CPR 5T bantu OKU pendengaran selamatkan nyawa

CPR 5T bantu OKU pendengaran selamatkan nyawa

Dr. Mohd Hisham Mohd Isa (berdiri) dan Dr. Ruslinda Mustafar (berdiri) memerhatikan peserta mempraktikkan tekanan dada.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“APABILA kita lihat orang yang terlantar pengsan dan periksa nadinya, saya sangat gementar sebab tidak pernah lagi melakukan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR). Saya telefon 999 dan pegawai yang menjawab itu, meminta saya melakukan CPR pada jiran itu.

“Nasib baik saya masih ingat apa yang saya pelajari masa di sekolah menengah dulu. Kita tahu kedudukan tangan dan bagaimana hendak menekan dada pesakit ketika itu. Saya melakukan CPR dengan panduan petugas kecemasan yang berada dalam talian telefon,” kata Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman.

Beliau yang juga Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkongsi pengalamannya menjalankan CPR pada jirannya yang sudah pengsan selama sejam. Namun kerana ajalnya sudah ditakdirkan, jirannya itu tidak dapat diselamatkan.

“Saya masih ingat peristiwa itu dan saya sedar keperluan untuk belajar dengan lebih baik supaya saya dapat melakukan CPR ini dengan berkesan,” katanya pada Program Penyelamat Senyap, sebuah inisiatif latihan CPR inklusif khusus untuk komuniti orang kurang upaya (OKU) pendengaran di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), Cheras.

Program itu dianjurkan Jabatan Perubatan Kecemasan, Fakulti Perubatan dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) dengan kerjasama Persatuan Orang Pekak Malaysia (MFD) dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM), membabitkan 130 peserta dari kesemua persatuan berkenaan.

“Program ini tercetus daripada satu realiti yang perlu diakui secara jujur, meskipun latihan pertolongan cemas dan CPR semakin meluas diperkenalkan kepada masyarakat, komuniti OKU pendengaran masih berdepan jurang akses yang ketara, khususnya akibat kekangan komunikasi serta ketiadaan modul latihan yang sesuai dalam konteks kecemasan perubatan.

“Setiap saat amat berharga. Keupayaan seseorang individu untuk bertindak awal boleh membezakan antara hidup dan mati. Justeru, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan tiada golongan tercicir daripada kemahiran menyelamatkan nyawa hanya kerana perbezaan keupayaan deria,” katanya.

Melalui pendekatan latihan CPR menggunakan Bahasa Isyarat Malaysia, serta pembangunan jurulatih dalam kalangan komuniti pekak sendiri, program ini membawa satu anjakan paradigma daripada pendekatan latihan untuk komuniti, kepada latihan bersama oleh komuniti.

Program Penyelamat Senyap

UKM menyasarkan program Penyelamat Senyap diperluaskan ke negeri-negeri lain sebagai model latihan CPR inklusif peringkat nasional, selari dengan usaha memperkukuh keterangkuman sosial dan memastikan kemahiran menyelamatkan nyawa dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan dan Masyarakat Fakulti Perubatan UKM, Prof. Madya Dr. Ruslinda Mustafar, turut berkongsi pengalaman melakukan CPR terhadap abangnya yang tiba-tiba pengsan.

“Masa amat penting apatah lagi jika jantung terhenti dalam hanya beberapa saat. Masa saya berlari pada pukul 3 pagi ke rumah abang yang tidak jauh dari rumah saya, 10 minit rasa berbulan untuk sampai. Apabila sampai, saya lihat ramai orang di rumah hanya berdiri tanpa dapat membantu. Bila saya sampai, saya buat CPR.

“Kita tahu dalam beberapa saat amat penting bagi menyelamatkan nyawa mereka yang tidak bernafas. Bukan ahli kesihatan sahaja yang perlu tahu pasal CPR, tetapi semua masyarakat seharusnya faham untuk melakukan proses itu, “ katanya.

Katanya, beliau percaya latihan CPR khusus untuk orang kurang upaya pendengaran yang dijalankan dengan diterajui Jabatan Perubatan Kecemasan itu adalah amat penting dan istimewa.

Modul yang dibawakan adalah modul yang pertama dibangunkan di dunia, menggunakan pendekatan 5T iaitu Tengok keselamatan, Tegur sama ada mangsa sedar atau tidak, Teriak untuk memanggil bantuan atau Telefon 999, Teliti mangsa bernafas atau tidak dan Tekanan dada/CPR.

“Kita mahu, di mana-mana kita berada, rasa selamat sebab ada orang pandai buat CPR. Samada ketika berada di padang bola, balik kampung, pergi masjid dan sebagainya.

Semua boleh belajar CPR

“Modul ini dirangkumkan dalam modul bantuan CPR yang dibangunkan oleh penyelidik Fakulti Perubatan yang diterajui oleh Prof. Dr. Ismail Saibun. Antara pengisian utama program ialah bengkel latihan CPR dalam bahasa isyarat, pelancaran modul CPR inklusif serta demonstrasi praktikal secara interaktif,” katanya.

Program ini menyasarkan penyertaan 130 individu pekak dan kurang pendengaran, dengan sekurang-kurangnya 20 peserta dilatih sebagai jurulatih

CPR komuniti melalui pendekatan ‘train-the-trainer’. Peserta akan belajar secara demonstrasi dan latihan praktikal menggunakan patung yang ada secara berulang-ulang.

Katanya antara lain, misi utama program ini adalah meningkatkan peranan dalam mendaya upaya komuniti seiring falsafah pembangunan Madani oleh kerajaan yang dijalankan menerusi dana dari geran Program Pendayaan Komuniti@UniMADANI Kementerian Kewangan Tahun 2025 bernilai RM120,000.00.

Teknik CPR lebih mudah difahami

Penyelidik daripada Jabatan Perubatan Kecemasan, Fakulti Perubatan UKM, mencipta satu kaedah untuk mengajar CPR menggunakan teknik yang mudah untuk difahami dan menggunakan Bahasa Malaysia dengan kaedah 5T.

Timbalan Ketua Jabatan Perubatan Kecemasan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program Penyelamat Senyap, Lt. Kol. Bersekutu (PA), Prof. Madya Dr. Mohd Hisham Mohd Isa berkata, CPR yang diajar kepada peserta adalah menggunakan tangan sahaja iaitu tiada pernafasan mulut ke mulut. Ini bagi mencari satu solusi bantuan yang mesra orang kurang upaya pendengaran atau pekak.

“Orang kurang keupayaan pendengaran juga sentiasa berada dalam kalangan masyarakat dan kalau mereka tidak tahu melakukan CPR apabila ada mangsa pengsan, tidak bernafas dan tiada nadi, dia tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya tunggu ambulan yang tidak tahu bila akan sampai.

“Jadi kita latih mereka dan mereka akan sebarkan kepada komuniti mereka mengenai CPR dan seterusnya akan lebih ramai orang yang celik CPR di masa depan. Mangsa yang dapat bantuan CPR, peluang mereka tiga kali lebih tinggi untuk pulih berbanding yang tidak mendapat CPR,” katanya.

Katanya, alat Defibrillator Luaran Automatik (AED) yang dulu hanya digunakan oleh pihak perubatan kini sudah ditempatkan di pusat-pusat membeli belah dan bangunan kerajaan. AED ini sepatutnya digunakan oleh orang awam juga namun orang ramai perlu belajar menggunakannya.

Katanya, fakulti itu juga cuba membawa model 5T ke negara yang bertutur dalam Bahasa Melayu seperti Indonesia, Singapura dan Brunei. Sebelum ini mereka sempat ke Indonesia dan menerima sambutan baik daripada fakulti kedoktoran di Universiti Syiah Kuala. Kaedah 5T juga bakal diperkenalkan di Brunei dan Singapura.

Reaksi peserta

Seorang daripada peserta OKU pendengaran, Muhammad Marcus, berkata dia untuk mempelajari teknik CPR sehingga sanggup menunggang motosikal dari Pahang ke HCTM.

“Sebenarnya ini pertama kali saya mengetahui mengenai teknik CPR. Bagi saya ia satu teknik yang penting dan harus dipelajari bagi menyelamatkan mangsa yang tidak sedarkan diri secara tiba-tiba, “katanya menerusi penterjemah bahasa isyarat.

Aqlam Jafri pula meluahkan rasa bangga kerana program itu memberi kesedaran kepada orang kurang upaya pendengaran untuk mempelajari CPR.

“Harapan saya semoga kami boleh sama-sama belajar mengenai teknik penyelamatan nyawa ini dan berharap UKM dan HCTM terus bekerjasama dengan kami supaya maklumat ini dapat disebarkan secara meluas kepada seluruh komuniti, “ katanya.

Kamaruzzaman Harun juga mengakui program itu sangat memberi manfaat dan penting untuk OKU pendengaran terutama ahlinya yang sering berada di padang menjalankan latihan atau perlawanan sukan.

“Di padang, bila-bila saja berkemungkinan ada yang akan pengsan atau rebah akibat serangan jantung dan sebagainya. Jika ahli kami tahu cara membuat CPR, ini akan membantu menyelamatkan mangsa di peringkat awal, “ katanya.

Wan Nomi berkata, program itu sangat dialu-alukan oleh Alumni SM Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam yang sudah berusia 38 tahun dengan jumlah alumni yang berdaftar hampir lebih 600 orang.

Teknik CPR

CPR boleh dibuat apabila kita tengok orang yang pengsan tidak sedar dan tidak bernafas. Orang awam tidak perlu memeriksa nadi berbanding pihak kesihatan. Hanya perlu lihat mangsa bernafas atau tidak. Orang tidak bernafas, mesti tiada nadi, Tidak perlu buat mulut ke mulut,

Tekan dada dengan kiraan dua minit, 100 sehingga 120 kali tekanan. Selepas dua minit,berhenti dan periksa, adakah pesakit bernafas atau sebaliknya. Kalau tidak bernafas, sambung lagi dua minit sehinggalah mereka bernafas atau apabila ambulan sampai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×