HIDUP jarang sekali menawarkan laluan yang lurus dan mudah. Bagi Dr. Malik Yatam, realiti itu sudah difahami sejak usia masih mentah, ketika rakan sebaya lain masih bebas bermimpi tanpa batas.
Pada usia 13 tahun, dia sedar pilihan hidup sering ditentukan oleh keadaan, bukan keinginan. Dilahirkan dalam keluarga serba kekurangan di kawasan pedalaman, pendidikan bukan keutamaan utama dalam keluarganya.
Latar belakang keluarga tanpa tradisi akademik menjadikan perjalanan hidupnya bermula dengan serba keterbatasan. Keperluan harian mendahului segalanya, memaksa Malik berhenti sekolah ketika di tingkatan satu.

Malik melakukan pelbagai pekerjaan seperti memetik kelapa, menoreh getah dan menerima kerja upahan demi membantu keluarga menyambung kehidupan.
Hijrahnya ke Kota Kinabalu membuka lembaran baharu. Di kota itu, dia bekerja sebagai pembantu restoran dan pembantu pembuat kek, menjalani kehidupan sederhana demi mencari rezeki halal.
Namun, perjalanan hidup pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pentadbiran Perniagaan itu tidak sentiasa berada di landasan yang betul apabila dia tidak dibayar gaji selepas enam bulan bekerja dan mengalami eksploitasi buruh serta didera secara fizikal.

Dalam percubaan untuk melarikan diri daripada situasi itu, berlaku satu pergaduhan yang mengakibatkan kematian majikannya. Akibatnya, Malik ditangkap dan dikenakan hukuman Tahanan Limpah Sultan (TLS) iaitu hukuman tanpa tarikh pembebasan tetap kerana ketika itu dia masih di bawah umur selain tidak layak dikenakan hukuman mati di bawah undang-undang Malaysia.
Hukuman itu menyebabkan Malik berada di dalam penjara selama 24 tahun, sehingga dia menerima pengampunan penuh diraja pada 11 Disember 2024 sebelum bebas.
Pengalaman sebagai banduan menjadi fasa paling getir dalam hidupnya. Namun, di situlah juga tercetus titik perubahan yang tidak pernah disangka.
BANGUN 3 PAGI DI PENJARA
Di sebalik tembok penjara, Malik mula melihat hidup dari sudut yang berbeza. Pemenjaraan bukan pengakhiran, sebaliknya ruang untuk membina semula diri.
Rutin harian di penjara sangat terikat dengan peraturan. Kelas hanya bermula dari pukul 8 pagi hingga 3.30 petang, tetapi Malik memilih untuk bangun seawal 3 pagi.
Waktu sunyi sebelum subuh dimanfaatkan sepenuhnya untuk menulis, membaca dan mengulang kaji pelajaran, rutin yang dilakukannya sejak peringkat sarjana muda.

Walaupun melanjutkan pengajian hingga ke peringkat tertinggi, tiada layanan istimewa diberikan kepadanya sebagai banduan.
“Tiada istilah saya lebih istimewa daripada banduan lain. Saya menjalani rutin dan peraturan yang sama, tanpa layanan berbeza walaupun melanjutkan pengajian,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain mengurus masa dengan ketat, Malik turut menjaga kekuatan rohani. Setiap hari, dia memastikan membaca sekurang-kurangnya selembar al-Quran sebagai pengingat tujuan hidup.
Amalan rohani itu mengajarnya kehidupan bukan hanya soal dunia dan pencapaian, tetapi juga hubungan dengan Tuhan.
Kesihatan fizikal tidak diabaikan. Senaman dan pemikiran positif menjadi benteng diri untuk terus bertahan dalam persekitaran yang mencabar.
Berdepan stigma masyarakat, Malik memilih untuk bersikap terbuka. Baginya, sesiapa yang sanggup menerima pujian juga perlu bersedia menerima kecaman dan hinaan.
BERGELAR USAHAWAN
Hari ini, pada usia 40 tahun, Malik tampil dengan wajah baharu. Dia kini seorang usahawan tani, penceramah motivasi dan penulis buku.
Projek cili fertigasi yang diusahakannya menjadi platform melahirkan usahawan dalam kalangan banduan dan bekas banduan, selari dengan visi syarikat yang ditubuhkan.

Malik percaya banduan juga manusia biasa yang memerlukan pemulihan, bukan sekadar hukuman semata-mata.
Tanpa sokongan, peluang pekerjaan dan bimbingan, bekas banduan mudah kehilangan keyakinan serta sumber ekonomi, sekali gus terdedah untuk mengulangi kesilapan lalu.
Berdasarkan pengalamannya, lebih 150 banduan yang mengikuti pengajian lanjutan mencatatkan kadar pengulangan jenayah kurang daripada 10 peratus.
Statistik itu membuktikan pendidikan bukan hanya tentang sijil atau gelaran, tetapi membentuk pemikiran baharu dan kesedaran diri.
Ke hadapan, Malik menyimpan impian besar iaitu mengembangkan syarikatnya, membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang pertanian, menjadi pensyarah dan menyambung satu lagi pengajian PhD kerana baginya, menuntut ilmu adalah perjalanan sepanjang hayat.










