UIAM belum mulakan kajian pilihan raya Datuk Bandar - Utusan Malaysia

UIAM belum mulakan kajian pilihan raya Datuk Bandar

TENGKU Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (kiri) bersama Abdul Rashid Hussain (dua dari kiri) mengacau bubur lambuk pada Program Rewang Bubur Lambuk UIAM di Gombak, Selangor kelmarin. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Kajian cadangan me­wujudkan pilihan raya bagi ja­watan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang dilaksanakan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) belum bermula.

Presiden UIAM, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, ia disebabkan mandat kajian masih belum jelas dan memerlukan perincian lanjut.

“Kajian itu bukan sahaja belum siap, malah masih belum bermula. Kita hanya diarahkan untuk buat kajian akademik dan kita tidak buat sebarang keputusan berkenaan perkara ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Program Rewang Bubur Lambuk UIAM di sini, semalam.

Sebelum ini, Menteri di Jaba­tan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kajian cadangan mewujudkan pilihan raya bagi jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur dilaksanakan oleh UIAM.

Beliau berkata, hasil kajian tersebut akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum sebarang keputusan dibuat sama ada cadangan berkenaan sesuai dilaksanakan atau memerlukan pindaan akta oleh Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).

Katanya, kajian itu akan membantu kerajaan membuat keputusan sama ada cadangan tersebut sesuai dilaksanakan atau tidak.

Abdul Rashid berkata, UIAM memerlukan penjelasan lanjut daripada pihak pelantik sebelum kajian dimulakan secara rasmi.

“Kita masih memerlukan pen­gesahan daripada pihak yang melantik kita, apa sebenarnya yang mereka hendak daripada kajian yang kami nak buat ini,” katanya.

Mengulas skop kajian, Abdul Rashid berkata, penyelidikan dijangka melibatkan pelbagai disiplin dan tidak dilaksanakan oleh satu jabatan sahaja, memandangkan isu yang dikaji mempunyai implikasi luas terhadap tadbir urus bandar dan sistem pentadbiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN