SIKAP segelintir anak-anak yang cerewet dalam pemakanan menyebabkan ada ibu bapa sanggup memberikan anak-anak mereka makan mi segera dengan alasan ‘asalkan mereka makan daripada tidak makan apa-apa’.
Memang benar mi segera sering menjadi pilihan mudah dan pantas dalam kalangan masyarakat, khususnya bagi keluarga yang sibuk atau berdepan kekangan kewangan. Ia cepat dimasak dan rasanya sedap, membuatkan ramai kanak-kanak menyukainya.
Namun, di sebalik kemudahan itu, pengambilan mi segera secara kerap, terutama dalam kalangan kanak-kanak, sebenarnya boleh membawa risiko besar terhadap kesihatan. Ini kerana mi segera bukan makanan seimbang yang mengandungi semua nutrien penting.
Pakar perubatan kesihatan awam dari Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, mi segera tidak boleh dianggap sebagai makanan sihat kerana kandungan perisanya yang tinggi, terutamanya garam atau sodium.

“Setiap pek mi segera lazimnya mengandungi sekitar 600 hingga 1,500 miligram sodium, sedangkan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan pengambilan sodium harian kurang daripada 2,000 miligram sehari,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pengambilan garam berlebihan ini boleh memberi tekanan kepada organ penting seperti jantung dan buah pinggang jika diamalkan dalam jangka panjang.
Kanak-kanak yang terbiasa makan mi segera sejak kecil mungkin lebih berisiko untuk menghadapi masalah ini apabila dewasa.
Selain itu, mi segera kebanyakannya diperbuat daripada tepung dan bahan perisa, dengan sedikit atau tiada kandungan nutrien penting seperti protein, vitamin dan mineral.
Walaupun terdapat mi segera yang disertakan sayur kering atau bawang putih, kandungan tersebut masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan pemakanan kanak-kanak yang sedang membesar.
Oleh itu, walaupun perut terasa kenyang selepas makan, tubuh mereka masih memerlukan zat lain untuk tumbesaran.
Akibatnya, kanak-kanak mungkin cepat lapar semula kerana makanan ini hanya membekalkan karbohidrat tanpa zat yang mengenyangkan secara sihat.
Ini juga boleh menyebabkan mereka lebih mudah memilih makanan ringan yang kurang berkhasiat antara waktu makan.
Risiko kesihatan
Pengambilan mi segera secara kerap dikaitkan dengan peningkatan risiko obesiti dalam kalangan kanak-kanak.
Berat badan berlebihan boleh menjejaskan perkembangan fizikal dan emosi kanak-kanak, serta menimbulkan masalah keyakinan diri.
Tabiat pemakanan tidak seimbang sejak kecil boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan kronik apabila dewasa, termasuk tekanan darah tinggi, penyakit jantung, sindrom metabolik, serta kencing manis jenis 2.
Kandungan serat yang rendah dalam mi segera turut memberi kesan kepada sistem pencernaan, menyebabkan sembelit dan berpotensi meningkatkan risiko masalah kesihatan lain dalam jangka masa panjang.
“Mi segera boleh dimakan sekali-sekala, tetapi jika dijadikan makanan rutin, ia boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan kanak-kanak,” katanya.
Selain itu, pengambilan makanan segera secara berlebihan juga boleh menimbulkan tabiat pemakanan tidak sihat yang berlarutan sehingga dewasa.
Kanak-kanak yang terbiasa makan mi segera mungkin kurang minat terhadap sayur dan buah, sekaligus mengurangkan pelbagai nutrien penting dalam diet harian mereka.
Peranan ibu bapa
Menurutnya, pembentukan tabiat pemakanan sihat perlu bermula sejak usia kanak-kanak.
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak mengenai kepentingan memilih makanan berkhasiat dan mengurangkan kebergantungan kepada makanan segera.
“Langkah kecil seperti memasak di rumah, menyediakan bekal makanan sihat ke sekolah, dan mengehadkan pengambilan mi segera mampu memberi kesan besar terhadap kesihatan anak-anak dalam jangka panjang,” jelasnya.
Ibu bapa disaran mengutamakan penyediaan makanan yang lebih seimbang, seperti nasi bersama sumber protein ringkas seperti telur, ayam atau ikan bilis, serta sayur-sayuran.
Dengan cara ini, anak-anak dapat memperoleh nutrien lengkap untuk tumbesaran dan kekal sihat.
Kesedaran ibu bapa dan masyarakat tentang kepentingan pemakanan seimbang amat penting bagi memastikan generasi akan datang membesar dengan tubuh yang sihat dan berkualiti.
Pendidikan tentang pemakanan seimbang boleh dimulakan melalui aktiviti menyeronokkan seperti memasak bersama anak atau menjadikan sayur dan buah lebih menarik di dalam hidangan.










