Tiada siapa menyangka rumah tangga yang pada zahirnya kelihatan biasa dan bahagia sebenarnya menyimpan luka yang dalam.
Adli Fauzan (bukan nama sebenar), seorang lelaki yang sebelum ini menjadi ketua keluarga dan pencari nafkah utama, namun hidupnya berubah secara mendadak selepas diberhentikan kerja.
Menurut perkongsiannya, segalanya bermula apabila syarikat tempatnya bekerja mengalami masalah kewangan dan terpaksa mengecilkan operasi. Oleh sebab itu, dia merupakan antara kakitangan yang terpaksa dilepaskan.
“Pada awalnya, saya menyangka ujian itu hanyalah sementara dan yakin isteri akan menjadi sumber kekuatan. Sebaliknya, sejak kehilangan pekerjaan dan masih belum mendapat pekerjaan baharu, layanan isteri berubah 180 darjah.
“Nada suara yang dulunya lembut bertukar menjadi keras dan penuh sindiran. Malah, setiap hari pasti akan dihina kerana tidak lagi membawa pulang pendapatan,” katanya.
Lebih menyedihkan, katanya, dia dipaksa melakukan semua kerja rumah seperti seorang orang gaji sedangkan isterinya pulang dari kerja hanya untuk berehat dan bermain telefon.
Menurutnya, jika ada tugasan yang tidak dilakukan mengikut kehendaknya, Adli akan dimarahi dan dimaki tanpa belas kasihan.
“Adakalanya isteri saya tiba-tiba memukul tanpa sebab yang jelas. Anehnya, dia seolah-olah berpuas hati dengan tindakan yang tidak masuk akal itu.
“Pernah juga berlaku satu insiden apabila dia membaling alat kawalan jauh televisyen ke arah saya hingga dahi saya lebam dan sedikit berdarah,” katanya.
Adli berkata, lengannya juga pernah dicubit dan dicakar hingga meninggalkan kesan merah dan biru selama beberapa hari.Namun kecederaan fizikal itu tidaklah seteruk luka di dalam hati kerana dia hidup dalam ketakutan dan tekanan.
Katanya, setiap kali terdengar bunyi pintu dibuka menandakan isterinya pulang, jantungnya berdegup kencang. Dia bimbang jika ada kesilapan kecil yang akan mengundang kemarahan.
Trauma yang dilaluinya membuatkan dia menjadi semakin pendiam. Dia memilih untuk menjauhkan diri daripada rakan-rakan kerana sukar berkongsi kisah sebenar, malah bimbang tidak akan dipercayai hanya kerana dia seorang lelaki.
“Dalam masyarakat, kisah suami didera isteri sering dianggap mustahil atau bahan jenaka. Justeru itu, saya memilih untuk memendam rasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, sebagai seorang suami, perkahwinan adalah amanah dan dia masih berharap isterinya akan berubah suatu hari nanti. Menurut Adli, dia tidak akan memilih langkah perceraian sebagai penyelesaian.
Dia tidak mahu anak-anak membesar dalam keluarga yang berpecah. Setiap kali dimarahi, dia hanya menunduk dan berdiam diri. Dalam hatinya, dia berdoa agar rumah tangganya kembali seperti dahulu.
Kes suami didera sukar dikesan
Menurut pakar sosial, Datuk Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran, penderaan rumah tangga yang dihadapi kaum lelaki selalunya bersifat lebih halus dan sukar dikesan.

Beliau menjelaskan, penderaan ini kebanyakannya berbentuk sosial dan emosi, yang tidak meninggalkan kesan fizikal yang jelas atau mudah dilihat.
Penderaan terhadap suami sering berlaku dalam bentuk penghinaan berterusan, memperlekehkan kemampuan, mengawal pergaulan, atau menjatuhkan maruah di hadapan orang lain.
“Oleh kerana ia tidak melibatkan kecederaan fizikal, masyarakat sekeliling jarang menyedari mangsa sebenarnya menderita.
“Kebanyakan mangsa memilih untuk berdiam diri kerana bimbang dipandang lemah sehingga tidak mampu memimpin keluarga,” katanya.
Justeru, stigma tersebut yang menyebabkan ramai mangsa lelaki terus memendam rasa tanpa mendapatkan bantuan.
Ketidakseimbangan kuasa dalam rumah tangga
Menurutnya, antara faktor terbesar yang boleh mencetuskan konflik dalam rumah tangga ialah ketidakseimbangan kuasa, khususnya apabila isteri mempunyai pekerjaan lebih stabil dan berpendapatan lebih tinggi berbanding suami.
Katanya, situasi tersebut bukanlah sesuatu yang salah dan tidak boleh terus dianggap sebagai punca utama keganasan.
Dalam dunia moden hari ini, wanita yang berjaya dan berpendapatan tinggi adalah perkara biasa dan wajar diraikan.
“Namun, ia boleh menjadi pencetus konflik sekiranya pasangan gagal memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing.
“Misalnya, ada keadaan apabila isteri berasa dirinya lebih berhak membuat keputusan mutlak dalam rumah tangga kerana menyumbang pendapatan lebih besar.
“Dalam situasi tertentu, suami pula mungkin dipaksa akur dengan arahan termasuk dalam urusan rumah tangga, walaupun dia juga bekerja sepenuh masa,” jelas beliau.
Jika keadaan ini tidak ditangani dengan matang, ia boleh mewujudkan suasana tidak sihat dalam perkahwinan.
Suami mungkin dipandang rendah, pendapatnya diketepikan dan sumbangannya dianggap tidak signifikan.
Beliau berkata, dalam jangka panjang, penderaan sosial dan emosi seperti ini boleh memberi kesan mendalam terhadap kesihatan mental mangsa.
Rasa tidak dihargai, hilang keyakinan diri dan tekanan berpanjangan boleh membawa kepada kemurungan, kebimbangan melampau serta konflik dalaman yang serius.
Peranan, tanggungjawab perlu difahami bersama
Secara tradisinya, suami dilihat sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab memastikan keperluan asas dipenuhi.
Namun dalam realiti masa kini, struktur keluarga semakin dinamik. Ramai pasangan berkongsi tanggungjawab kewangan dan pengurusan rumah tangga secara bersama.
Menurut Mohammad Shatar, apa yang lebih penting bukanlah soal siapa lebih tinggi pangkat mahupun gaji, tetapi bagaimana kedua-duanya dapat menghormati peranan masing-masing.

“Isteri yang dihormati dan berautoriti di tempat kerja tetap perlu mengekalkan sikap saling menghargai apabila berada di rumah.
“Begitu juga suami harus terus memainkan peranan dengan penuh tanggungjawab tanpa rasa terancam,” katanya.
Beliau berkata, rumah tangga bukan medan perebutan kuasa dan pasangan suami isteri harus faham apa tujuan utama kedua-dua mereka setuju untuk berkahwin.
Katanya, sekiranya ada perbezaan pendapatan, ia seharusnya menjadi kekuatan bersama, bukan alat untuk menekan pasangan.
Elak mengadu di media sosial
Menurutnya, apabila seorang suami menjadi mangsa penderaan rumah tangga, sama ada secara fizikal atau emosi, perasaan malu dan kekeliruan pastinya muncul.
Namun, menjadikan media sosial sebagai tempat meluahkan segala-galanya bukanlah langkah terbaik.
“Media sosial bukan ruang yang selamat untuk berkongsi kisah penderaan. Apa yang ditulis dalam keadaan emosi boleh disalah tafsir, ditularkan netizen sehingga mengundang kecaman.
“Lebih membimbangkan, ia boleh memburukkan lagi keadaan rumah tangga serta memberi kesan kepada anak-anak dan keluarga terdekat,” katanya.
Dalam sesetengah keadaan, masyarakat cenderung memihak kepada pasangan yang berpendapatan lebih tinggi dan menganggap situasi suami bergaji rendah sebagai sesuatu yang wajar dipersoalkan.
Sikap tersebut secara tidak langsung menormalisasikan tekanan terhadap suami dan mengukuhkan stereotaip bahawa lelaki mesti sentiasa lebih berjaya daripada isteri.
Sebaliknya, beliau menasihatkan individu yang berdepan tekanan rumah tangga mendapatkan bantuan daripada saluran yang betul.
“Berkongsilah dengan individu dipercayai seperti ahli keluarga terdekat, ibu bapa, sahabat baik, atau dapatkan khidmat kaunseling profesional.
“Sokongan yang tepat dan jauh lebih penting daripada perhatian sementara di alam maya,” katanya.
Komunikasi sihat asas keharmonian
Mohammad Shatar berkata, keganasan rumah tangga terhadap lelaki bukan isu remeh dan tidak sepatutnya dipandang sebelah mata.
Penderaan sosial dan emosi yang berlarutan bukan sahaja memberi kesan kepada individu, malah boleh menjejaskan keharmonian keluarga secara keseluruhan.
Justeru itu, katanya, kefahaman, komunikasi yang sihat dan kesedaran bahawa dalam sesebuah perkahwinan diperlukan dalam sesebuah keluarga bagi memastikan tiada siapa yang lebih berkuasa.
Katanya, suami isteri haruslah tanggungjawab untuk saling menghormati, melindungi dan memperkukuh antara satu sama lain demi kesejahteraan bersama.










