Perimenopaus berlaku 10 tahun lebih awal

Perimenopaus berlaku 10 tahun lebih awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK empat bulan lalu, kitaran haid Jamilah Ahmad (bukan nama sebenar) mula berubah.

Ada kalanya datang lebih awal, kadangkala pula lewat daripada kebiasaan.

Tempohnya juga tidak menentu, sekejap singkat, sekejap berpanjangan.

Perubahan itu berlarutan dari bulan ke bulan hingga menyebabkan kitaran haid wanita berusia 39 tahun ini menjadi semakin tidak teratur.

Lebih meresahkan, Jamilah turut mengalami rasa panas secara tiba-tiba dan berpeluh pada waktu malam, sehingga mengganggu waktu tidurnya.

Dia sering sukar untuk lena dan mudah terjaga berulang kali.

Perunding Obstetrik & Ginekologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Kirshanti Purushothman berkata, gejala itu mungkin menandakan Jamilah sedang melalui fasa perimenopaus.

Perimenopaus ialah fasa peralihan sebelum berlakunya putus haid kekal atau menopaus.

Fasa itu lazimnya bermula antara lima hingga 10 tahun sebelum menopaus sebenar berlaku.

“Purata umur menopaus di seluruh dunia ialah sekitar 51 tahun, namun ramai wanita mengalaminya dengan lebih awal iaitu antara 40 hingga 45 tahun.

“Contohnya, jika seseorang wanita menopaus di usia 45 tahun, berkemungkinan dia mendapat gejala perimenopaus sejak pertengahan 30-an lagi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Gejala berbeza
Perimenopaus berada dalam satu spektrum yang luas dan kesannya berbeza bagi setiap wanita.

Ada yang hanya mengalami simptom ringan tanpa menjejaskan rutin harian.

Tidak kurang juga yang berdepan perubahan ketara hingga mengganggu kualiti hidup.

Antara gejala lazimnya ialah kitaran haid yang tidak teratur di samping panas mendadak dan berpeluh.

Kirshanti berkata, ramai wanita yang turut mengalami gangguan tidur, keletihan berpanjangan serta perubahan emosi seperti mudah marah, murung atau cemas.

Dari segi seksual pula, perubahan hormon terutama penurunan paras estrogen boleh menjejaskan kelembapan dan keanjalan tisu faraj.

Keadaan ini menyebabkan kekeringan serta rasa tidak selesa ketika hubungan intim, selain menurunkan keinginan seksual atau libido.

Malah, segelintir wanita mengadu sakit sendi atau otot, perubahan berat badan, serta gangguan kognitif ringan seperti sukar menumpukan perhatian atau mudah lupa.

“Perubahan kitaran haid atau emosi boleh berpunca daripada pelbagai faktor bukan semata-mata disebabkan oleh perimenopaus.

“Bagi wanita muda yang mula menyedari perubahan ini, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah menjalani penilaian menyeluruh bersama doktor.

“Ia merangkumi pemeriksaan klinikal serta ujian darah kerana banyak faktor lain boleh mempengaruhi kestabilan hormon dan corak haid,” katanya.

 

Faktor risiko
Faktor genetik atau keturunan merupakan antara penyumbang utama perimenopaus.

Menurut Kirshanti, wanita yang mempunyai sejarah keluarga mengalami menopaus awal berisiko lebih tinggi untuk mendapat perimenopaus di usia muda.

Malah, beberapa mutasi genetik tertentu seperti premutation gen FMR1 (Fragile X) turut dikenal pasti berkaitan dengan primary ovarian insufficiency (POI), iaitu keadaan apabila fungsi ovari menurun lebih awal daripada biasa.

“Secara asasnya, umur reproduktif wanita ditentukan oleh jumlah dan kualiti folikel ovari.

“Apabila bilangan dan fungsi folikel itu menurun, maka perubahan hormon yang berlaku akan mencetuskan simptom perimenopaus sekali gus membawa kepada penghentian haid secara kekal,” katanya.

Selain itu, penyakit autoimun seperti tiroiditis atau adrenal autoimun boleh menyebabkan sistem imun menyerang tisu ovari, sekali gus mengurangkan jumlah serta kualiti folikel.

Malah, rawatan perubatan seperti kemoterapi, radioterapi pelvis dan pembedahan melibatkan ovari juga boleh mengakibatkan kehilangan folikel ketara dan mempercepatkan menopaus.

Dari sudut gaya hidup dan persekitaran pula, tabiat merokok, pendedahan kepada toksin persekitaran, bahan kimia pengganggu hormon turut dikaitkan dengan perimenopaus, tetapi bukti saintifiknya masih belum muktamad.

Diikuti, tekanan kronik, gangguan tidur, dan faktor psikososial yang dipercayai memburukkan lagi simptom perimenopaus.

 

Terapi penggantian hormon
Dari segi rawatan, kata Kirshanti, terapi penggantian hormon (HRT) merupakan kaedah paling berkesan untuk mengawal simptom vasomotor seperti panas mendadak dan berpeluh malam, sekali gus membantu memperbaiki kualiti hidup wanita yang terjejas.

Selain itu, terapi ini turut memberi manfaat jangka panjang terhadap kesihatan tulang dengan mengurangkan risiko osteoporosis serta patah tulang.

Namun begitu, keselamatan penggunaan hormon bergantung kepada beberapa faktor seperti umur pesakit ketika memulakan terapi, tempoh masa sejak menopaus bermula, jenis hormon, kaedah pemberian serta tahap kesihatan keseluruhan individu.

Kajian menunjukkan HRT paling selamat dan memberi manfaat maksimum apabila dimulakan dalam tempoh 10 tahun pertama selepas menopaus atau sebelum usia 60 tahun.

“Bagaimanapun, keputusan untuk memulakan terapi hormon perlu dibuat secara individu, selepas perbincangan menyeluruh antara pesakit dan doktor mengenai risiko, manfaat serta pilihan rawatan yang paling sesuai.

“Pemantauan berkala juga amat penting bagi menilai keberkesanan terapi, kesan sampingan dan memastikan keselamatan jangka panjang penggunaan hormon,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menasihatkan wanita agar berhati-hati menggunakan sebarang ubat herba atau suplemen semula jadi bagi menstabilkan hormon.

Katanya, kajian saintifik mengenai keberkesanan ubatan tersebut semasa perimenopaus masih tidak konklusif.

Peluang hamil masih ada
Perimenopaus menandakan fasa di mana fungsi ovari mula menurun secara semula jadi.

Ovulasi atau pengeluaran telur menjadi tidak menentu, menyebabkan tahap kesuburan turut menyusut walaupun kitaran haid masih berlaku.

Bagi wanita yang ingin hamil semasa di fasa ini, penilaian awal kesuburan amat penting untuk menentukan rizab ovari dan peluang sebenar kehamilan.

Sekiranya keputusan menunjukkan rizab ovari rendah, rujukan awal ke klinik kesuburan amat digalakkan supaya rawatan bersesuaian seperti rangsangan ovari atau persenyawaan in-vitro (IVF) dapat dipertimbangkan dengan segera sebelum fungsi ovari menurun sepenuhnya.

 

Jangan malu bincang dengan doktor
Adalah penting untuk difahami perimenopaus bukan penyakit, sebaliknya merupakan fasa semula jadi dalam kehidupan wanita.

Walaupun sesetengah simptom boleh mengganggu rutin harian, namun kebanyakannya boleh dikawal dengan rawatan perubatan yang sesuai dan perubahan gaya hidup sihat.

Untuk membantu badan menyesuaikan diri dengan perubahan hormon, amalkan gaya hidup seimbang seperti memastikan tidur mencukupi, pemakanan berkhasiat serta lakukan senaman berkala, termasuk latihan kekuatan dan regangan.

Di samping itu, pengurusan stres melalui teknik seperti meditasi, yoga atau aktiviti luar dapat membantu meningkatkan kestabilan emosi dan kesejahteraan keseluruhan.

Paling utama, wanita digalakkan untuk berbincang secara terbuka dengan doktor tanpa rasa malu mengenai simptom fizikal, emosi atau seksual yang dialami.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×