Kekuatan minda, bukan otot semata

Kekuatan minda, bukan otot semata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perbincangan tentang lelaki sering tertumpu kepada aspek fizikal seperti penyakit jantung, masalah prostat atau matlamat kecergasan.

Namun, aspek yang sama penting tetapi sering diabaikan ialah kesihatan mental.

Sedangkan, minda juga memerlukan penjagaan, keseimbangan dan perhatian.

Mengabaikan tekanan emosi sama berbahayanya seperti mengabaikan penyakit kronik, malah kadangkala lebih teruk.

Ahli psikologi klinikal Ampang Puteri Specialist Hospital, Ummu Nazra Nadzam berkata, isu kesihatan mental dalam kalangan lelaki semakin meningkat, terutama selepas pandemik.

Namun ramai lelaki masih menganggap simptom tersebut sekadar tekanan atau fasa sementara.

“Di seluruh dunia, lelaki kurang cenderung berbanding wanita untuk mendapatkan bantuan bagi masalah emosi atau psikologi.

“Harapan sosial, norma budaya dan tekanan untuk kelihatan ‘kuat’ sering menyebabkan lelaki memilih untuk berdiam diri.

“Malangnya, sikap ini boleh membawa kepada kesan serius seperti keretakan hubungan, tingkah laku agresif, penyalahgunaan bahan, malah bunuh diri,” katanya.

Menyedari kesihatan mental adalah sebahagian daripada kesejahteraan menyeluruh merupakan langkah pertama dan paling penting ke arah pemulihan.

Lelaki sering menunjukkan tekanan emosi dengan cara yang berbeza daripada wanita.

Daripada menzahirkan kesedihan secara terbuka, mereka mungkin menjadi pendiam, cepat marah atau terlalu fokus kepada kerja.

Perubahan ini mudah disalah tafsir sebagai tekanan kerja atau perubahan sikap, namun hakikatnya mungkin mencerminkan konflik emosi yang lebih mendalam.

Selain itu, lelaki cenderung menzahirkan tekanan secara luaran iaitu melalui tingkah laku berbanding kata-kata.

Tanda-tanda dalaman mungkin termasuk kebas emosi, pengasingan diri, disosiasi atau menyalahkan diri sendiri.

Manakala, tanda-tanda luaran boleh muncul sebagai mudah marah, suka mengambil risiko, penyalahgunaan bahan atau sikap agresif.

Perilaku sebegini sering disalah tafsir sebagai ‘masalah marah’ atau ‘sikap buruk’, sedangkan ia sebenarnya mungkin berpunca daripada kesakitan emosi yang belum diproses, rasa malu atau keletihan mental.

Mengenal pasti kedua-dua corak ini membantu kita bertindak dengan empati, bukan penghakiman, sekali gus membuka ruang untuk lelaki meluahkan apa yang benar-benar mereka rasakan.

“Mendapatkan bantuan adalah tanda kekuatan. Berkongsi dengan rakan, keluarga atau profesional boleh membawa perubahan besar dalam hidup.

“Di Ampang Puteri Specialist Hospital, perkhidmatan psikologi klinikal kami menyediakan sokongan sulit dan empati untuk lelaki yang berdepan tekanan, kemurungan, keresahan, masalah hubungan atau trauma,” katanya.

Jika sukar mendapatkan bantuan profesional, sokongan komuniti juga tersedia seperti:
• Talian HEAL 15555 – sokongan 24 jam.
• Befrienders KL (03-7627 2929) – perkhidmatan mendengar tanpa penghakiman.
• Perkhidmatan Kesihatan Mental KKM – kaunseling di klinik kerajaan seluruh negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×