SEGALA yang ditakdirkan oleh Allah bukanlah secara kebetulan sebaliknya mengandungi pelbagai hikmah yang bermanfaat buat kita.
Ketika kita menelusuri perjalanan Rasulullah SAW pada malam al-Israk, Allah Yang Maha Bijaksana dan Maha Berkuasa mampu untuk menjadikan perjalanan baginda terus dari Mekah ke langit.
Namun Allah mentakdirkan Rasulullah dibawa terlebih dahulu mengunjungi al-Masjid al-Aqsa.
Seterusnya barulah dari al-Aqsa baginda dibawa ke langit bahkan setelah perjalanan baginda di langit selesai, baginda dibawa turun semula ke al-Aqsa terlebih dahulu lalu pulang dari al-Aqsa ke Masjid al-Harom.
Tawakal kepada Allah melalui ikatan al-Buraq
Saat Rasulullah tiba di al-Aqsa, baginda mengikat al-Buraq di gelungan yang ada di pintu masjid tersebut.
Al-Imam Muslim meriwayatkan Rasulullah bersabda dalam menceritakan peristiwa ini: “Maka daku telah mengikatnya (al-Buraq) di gelungan yang para nabi dahulunya telah mengikat (binatang tunggangan mereka) di gelungan tersebut”.
Menurut al-Imam al-Nawawi di dalam Sharh al-Nawawiyy ‘Ala Sohih Muslim; tindakan Rasulullah yang telah mengikat al-Buraq adalah satu petunjuk kita dituntut untuk mengambil sikap berhati-hati dan melakukan sebarang sebab yang biasanya akan menatijahkan sesuatu natijah yang diinginkan.
Ini sama sekali tidak menafikan konsep tawakal apabila kita bergantung harap kepada Allah SWT semata-mata.
Rasulullah dibezakan oleh Jibril dengan nabi lain
Al-Imam Muslim seperti yang telah dinyatakan di atas meriwayatkan Rasulullah mengikat al-Buraq di satu gelungan yang ada di pintu al-Masjid al-Aqsa yang para nabi sebelum ini pernah mengikat binatang tunggangan mereka di gelungan tersebut.
Namun ada pula riwayat al-Imam Abu Bakr al-Bazzar di dalam Musnad al-Bazzar Rasulullah bersabda: “Pada malam yang saya dibawa berjalan, Jibril mendatangi batu besar yang ada di dalam
Baitulmuqaddis lalu beliau meletakkan satu jarinya di atas batu besar tersebut.
Maka beliau melubangkan batu tersebut lantas beliau pun mengikat al-Buraq di lubang tersebut”.
Para ulama mempunyai beberapa pandangan dalam memahami di mana sebenarnya al-Buraq telah diikat.
Menurut al-Imam al-Tibiyy di dalam Sharh al-Mishkah; lokasi yang dilubangi oleh jari Jibril sebenarnya adalah gelungan yang menjadi tambatan kenderaan para nabi sebelum Rasulullah.
Namun pada malam al-Israk, gelungan tersebut sebenarnya sudah lama tertutup dan hilang ditelan zaman. Lalu Jibril melubangi kembali kawasan berkenaan bagi membuka semula tempat itu.
Justeru, kenyataan al-Imam al-Tibiyy ini menunjukkan kawasan gelungan tersebut dan bahagian yang dilubangi oleh jari Jibril merujuk kepada lokasi yang sama.
Namun al-Imam Najmuddin al-Ghoytiyy di dalam kitab al-Ibtihaj Fi al-Kalam ‘Ala al-Israk Wa al-Mikraj tidak bersetuju dengan kenyataan al-Imam al-Tibiyy kerana gelungan yang dimaksudkan di dalam hadis riwayat al-Imam Muslim adalah berada di pintu al-Aqsa sedangkan batu besar yang dilubangi oleh jari Jibril pula berada di dalam masjid tersebut.
Menurut al-Imam Najmuddin al-Ghoytiyy, pandangan yang lebih tepat ialah sebagaimana dinyatakan oleh sebahagian ulama Rasulullah pada awalnya mengikat al-Buraq di gelungan pintu al-Aqsa sebagai tanda adab, serta mencontohi amalan para nabi dan rasul terdahulu yang turut mengikat haiwan tunggangan mereka di tempat yang sama.
Namun Jibril meleraikan ikatan al-Buraq seterusnya membawa haiwan itu masuk ke dalam al-Aqsa lalu mengikatnya di lubang yang terhasil di batu besar setelah dicucuk oleh jari Jibril.
Seolah-olah Jibril ingin menyatakan kepada Rasulullah: “Anda tidak sama dengan orang yang binatang tunggangannya diikat di pintu bahkan anda lebih tinggi dan lebih mahal.
Maka binatang tunggangan anda tidak akan ditambat kecuali di bahagian dalam tempat ini (al-Masjid al-Aqsa)”.
Berdasarkan pandangan al-Imam Najmuddin al-Ghoytiyy, dapat difahami terdapat dua lokasi al-Buraq pernah diikat pada malam al-Israk. Pertama, di gelungan yang terletak di pintu Masjid al-Aqsa, dan kedua, di batu besar yang pada hari ini berada di bahagian dalam Masjid Kubah Emas, yang lebih dikenali sebagai Masjid al-Sakhrah (Masjid Batu Besar).
Penduduk Palestin percaya lokasi tambatan al-Buraq di pintu al-Aqsa kini berada di Dinding Masjid al-Buraq, iaitu bahagian dalam Dinding Ratapan menurut Yahudi.
Setelah Rasulullah masuk ke dalam al-Aqsa, baginda mendapati para nabi dan rasul sudah ada di dalam masjid dalam keadaan mereka ketika itu sedang melaksanakan solat secara sendiri-sendiri.
Setelah itu Jibril melaungkan azan. Setelah itu, para nabi dan rasul mula berbaris di dalam saf menunggu siapakah yang akan mengimamkan solat pada malam bersejarah itu.
Maka Jibril pun memegang tangan Rasulullah dan mempersilakan baginda untuk mengimami solat tersebut.
Rasulullah pun melaksanakan solat sebanyak dua rakaat selaku imam.
Menurut sebahagian pandangan; jumlah para nabi dan para rasul bermula dengan Nabi Adam dan berakhir dengan Nabi Muhammad adalah 124,000 orang.
Menurut Fadhilat al-Syeikh Ali bin Jum‘ah yang merupakan mantan Mufti Kerajaan Mesir; sekiranya kita mengira keluasan al-Aqso, ini memungkinkan untuk 124,000 orang berbaris di dalam saf untuk melakukan solat berjemaah secara serentak.
Peristiwa perhimpunan para nabi dalam solat berjemaah di Baitulmuqaddis adalah satu keagungan yang sangat tinggi buat Rasulullah dan al-Aqsa yang tidak pernah berlaku dalam sejarah.
Sekalipun al-Aqsa adalah lokasi suci yang pernah dihadiri oleh para nabi, begitu juga Masjidilharam yang pernah dikunjungi oleh para nabi saat mereka melakukan ibadah haji, namun tidak pernah berlaku sama sekali perhimpunan seluruh para nabi dan rasul di satu lokasi pada satu waktu.
Begitu juga apabila Jibril mempersilakan Rasulullah untuk mengimamkan solat para nabi dan para rasul pada malam itu, ini jelas mempamerkan kepada kita akan keagungan Rasulullah yang mengatasi segala keagungan dan kemuliaan para nabi dan rasul yang pernah dibangkitkan sebelum baginda.
Ada para ulama yang berpandangan para nabi dan rasul yang dilihat oleh Rasulullah pada malam al-Israk adalah roh mereka semata-mata kerana jasad mereka berada di kubur masing-masing.
Namun ada juga yang berpandangan berkemungkinan para nabi dan rasul pada malam tersebut dihidupkan semula oleh Allah SWT lalu mereka ditemui Rasulullah secara roh dan jasad di al-Aqsa.
Kebanyakan para nabi dan rasul yang bersama-sama dengan Rasulullah di Baitulmuqaddis sudah lama wafat namun mereka dihimpunkan pada malam itu bersama-sama dengan Rasulullah.
Namun masih ada para nabi yang masih hidup sehingga ke hari ini. Antaranya adalah Nabi Isa yang diselamatkan oleh Allah daripada ditangkap dan disalib. Baginda diangkat ke langit dalam keadaan masih hidup dan akan turun semula ke dunia pada akhir zaman bagi memimpin umat Islam menghadapi Dajjal.
Sebahagian ulama berpendapat tokoh yang dikenali dengan panggilan al-Khodir atau al-Khidr juga merupakan seorang nabi dan masih hidup sehingga ke hari ini.Tokoh ini dikenali dengan panggilan Nabi Khidir.
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.










