Israel guna bom vakum ‘lenyapkan’ 3,000 penduduk Gaza

Israel guna bom vakum ‘lenyapkan’ 3,000 penduduk Gaza

PASUKAN pertahanan awam mencari mayat keluarga Palestin bawah sisa runtuhan rumah mereka di kejiranan Sheikh Radwan, Gaza City.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Siasatan terbaharu mendapati penggunaan peluru haba dan termobarik yang dibekalkan Amerika Syarikat (AS) kepada Israel di Gaza menyebabkan hampir 3,000 rakyat Palestin ‘lenyap’ tanpa meninggalkan sisa jasad yang lengkap.

Menurut siasatan Al Jazeera Arabic bertajuk The Rest of the Story, pasukan Pertahanan Awam Gaza merekodkan dokumen forensik terperinci mengenai 2,842 rakyat Palestin yang didakwa ‘terwap’ sejak perang bermula pada Oktober 2023. 

Mangsa dilaporkan tidak meninggalkan sebarang mayat yang utuh, selain percikan darah atau serpihan kecil tisu manusia.

Pakar dan saksi yang ditemu bual dalam siasatan itu mengaitkan fenomena berkenaan dengan penggunaan sistematik senjata haba dan termobarik yang sering dirujuk sebagai bom vakum atau bom aerosol yang mampu menghasilkan suhu melebihi 3,500 darjah Celsius.

Siasatan itu turut memperincikan bagaimana komposisi kimia tertentu dalam peluru yang digunakan mampu menukarkan tubuh manusia menjadi abu dalam beberapa saat.

Pakar ketenteraan Russia, Vasily Fatigarov menjelaskan, senjata termobarik bukan sekadar membunuh, tetapi memusnahkan jirim. Tidak seperti bahan letupan konvensional, senjata ini menyebarkan bahan bakar yang kemudiannya dinyalakan untuk menghasilkan bebola api besar serta kesan vakum.

“Bagi memanjangkan tempoh pembakaran, serbuk aluminium, magnesium dan titanium ditambah ke dalam campuran kimia. Ini meningkatkan suhu letupan kepada antara 2,500 hingga 3,000 darjah Celsius,” jelasnya.

Menurut laporan itu, haba ekstrem tersebut lazimnya dihasilkan oleh tritonal atau campuran TNT dan serbuk aluminium yang digunakan dalam bom buatan AS seperti MK-84. Siasatan itu turut mengenal pasti beberapa jenis peluru buatan AS yang didakwa digunakan di Gaza dan dikaitkan dengan kehilangan mangsa.

Bom BLU-109 bunker buster yang digunakan dalam serangan ke atas al-Mawasi, kawasan diisytihar Israel sebagai zon selamat untuk penduduk Palestin pada September 2024 dilaporkan menyebabkan 22 orang ‘terwap’. 

“Ini adalah genosid global, bukan hanya genosid Israel. Rantaian bekalan senjata menunjukkan unsur keterlibatan.

“Kita melihat aliran berterusan senjata ini dari AS dan Eropah. Mereka tahu senjata ini tidak membezakan antara pejuang dan kanak-kanak, namun penghantaran tetap diteruskan,” kata Peguam dan Pensyarah Universiti Georgetown Qatar, Diana Buttu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN