Penggunaan warna yang betul mengikut tona kulit menjadi salah satu faktor mencerminkan karakter individu.
Dalam dunia moden yang sarat dengan ekspresi dan gaya, warna bukan sekadar elemen fesyen semata-mata, tetapi turut mencerminkan keperibadian serta aura.
Perunding Imej dan Warna bertauliah, Nur Amira berkata, pemilihan warna yang bersesuaian dapat menyerlahkan aura semula jadi dan membantu individu tampil lebih yakin.
Perkara asas yang perlu difahami dalam menentukan warna yang sesuai ialah warna dasar kulit (undertone).
Ia terbahagi kepada tiga kategori utama iaitu warm, cool dan neutral.
“Bagi individu dengan tona warm, warna seperti peach, zaitun, coral dan coklat keemasan mampu menyerlahkan warna kulit. Manakala, bagi yang mempunyai tona cool pula, warna fuchsia, biru, icy pink atau zamrud akan lebih menonjol
“Individu yang berada di pertengahan spektrum iaitu neutral bertuah kerana sesuai dengan campuran warna daripada kedua-dua kategori tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
KONTRAS WAJAH
Namun, pemilihan warna bukan hanya bergantung kepada kulit semata-mata.
Faktor seperti warna rambut, warna mata dan tahap kontras wajah juga memainkan peranan penting menentukan padanan yang menarik.
“Warna yang salah boleh menjadikan wajah kelihatan lesu, malah menukar tanggapan orang terhadap diri kita,” katanya.
Selain itu, warna juga mempunyai kesan psikologi yang sangat kuat dan boleh membantu seseorang membina personaliti yang positif.
Warna merah misalnya membawa rasa berani dan penuh tenaga, biru memberi ketenangan dan keyakinan manakala hijau memberikan elemen keseimbangan dan kestabilan.
Namun, dalam dunia fesyen kini, ramai yang memilih warna sekadar mengikuti trend.
“Trend boleh dijadikan sebagai sumber inspirasi tetapi perlu disesuaikan dengan personaliti dan identiti agar penampilan tidak kelihatan ‘dipaksa’ dan hilang karakter asli,” katanya.
Selain itu, individu perlu berani menyesuaikan warna kegemaran dengan cara yang lebih kreatif jika tidak sesuai dengan tona kulit.
Jika warna tersebut tidak termasuk dalam palet utama, ia masih boleh digunakan sebagai pelengkap.
Warna kegemaran boleh digunakan sebagai aksesori seperti beg, kasut atau skirt.
Paling penting, warna paling sesuai perlu berada berhampiran wajah untuk mengekspresikan diri tanpa kelihatan kusam.
Tambahnya, kunci utama dalam berpenampilan ialah berani mengenali diri dan meraikan keunikan masing-masing.
Justeru, pilihlah warna yang bukan sahaja cantik pada mata, tetapi juga memberikan rasa yakin dan tenang pada diri.
Berpengalaman selama tujuh tahun dalam bidang perunding imej dan warna, Nur Amira atau mesra disapa sebagai Mira Ixora berkata, pelaburan melakukan satu sesi analisa warna mampu mengubah keseluruhan cara seseorang membeli, bergaya dan memberi mesej yang betul tentang siapa diri anda.
Analisis ini juga membantu individu memahami bahasa warna yang paling serasi dengan personaliti dan imej diri.
“Aura warna bukan hanya tentang kecantikan luaran, tetapi bagaimana kita membawa diri dengan keyakinan dan tenaga positif.
“Pilih dengan bijak dan jadikan warna sebagai sahabat keyakinan anda,” katanya.-UTUSAN










