Cahaya matahari kurangkan risiko si kecil rabun jauh

Cahaya matahari kurangkan risiko si kecil rabun jauh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Masalah rabun atau gangguan refraksi (masalah pembiasan cahaya dalam mata) kini muncul sebagai isu kesihatan awam yang semakin serius, terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Pada usia awal persekolahan, perkembangan penglihatan memainkan peranan besar dalam proses pembelajaran.

Justeru, gangguan penglihatan bukan sahaja menjejaskan prestasi akademik, malah boleh mempengaruhi perkembangan kognitif, kematangan sosial dan potensi masa hadapan generasi muda.

Di peringkat global, statistik menunjukkan peningkatan mendadak masalah rabun jauh atau miopia.

Pada 2000, kelaziman rabun jauh sedunia direkodkan sekitar 22.9 peratus, meningkat kepada 34 peratus pada 2020 dan dijangka melonjak sehingga 52 peratus menjelang 2050.

Ini bermakna hampir lima bilion orang atau separuh populasi dunia, berisiko mengalami masalah rabun jauh dalam tempoh dua dekad akan datang.

Negara-negara di rantau Asia seperti China, Hong Kong, Taiwan dan Singapura sering melaporkan kadar rabun jauh yang paling tinggi, menjadikan masalah ini semakin mendapat perhatian penyelidik dan pengamal perubatan.

Selain rabun jauh, masalah rabun dekat (hipermetropia), astigmatisme dan mata malas (ambliopia) turut meningkat.

Bagaimanapun, dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, rabun jauh kekal sebagai jenis masalah refraksi paling dominan dengan kadar sekitar 58 peratus berbanding jenis rabun yang lain.

Statistik ini menggambarkan betapa kritikalnya isu ini dan perlunya tindakan pencegahan secara menyeluruh.

 

PUNCA RABUN JAUH
Secara saintifik, rabun jauh berpunca daripada pemanjangan bentuk bola mata yang menyebabkan cahaya difokuskan di hadapan retina dan bukannya di atas retina.

Proses pemanjangan mata ini paling pesat berlaku semasa kanak-kanak berusia sekitar 10 tahun, ketika fasa penting perkembangan mata.

Pada tahap ini, pengesanan awal amat penting kerana kanak-kanak jarang mampu mengenal pasti atau meluahkan masalah penglihatan mereka sendiri.

Oleh itu, ibu bapa, guru dan ahli keluarga perlu peka terhadap tanda-tanda seperti anak mengecilkan mata ketika membaca, kerap menonton skrin dari jarak dekat atau mengadu sakit kepala.

 

BUKAN SEKADAR RABUN
Jika tidak dirawat dan dikawal, rabun jauh boleh mendatangkan komplikasi seperti lekangan retina (retinal detachment), glaukoma serta katarak pada usia lebih muda.

Lebih membimbangkan, semua penyakit ini boleh menyebabkan buta.

Di samping risiko kesihatan, kos menggantikan cermin mata atau rawatan oftalmologi turut menjadi beban kewangan bagi banyak keluarga.

Oleh itu, pemeriksaan mata secara berkala dan saringan awal sejak kecil boleh mencegah masalah ini.

 

PENCEGAHAN AWAL
Pakar Oftalmologi Kanak-kanak dan Juling, Prof. Dr. Shatriah Ismail berkata, kanak-kanak yang beraktiviti di luar rumah selama dua jam atau lebih setiap hari mempunyai risiko rabun jauh yang jauh lebih rendah.

Penemuan ini sejajar dengan pelbagai kajian antarabangsa yang membuktikan pendedahan kepada cahaya matahari membantu mengurangkan risiko rabun jauh melalui penghasilan hormon dopamin di retina yang berfungsi mengawal pertumbuhan bola mata.

Aktiviti luar bukan sahaja baik untuk kesihatan mata, malah menyumbang kepada perkembangan fizikal, emosi dan sosial di samping mengurangkan tekanan serta meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak.

Selain itu, penggunaan gajet secara berlebihan kini menjadi antara punca utama peningkatan masalah rabun jauh, khususnya selepas era pandemik Covid-19.

China pada 2019 memperkenalkan dasar mengehadkan penggunaan permainan elektronik kepada hanya satu jam sehari.

Pada 2023, peraturan ini diperluas merangkumi penggunaan media sosial dan penstriman atas talian dalam kalangan kanak-kanak serta remaja.

Jarak penggunaan gajet pula mesti melebihi 50 sentimeter.

Tumpuan mata pada jarak dekat untuk tempoh lama menyebabkan otot mata bekerja lebih keras daripada biasa, seterusnya meningkatkan risiko rabun jauh.

Oleh itu, penggunaan skrin wajar dihadkan dan diselangi dengan rehat mengikut kaedah ‘20-20-20’ iaitu setiap 20 minit, berehat selama 20 saat dan melihat objek sejauh 20 kaki.

Begitupun, kesedaran ibu bapa muda mengenai kesihatan mata semakin meningkat, khususnya dari segi pemakanan seimbang, pemeriksaan mata awal dan kepentingan aktiviti fizikal.

Sikap ini perlu diperkukuh serta disebarkan ke seluruh lapisan masyarakat.

Rabun jauh bukan sahaja melibatkan kesihatan individu, tetapi juga membawa implikasi ekonomi yang besar.

Kos langsung tahunan bagi pembetulan rabun jauh di Asia dianggarkan sebanyak AS$328 bilion, manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan kerugian produktiviti global akibat rabun jauh yang tidak dirawat telah mencecah AS$244 bilion setahun.

Selain beban kewangan, individu dengan rabun jauh tinggi kerap mengalami penurunan kualiti hidup, termasuk peluang pekerjaan yang terhad, kesan psikologi negatif dan kekangan dalam aktiviti harian.

Keadaan ini sedikit sebanyak menjejaskan pembentukan generasi masa hadapan yang sihat dan produktif.

Dr. Adri Shafit dan Dr. Ahmad Anwaar Muhammad Saifullah merupakan Pensyarah Perubatan Pelatih Oftalmologi yang kini berkhidmat di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN