kecantikan wanita Asia Barat turut digunakan bagi membantu menanggalkan sisa kotoran, daki dan sel kulit mati yang masih tertinggal.
Katanya, hamam sesuai untuk semua peringkat usia dan boleh dilakukan secara berkala mengikut keperluan individu.
“Bagaimanapun, rawatan hamam masih kurang dikenali di negara ini, maka, saya tertarik untuk memperkenalkan dan menawarkan perkhidmatan tersebut di Spa Jelita Malaysia.
“Istimewanya, spa ini eksklusif untuk wanita sahaja sekali gus memberikan privasi dan keselesaan buat kaum hawa dalam mendapatkan rawatan kecantikan,” katanya.
Ketika ini, Spa Jelita Malaysia menawarkan dua jenis rawatan hamam, iaitu ritual berharga RM259 dan royal (RM299).
Konsep spa Arab moden, mewah
Selain hamam, spa yang baharu beroperasi di Pusat Korporat Melawati ini turut menyediakan perkhidmatan urutan badan, jelita habibti dan rawatan muka, radiance facial.
Menurut Wahinah, setiap rawatan itu diinspirasikan daripada ritual kecantikan wanita Arab dengan gabungan kehalusan aromaterapi dan kemewahan rawatan bertaraf diraja.

Sebaik melangkah masuk seolah-olah membawa pengunjung ke dunia lain yang sarat dengan elemen Arab mewah, pencahayaan lembut, aroma menenangkan dan sentuhan eksklusif yang membangkitkan rasa seorang ratu.
“Saya amat teruja untuk berkongsi dengan wanita di Malaysia amalan kecantikan wanita Arab sejak zaman Cleopatra.
“Setelah sekian lama menjadi pelanggan tetap di Spa Jelita Singapura setiap kali menziarah keluarga di sana, saya akhirnya membuat keputusan dengan persetujuan pengasasnya, Dr. Fadilah
Abdul Majid dan anaknya, Nur Laila Mohammed Rashid untuk membawa konsep sama ke Malaysia.
“Spa Jelita Malaysia bukan sekadar menyediakan rawatan kecantikan, tetapi satu pengalaman menyeluruh yang menyentuh tubuh, emosi dan jiwa setiap wanita yang menjadi pelanggan kami,” ujarnya.
Katanya, setiap sentuhan adalah satu bentuk penjagaan penuh kasih bagi menyokong keseimbangan tubuh, emosi dan jiwa, agar keindahan serta kekuatan seorang wanita terus mekar dalam setiap fasa keibuan.
Ini menjadikan setiap sesi rawatan sebagai satu pengalaman yang memulihkan tenaga dan menaikkan seri.
Tawaran ini demi menghidupkan semula keanggunan, ketenangan serta seri dalaman dalam diri seorang wanita.
Penyelesaian bebanan wanita
Beliau percaya setiap wanita yang melangkah masuk ke Spa Jelita sering hadir dengan bebanan tersendiri sama ada tuntutan kerjaya, keluarga dan tanggungjawab sosial.
Misinya adalah supaya setiap pelanggan dapat keluar dengan penuh keyakinan, ketenangan serta keindahan jiwa.

Hal itu penting, kerana katanya, kecantikan hari ini bukan lagi sekadar penampilan luaran, tetapi satu pelaburan kepada keyakinan diri.
“Dalam dunia moden, wanita yang menjaga penampilan dan kesejahteraan diri selalunya lebih bersedia untuk melangkah jauh dan berjaya dalam dunia yang mereka ceburi.
“Kecantikan yang dijaga dengan betul membina kekuatan dalaman, bukan sekadar rupa paras yang cantik semata-mata,” jelasnya.










