Gunung berapi ‘maut’ El Chichón kembali aktif

Gunung berapi ‘maut’ El Chichón kembali aktif

PENYELIDIK mengesan peningkatan suhu serta pembentukan sulfur luar biasa di dalam Gunung Berapi El Chichón di Mexico.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEXICO CITY: Penduduk dan saintis kini berada dalam keadaan berjaga-jaga susulan penemuan tanda-tanda aktiviti membimbangkan di gunung berapi ‘maut’ El Chichón atau lebih dikenali sebagai Chichonal, yang terletak di Mexico. 

Selepas lebih empat dekad tidak menunjukkan sebarang aktiviti besar, gunung berapi yang pernah mencetuskan tragedi ngeri ini dilaporkan mula menunjukkan perubahan drastik pada dinamik dalamannya.

Pasukan penyelidik daripada Universiti Autonomi Kebangsaan Mexico (UNAM) mengesan peningkatan suhu yang ketara, pembebasan gas dalam jumlah besar serta pembentukan sulfur yang luar biasa di dalam kawah gunung tersebut. 

Data ini dikumpulkan melalui pemantauan rapi yang dijalankan antara bulan Jun dan Disember 2025. Kali terakhir El Chichón meletus adalah pada tahun 1982, satu bencana yang mengorbankan sekurang-kurangnya 2,000 nyawa dan kekal sebagai antara letusan gunung berapi paling maut dalam sejarah Mexico.

Penemuan paling ketara yang didokumentasikan oleh Institut Geofizik UNAM adalah perubahan warna pada tasik kawah gunung berkenaan. Tasik tersebut yang kebiasaannya berwarna hijau akibat populasi alga kini bertukar menjadi kelabu pudar. 

Perubahan warna ini dipercayai berpunca daripada peningkatan kadar sulfat dan silika di dalam air, yang turut disertai dengan pembentukan sfera sulfur berongga yang unik di dalam kolam sulfur cecair di dasar kawah.

Penyelidikan lapangan juga menunjukkan kehadiran gas hidrogen sulfida dan karbon dioksida yang terkumpul di kawasan sekitar kawah. Kehadiran gas-gas ini dalam kepekatan tinggi boleh mendatangkan risiko keselamatan kepada manusia dan haiwan, terutamanya di kawasan tanah rendah atau ruang tertutup. 

Meskipun aktiviti ini mencetuskan kebimbangan, para saintis menegaskan, setakat ini tiada bukti menunjukkan terdapat pergerakan magma di bawah permukaan gunung berapi tersebut. 

Walaupun tiada ancaman segera dikesan, pemantauan jarak jauh dan kerja lapangan terus dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan penduduk setempat sentiasa terjaga. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×