818 pemilik Lambretta ‘berlumba’ di litar Sepang

818 pemilik Lambretta ‘berlumba’ di litar Sepang

WALTER Scheffrahn (depan) mengetuai konvoi Lambretta mengelilingi Litar Lumba Antarabangsa Sepang Petronas (SIC).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAMA ini mereka mungkin hanya dapat menyaksikan Marc Márquez, Valentino Rossi, Fabio Quartararo dan Hafizh Syahrin beraksi di Litar Antarabangsa Sepang Petronas (SIC). Kecekapan para pelumba MotoGP tersebut mengawal motosikal masing-masing dalam kelajuan tinggi di selekoh dan laluan lurus pastinya mengujakan mereka.

Pucuk dicita ulam mendatang. Mana-mana penunggang pun pasti tidak menolak jika diberi peluang menunggang motosikal di litar F1 terbesar di Asia Tenggara itu.

Begitu juga pemilik Lambretta ketika diberi peluang ‘berlumba’ di litar berkenaan apabila skuter dari Itali itu bekerjasama dengan SIC menganjurkan hari litar untuk mereka, baru-baru ini. Paling istimewa, mereka tidak perlu pakai suit lumba seperti selalu diwajibkan pada hari litar.

Hanya topi keledar dan kasut bertutup sudah memadai. Mereka yang terdiri daripada 818 peserta berdaftar mengambil bahagian dalam acara tunggangan pacu ria mengelilingi litar sepanjang 5.5 kilometer tersebut.

Pelbagai model Lambretta boleh dilihat. Yang klasik, yang terkini, semua ada.

Penunggang pula ada yang veteran, ada yang generasi baharu, namun kesemuanya menampilkan semangat sama. Tambah mengujakan, pemilik jenama Lambretta, Walter Scheffrahn turut menunggang bersama-sama mereka.

Walter dalam ucapannya sebelum program bermula berkata, beliau kagum dengan penerimaan sepenuhnya peminat skuter di negara ini terhadap Lambretta.

“Apabila saya ke sini, saya dapat rasakan ada satu ikatan yang sangat istimewa, iaitu rakyat Malaysia menerima sepenuhnya apa yang ditampilkan oleh Lambretta. Ini bermakna ada sesuatu, iaitu ada hubungan yang erat antara rakyat Malaysia dan rakyat Itali.

“Ada rasa ikatan kekeluargaan, ada rasa penghargaan terhadap reka bentuk (Lambretta). Mereka menghargai gayanya. Juga wujud komuniti besar yang mempunyai minat sama,” katanya.

Perhimpunan mega Lambretta itu telah mencatatkan rekod baharu ASEAN dan Asia sebagai tunggangan pacu ria pemilik sebuah jenama skuter terbesar. Sebelum itu, Walter melancarkan Lambretta X300 CASA edisi terhad dan menyerahkan model tersebut kepada 68 pemilik di negara ini.

WALTER Scheffrahn (dua dari kiri) menunjukkan isyarat L yang bermaksud Lambretta selepas melancarkan model X300 CASA edisi terhad.

Model edisi terhad itu hanya ada 999 unit di seluruh dunia. Dalam pasaran Malaysia ada 99 unit ditawarkan kepada pembeli dan kesemuanya sudah habis terjual.

Dipasang enjin Lambretta Super Performance berkapasiti 275 cc, ia mampu menghasilkan 25.1 kuasa kuda (HP) pada 8,250 putaran per minit (rpm) dan tork 24.5 Newton meter (Nm) pada 6,250 rpm. Dengan kuasa enjin sebegini sudah tentu memberikan tunggangan yang responsif dan bertenaga sekali gus pengalaman menyeronokkan setiap kali ditunggang.

Juga dilengkapi aksesori gentian karbon pada cermin depan, spoiler belakang dan penutup penyerap hentak depan yang menghasilkan garisan aerodinamik serta menampilkan reka bentuk jentera lumba. Model ini dibangunkan dengan kerjasama pasukan legenda, CASA Lambretta Racing Team.

Terdapat nombor ‘47’ yang bermaksud tahun pengeluaran pertama Lambretta, iaitu 1947.

Harga skuter tersebut disenaraikan sebagai harga atas permohonan (POA) berikutan model itu jarang ditemui di Malaysia serta permintaan yang sangat tinggi.

Ia dengan pantas menjadi barangan koleksi, malah terdapat pemilik yang telah menaikkan nilai jualan semula sehingga RM48,000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN