‘Sesaat pulihkan kekecewaan saya’ - Utusan Malaysia

‘Sesaat pulihkan kekecewaan saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setelah hampir setahun menyepi dari industri muzik tanah air, Aina Abdul kini muncul dengan buah tangan terbaharu yang berjudul Sesaat.

Namun, kali ini Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani memilih baik lagu ciptaan komposer terkenal Indonesia, Trakast, Fabio Asher, Yafi Aria dan Rico Andre sebagai penerbit.

Kata Aina, dirinya bagai mendapat aura baharu untuk berkarya selepas membawa diri ke negara jiran itu demi merawat hati yang terluka usai Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) tahun lalu.

Sesaat hadir ketika saya memang mencari ketenangan dan kebahagiaan itu semula. Alhamdulillah, tahun ini Allah buka jalan untuk saya rawat rasa kecewa itu di Indonesia.

“Kecewa yang saya maksudkan itu apabila saya merasakan apa yang saya sudah lakukan selama ini seperti tidak cukup untuk diri saya dan pasukan saya. Saya rasa bidang pekerjaan lain pun akan melalui situasi yang sama.

“Jadi, apabila Fabio menyatakan bahawa dia sudah menyiapkan beberapa lagu buat saya, Sesaat adalah karya paling dekat dengan saya,” katanya.

Tambah Aina, kekecewaan dilaluinya sejak tahun lalu membuatkan dirinya bangkit untuk terus berkarya bahkan, lebih terbuka bekerjasama dengan komposer lain.

“Sebagai seorang penulis, kita ada jiwa yang sangat sentimental. Dalam kata lain, mudah kecewa dan kecil hati. Tapi sebenarnya saya pun memendam lama juga dengan cakap-cakap orang.

“Dengan kemunculan semula saya dalam industri kali ini, lagu ini berikan saya pintu baru dan rasa baru untuk berkarya.

“Malah, saya semakin terbuka bekerjasama dengan mana-mana komposer yang mahu saya menyanyikan lagu mereka.

“Tetapi, saya tetap akan berkarya dan hasilkan lagu-lagu sendiri. Biarpun sekarang saya sudah lebih terbuka untuk bekerjasama dengan komposer dari negara seberang, saya tidak lupa asal usul saya,” kongsinya.

MASA UNTUK SENDIRI
Sering tampil dengan corak dan tema persembahan yang ikonik lagi kreatif, Aina memberitahu kini tiba masanya untuk dia menghargai diri sendiri dengan melaburkan sejumlah wang yang besar untuk menghasilkan karya yang berkualiti.

Selepas berjaya menembusi pasaran muzik di Indonesia, penyanyi berusia 32 tahun itu menyifatkan lagu terbaharunya itu merupakan self-reward buatnya.

“Orang selalu cakap yang saya selalu berbelanja lebih untuk AJL, tetapi kali ini berbeza. Saya berbelanja untuk diri sendiri, lagu dan video muzik yang saya sendiri kagum serta berpuas hati dengan hasilnya.

“Sudah tiba masanya untuk saya beri ganjaran untuk diri sendiri. Saya kira, perbelanjaan kali ini juga sangat berbaloi dengan hasilnya,” jelasnya.

Akur karya terbaharunya kali ini tidak akan melayakkan dirinya bertanding di pentas besar seperti AJL, Aina sebaliknya menyerahkan aturan hidup dan rezekinya kepada Sang Pencipta.

“Saya tidak mengatakan diri saya serik untuk bertanding di AJL tetapi saya percaya dengan aturan yang telah ditetapkan oleh Allah untuk saya. Mungkin jawapan saya agak klise.

“Namun, saya pasti Dia akan bawa saya ke sebuah perjalanan yang lebih baik. Misal kata saya tidak tercalon untuk bertanding di program itu, saya anggap itulah yang terbaik untuk saya.

“Mungkin itu juga baik untuk kesihatan mental saya sebab itulah saya mencari warna baharu dalam diri saya dan Allah bawakan saya ke Jakarta,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN