MASIH ingatkah gaya Anita Mui memakai qipao dalam filem Rouge yang popular pada 80-an?
Aura anggun legenda Hong Kong itu menyuntik inspirasi buat jenama fesyen, Fiziwoo dalam penghasilan koleksi Tahun Baharu Cina 2026.
Koleksi dinamakan Mui itu menampilkan sebanyak 10 rekaan yang menggabungkan glamor 80-an dengan kemahiran kontemporari.
Ia termasuk mentafsir semula qipao dengan siluet yang pelbagai daripada ketat mengikut bentuk badan hingga ke lebih lembut.
Namun, identiti ikonik jenama itu iaitu lilitan di sekitar pinggang masih dikekalkan.
Perincian lain ialah hems beralun inspirasi daripada kebangkitan art deco 60-an, pleat akordion, kolar dan skirt asimetri.
Pengarah kreatifnya, Hafizi Radzi Woo berkata, rekaan dalam koleksi ini turut diinspirasikan daripada cheongsam tanpa lengan yang dipakai Anita semasa persembahan penting.
“Mui adalah tribut kepada Anita, kami bukan meniru penampilannya tetapi menterjemahkan keyakinan, keanggunan dan aura emosinya ke dalam rekaan pakaian untuk wanita masa kini,” katanya baru-baru ini.

Palet warna 80-an
Pemilihan warna dalam koleksi ini turut diinspirasikan daripada kilauan neon Hong Kong yang dipengaruhi oleh haute couture Barat.
Namun, tona itu dilembutkan menjadi palet yang sesuai untuk iklim tropika iaitu merah jambu lembut, magenta, biru, kuning lemon, merah pekat, champagne dan merah.
Kata Hafizi, warna-warna tersebut tetap ekspresif dan mudah digayakan.

Koleksi lelaki
Buat julung kalinya, Fiziwoo memperkenalkan koleksi pakaian lelaki sempena Tahun Baharu Cina ini di bawah label Woobrothers.
Kesemua enam rekaan kemeja tradisional itu diinspirasikan daripada seorang lagi bintang popular Hong Kong, Andy Lau.
Pengarah urusannya, Izree Kai Haffiz berkata, fabrik broked dipilih dengan lapisan sutera penuh bagi memberikan struktur dan menjamin keselesaan pemakai.
Istimewanya, ia turut diberi sentuhan kontemporari menerusi kolar Hawaii moden, menggantikan kolar mandarin.
Koleksi Lau menampilkan enam warna iaitu arang, merah pekat, jade lembut, krim keemasan, baby blue, dan merah jambu lembut.










