Bambang fokus lahirkan pendandan rambut profesional

Bambang fokus lahirkan pendandan rambut profesional

BAMBANG SUTRISNO SOTETO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMA Bambang Sutrisno Soteto, 45, sudah tidak asing lagi dalam dunia dandanan rambut.

Sentuhan profesional dan kepakarannya memukau ramai, termasuk golongan VIP dan selebriti terkenal.

Berbekalkan pengalaman 26 tahun dalam industri, dia turut aktif mengendalikan pelbagai sesi latihan dan kursus dandanan rambut.

Misi pemilik Hairkunst ini adalah untuk melahirkan komuniti pendandan rambut yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing.

Sekali gus menyumbang kepada perkembangan industri dandanan rambut tempatan.

Di bawah bimbingannya kini, hampir 100 pendandan rambut profesional sudah dilahirkan termasuk pelakon, Ryzal Jaafar.

Katanya, perjalanan sebagai tenaga pengajar bermula sejak 10 tahun lalu menerusi kursus jangka pendek dan panjang yang disediakannya.

“Selain selebriti seperti Ryzal, antara peserta yang dibimbing ialah golongan profesional seperti doktor dan jurutera.

“Kebanyakannya tanpa sebarang ilmu atau latar belakang khusus, namun kini mereka berjaya bergelar pendandan profesional termasuk memiliki salun sendiri,” katanya baru-baru ini.

Katanya, kejayaan anak didiknya itu adalah hasil formula ASAM yang diperkenalkannya.

Menerusi formula itu, sesiapa sahaja berpeluang menjadi pendandan profesional, asalkan mempunyai minat dan kemahuan untuk menguasai seni dandanan rambut.

Terbaharu, pemegang Ijazah Kejuruteraan Kimia dari Universiti Fachhochschule Mannheim, Jerman ini turut membuka premis ruang kerja bersama seluas 7,000 kaki persegi khusus untuk perkhidmatan kecantikan di Mutiara Damansara.

Ia bertujuan memberi peluang buat anak-anak muda untuk memulakan perniagaan tanpa kos yang tinggi, sekali dapat membina reputasi dalam industri.

Ruang kerja bersama itu kini disewa oleh sembilan usahawan muda dandanan rambut selain rawatan kuku dan wajah.

“Saya tahu betapa susahnya menjadi usahawan kecantikan dan rambut, kerana memerlukan kos yang mahal untuk membuka salun atau kedai.

“Oleh itu, saya terpanggil untuk memperkenalkan konsep ruang kerja yang kondusif ini, sekurang-kurangnya mereka dapat memulakan perniagaan atau jenama masing-masing walaupun dengan modal kecil,” katanya.

Salun muslimah premium

Dalam perkembangan sama, Bambang Sutrisno terus mengukuhkan jenama Hairkunst menerusi pelancaran salun muslimah premium, Hairkunst Hijabis Luxe di Bandar Baru Bangi.

Salun muslimah kedua itu selepas di Melawati Mall itu diusahakan bersama rakan kongsinya, Yuskiahniza Md. Yusof dengan berlandaskan prinsip syariah dan keperluan wanita muslimah moden.

“Kami sedar keperluan wanita Muslimah yang mahukan ruang rawatan rambut yang bukan sahaja berkualiti tinggi, tetapi tertutup sepenuhnya, selesa dan menjaga aurat.

“Realitinya, masih ramai wanita terpaksa berkompromi antara keinginan untuk menjaga penampilan dan pegangan agama, justeru Hairkunst Hijabis Luxe diwujudkan sebagai satu solusi menyeluruh,” katanya yang memiliki enam cawangan Hairkunst.

Selain konsep privasi, kata Yuskiahniza, produk-produk yang digunakan juga berasaskan vegan sehingga 95 peratus.

Ia termasuk pewarna rambut telus air, rawatan rambut organik, keratin, rebonding serta rawatan kulit kepala yang dipilih secara teliti.

Katanya, setiap produk dan prosedur dinilai bagi memastikan ia bukan sahaja selamat dan berkesan, malah patuh syariah serta sesuai dengan keperluan ibadah muslimah.

Bagi menjamin pengalaman pelanggan yang setara dengan standard antarabangsa, Hairkunst Hijabis Luxe menggunakan peralatan profesional berjenama seperti Dyson dan GHD.

“Malah, hanya pendandan berpengalaman lebih 10 tahun yang ditugaskan di cawangan ini selaras untuk mengekalkan kualiti perkhidmatan,” katanya.

Salun ini turut menyediakan bilik rawatan peribadi, ruang manicure dan pedicure VIP, surau, pantry, perkhidmatan valet serta glass house untuk para suami dan ahli keluarga menunggu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN