LGBT perlu ditangani dengan ‘ihsan’

LGBT perlu ditangani dengan ‘ihsan’

Isu LGBT perlu ditangani dengan 'ihsan' dan lebih holistik.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Semua pihak yang terlibat dengan nafsu songsang sama ada mangsa, pesakit dan pejuang advokasinya perlu dibantu! Lain masalah lain cara bantuannya, lain sakit lain ubatnya!”
Benar! Muslim wajib membantu semua saudaranya yang ditimpa musibah dan bencana.

Cuma, cara bantu pasti berbeza mengikut situasi dan penyakit.

Ia seiring sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Bantu saudaramu yang zalim dan dizalimi!” Seorang lelaki lantas bertanya hairan: “Wahai Rasulullah, memang Aku akan bantu dia jika dia dizalimi. Tapi bagaimana Aku perlu membantu orang yang zalim?” Nabi SAW menjawab: “Cara untuk membantunya ialah dengan menyekat dia dari melakukan kezaliman” (Sahih al-Bukhari, 6952).

Umat Islam di negara ini dikejutkan dengan laporan penahanan seramai 203 lelaki di sebuah premis kesihatan di Kuala Lumpur yang dipercayai terlibat dengan aktiviti seks songsang sama jantina.

Ops Songsang yang berlaku pada 28 November 2025 itu menyaksikan penahanan 17 penjawat awam.

Begitupun, permohonan reman mereka ditolak mahkamah atas beberapa sebab teknikal.

Berikutan berita tersebut, kerunsingan umat Islam terhadap aktiviti seks songsang semakin meningkat.

Tambahan pula, penahanan untuk siasatan lanjut ditolak kerana isu teknikal yang lazimnya mampu dimanipulasi oleh pihak yang pandai dan licik mencari lompong dalam undang-undang.

Manusia yang sihat akal dan minda tahu dengan jelas kegiatan songsang seks sama jantina ialah jenayah moral yang tidak boleh dibiarkan.

Ia wajib dibanteras kerana penyakit ini mampu berjangkit dan merebak sehingga memangsakan ramai pihak termasuk orang yang kita sayang dan cinta.

Apabila wabak ‘gila’ ini berjangkit, ia sukar dirawat kerana sudah bercampur dengan ‘perencah’ syaitan yang sangat dalam menusuk jiwa pelakunya.

Ini sebabnya Allah dengan tegas dan murka menghapuskan terus baka golongan ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan Kami hujaninya dengan batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu. (Hud 11:82).

Pemilihan perkataan ‘menimpa bertalu-talu atau bertubi-tubi’ jelas menunjukkan kemurkaan luar biasa Allah SWT terhadap golongan ini.

Berbalik kepada hadis yang membuka rencana ini, penulis berpandangan golongan minoriti yang menghidap sakit seks songsang sebegini perlu dibantu mengikut keparahan situasi mereka.

Setakat pemerhatian penulis, golongan ini terbahagi kepada dua kumpulan iaitu pelaku yang terjerat dengan nafsu dan sukar melepaskan diri dari runtunan nafsu songsang serta pejuang yang menuntut agar hak mereka untuk memilih hidup songsang diiktiraf kerajaan dan masyarakat.

Di Barat, perjuangan kumpulan ini sudah mendapat tempat dan pengaruh mereka mula merebak ke Malaysia.

Dalam berinteraksi dengan kedua kumpulan ini, kita perlu miliki ihsan serta belas kasihan kerana mereka sebenarnya ‘sakit’ dan perlu rawatan.

Mereka mungkin pada awalnya menjadi mangsa seks songsang lalu kemudiannya terjebak menjadi pemangsa dan pelaku.

Pihak berwajib perlu merangka kaedah rawatan yang holistik untuk mereka.

Penulis tertarik dengan cadangan Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara bagi menangani kumpulan ini.

Kaukus tersebut pernah mencadangkan agar diwujudkan pusat tahanan dan pemulihan khas lesbian, gay, biseksual dan transgender

bagi merawat dan membimbing golongan itu ke arah kebaikan, kerohanian dan kesejahteraan rakyat.

Walaupun bunyinya tegas dan kurang mesra hak asasi, ia seiring dengan peranan kerajaan yang bukan hanya menjamin kesejahteraan rakyat tetapi turut bertanggungjawab menyelamatkan rakyat dari ancaman wabak songsang yang berbahaya ini.

Peranan pihak berkuasa membendung bencana disokong al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurnia-Nya kepada sekalian alam. (al-Baqarah 2:251).

Selain itu, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara turut mengesyorkan pendidikan mengenai LGBT dimulakan sejak di peringkat sekolah rendah kerana ia pusat akar masalah ini mula bertunas.

Pada peringkat individu, keluarga dan masyarakat, kesedaran tentang jijik dan buruknya penyakit seks songsang ini perlu diterapkan.

Jangan berselindung dengan ahli keluarga akan bahaya perkara ini daripada sudut moral, akhlak dan agama.

Semua kena ambil cakna tentang penularan wabak ini.
Ia bukan perkara enteng kerana sebarang maksiat yang berlaku tanpa bendungan boleh mengundang bencana untuk semua.

‘Semua’ yang penulis maksudkan mungkin insan yang kita sayangi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.(al-Anfal 8:25).

Rasulullah SAW turut menegaskan kegagalan membiarkan maksiat berleluasa tanpa halangan boleh mencetus bencana lain.

Sabda baginda yang bermaksud: “Demi yang jiwaku berada pada tangan-Nya (kuasa-Nya), kamu perlu benar-benar menyuruh kebaikan dan benar-benar mencegah kemungkaran. (Jika tidak), hampir sekali Allah akan menimpa bencana dari-Nya pada kalian. Kemudian setelah itu, doa kalian tidak akan diperkenankan.” (Sunan al-Tirmidzi, 2169).

Manakala, untuk kumpulan pejuang hak seks songsang, proses rundingan dan kesedaran perlu dipergiat agar mereka sedar perjuangan itu sebenarnya perjuangan sesat pemusnah tamadun manusia.

Jika mereka terus berkeras dengan perjuangan songsang itu, cukuplah doa Nabi Lut dalam ayat ini menjadi amaran untuk mereka

Maksudnya: “Patutkah kamu mendatangi orang lelaki (untuk memuaskan nafsu syahwat kamu)? Dan kamu memotong jalan lalu-lalang (untuk tujuan jahat kamu)? Dan kamu pula melakukan perbuatan yang mungkar di tempat perhimpunan kamu?” Maka kaumnya tidak menjawab selain daripada berkata (secara mengejek-ejek): “Datangkanlah kepada kami azab dari Allah (yang engkau janjikan itu) jika betul engkau dari orang yang benar”. Nabi Lut berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, tolonglah daku terhadap kaum yang melakukan kerosakan (menderhaka).” (al-‘Ankabut 29:29-30).

Selepas Nabi Lut a.s melantunkan doa ini, bencana bumi terbalik menimpa kaum baginda.

Duhai pejuang songsang! Jangan desak kami untuk membaca doa ini untuk kalian, kerana kami percaya anda sakit dan masih mampu dipulihkan.-UTUSAN

Abdullah Bukhari Abdul Rahim (al-Hafiz) Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN