Sanggup mengetepikan kepentingan peribadi demi kesejahteraan rakyat dan negeri.
Kisah epik pemerintah legenda Kelantan pada abad ke-17, Cik Siti Wan Kembang kini diangkat dalam teater muzikal berjudul Paduka Cik Siti.
Naskhah arahan sutradara, Kamarulzaman Taib atau Che Kem ini menampilkan penyanyi, Asmidar Ahmad sebagai pelakon utama bersama Dr. Norzizi Zulkifli sebagai Seri Banun.
Menurut Che Kem, karya ini mahu menonjolkan tema keberanian, pengorbanan dan kasih sayang seorang pemimpin wanita yang diuji dalam aspek kehidupan serta pentadbir
“Keunggulan pemerintahannya bukan sahaja memasyhurkan Tanah Serendah Sekebun Bunga dengan pentadbiran tersusun, malah berjaya mengatasi prejudis pembesar lelaki terhadap kepemimpinan wanita,” katanya dalam kenyataan.
Che Kem berkata, pemilihan Asmidar disebabkan kelebihannya yang memiliki vokal klasik, versatiliti dan pengalaman luas dalam arena teater muzikal.
Apatah lagi, watak itu memerlukan pelakon yang berkarisma, matang dan berwibawa, selain memiliki kemahiran silat.
Barisan pelakon lain ialah Taqim Zaki sebagai Panglima Merah, Syukor Ibrahim Bachik dan Sharul Mizad.
Mengulas konsep persembahan, Che Kem berkata, muzikal anjuran Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dengan kerjasama Persatuan Alumni Aswara ini menampilkan sentuhan kontemporari namun tetap berpaksikan kekayaan seni tradisi Melayu.
“Gabungan mak yong, wayang kulit, muzik kontemporari berjiwa tradisional, tari serta teknologi kreatif menjadikan persembahan lebih megah,” katanya.
Paduka Cik Siti membuka tirai melalui Malam Gala pada 19 Disember ini di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya, diikuti pementasan pada 20 dan 21 Disember.










