Seolah-olah menulis surat kepada bapa, wangian Dear John menyulam nostalgia dan kehangatan dalam setiap semburan.
Campuran bunga cengkih dan ketumbar menghadirkan nota kopi yang menenangkan, manakala kayu cedar menambahkan sentuhan asap tembakau.
Ia sekali gus membangkitkan karakter maskulin yang mendalam.
Sementara itu, V pula menyuntik aura misteri dengan violet sensual dan ylang-ylang dari Ghana.
Lantas menghasilkan haruman bunga halus dengan sentuhan ghotic.
Kedua-duanya adalah wangian eksklusif di bawah koleksi Black Label keluaran jenama kosmetik segar buatan tangan, Lush Malaysia.
Ia bukan sekadar wangian, tetapi cerita yang boleh dihidu, dirasai dan diingati.
Kini, pengunjung berpeluang mencuba koleksi Black Label di kios pewangi pertama Lush di pusat beli-belah, Sunway Pyramid.
Kios itu turut menampilkan wangian White Label di samping rangkaian lain termasuk semburan badan, wax cair, lilin dan set gubahan wangian.
Pengarah Lush Malaysia, Dr. Harvinder Harchand berkata, wangian sentiasa menjadi citra identiti jenama itu lebih-lebih lagi kerana ia diperoleh secara beretika, dihasilkan dengan berseni, dan penuh karakter.
“Melalui ruang ini, kami memposisikan Lush bukan sekadar sebagai jenama kecantikan beretika, tetapi sebagai teratak haruman yang meraikan kreativiti, kelestarian dan ekspresi diri dengan hati nurani,” katanya ketika pelancaran baru-baru ini.
Dalam majlis itu, tetamu diajak menyertai sesi kembara deria bagi mendapatkan haruman yang mencerminkan personaliti mereka.










